Thursday, February 5, 2015

Novel Izinkan CintaMu yang Pertama 7


Bab 7

Cintakan bunga akan layu,

Cintakan manusia akan mati,

Cintakan Rasul cinta sejati,

Cintakan ALLAH cinta abadi,

~ Muhammad Yusof~

“Yus, ana dengar enta bakal bernikah dengan salah-seorang anak murabbi (Pendidik) kita ya?”

Yusof senyum sendirian.

“Eh, anak murabbi (Pendidik)?. Yang mana satu tu, di?” Soal Saiful kepada Adi yang bertanya Yusof tadi.

“Anak Ustaz Amin, Nur Syahadah..” balas Adi.

“Doakan semuanya berjalan dengan lancar..” ujar Alif tenang, menjawab bagi pihak Yusof.

Adi dan Saiful melopong. Wajah masing-masing terkejut. Mereka pandang Alif, serentak.

“Dari mana enta tahu ni lip?”tanya Adi.

Saiful ikut menyampuk. “Betul ke anak Ustaz Amin bakal berjodoh dengan enta Yus?’

Yusof hanya diam membisu, tersenyum-senyum.

Alif bersuara. “Aku tahulah, Yusof dah cerita kat aku..” balasnya sambil melirik pandang ke muka Yusof. Dia kenal sejarah Yusof. Dia tahu siapa Yusof. Dialah satu-satunya teman yang mengikut jejak Yusof semenjak sahabatnya berubah dari zaman jahil ke zaman yang penuh barakah-NYA. Hatinya memanjat syukur kerana dikurniakan seorang sahabat yang sentiasa merendah diri.

Ayam goreng kfc yang dikunyahnya, masih penuh dalam mulut. Alif bangga dengan sikap Yusof yang tidak mahu menonjol diri. Yusof lebih suka gunakan nama Alif. Kononnya Dia yang belanja rakan-rakan, sedangkan duit itu daripada Yusof. Yusof suka beli kfc atau makanan-makanan mahal yang lain menggunakan duit pokeknya sendiri. Kadang-kadang, Yusof akan menyuruhnya tempah nasi arab untuk dimakan beramai-ramai, mengikut sunnah cara makan nabi Muhammad dan sahabat-sahabat baginda. Makan dalam talam besar. Suasana kekeluarga begitu ketara dalam hidup mereka. Alif semakin sayang dengan pondok yang diasaskan oleh bakal bapa mertua Yusof.

“Wah, tahniah enta..” wajah Adi berseri-seri.

“Tak sangka, banyak-banyak kumbang kat pondok ni, enta juga yang diterima murabbi (Pendidik) kita tu. Ilmu pengasih apa yang enta pakai ni”

Gurauan Saiful mengundang tawa mereka. Yusof sengih malu. “Aku guna ayat manis, nak belajar ke?”

“Hahahaha..” Alif dan yang lain ikut tertawa.

“Macam mana ayatnya tu Yus. Ana mahu belajar juga ni..” usik Adi.

“Mana ada ayat-ayat cinta. Kami kenal gitu-gitu aje. Tak rapat pun..”

Adi angkat kening. “Gitu-gitu, macam mana tu?” soalnya kebingungan.

Masing-masing nak ketawa.

“Enta ni Yus, memang pandailah ambil hati murabbi (Pendidik) kita tu”

Yusof segan dengan pujian daripada Saiful. “Ish, tak adalah. Aku aje yang beruntung sebab Ustaz Amin pilih aku. Aku tak pernah bermimpi pun nak jadi menantunya. Tak pernah terfikir pun…”

“Jodoh itu kan rahsia ALLAH..” ujar Alif.

“Iya..iya..” balas Saiful dalam senyuman. Adi ikut tersenyum. Tumpang gembira dengan kebahagiaan sahabatnya, Yusof.

“yang penting cinta aku kepada Nur tidak setinggi cintaku kepada makhluk-NYA yang mulia, Rasulullahku..” sampuk Yusof, penuh rasa tawadhuk.

“Allahhummaa Solli ‘Ala Muhammad, Waa ‘Ala Aali Muhammad (Ya ALLAH, Berikanlah Selawat Kepada Muhammad, Dan Kepada Keluarga Muhammad)..” Adi yang lain-lain menyahut, terasa rindu kepada Rasulullah.

“Allaahumma Solli ‘Alaa Muhammad Wa ‘Ala Aali Muhammad, Kamaa Sollaita ‘Ala Aali Ibrahim Wa ‘Ala Aali Ibrahim, Innaka Hamidun majid, Wabaarik’Ala Muhammad Wa ‘Ala Aali Muhammad, Kama Baraakta ‘Ala Ibrahim Wa ‘Ala aali Ibrahim, Innaka Hamiidun Majid (Ya ALLAH, Berikanlah Selawat Kepada Muhammad, Dan Kepada Keluarga Muhammad, Sebagaimana ENGKAU memberikan selawat kepada Ibrahim, Dan Kepada Keluarga Ibrahim, Ya Dan ENGKAU Berikanlah Keberkatan Kepada Muhammad, Sebagaimana ENGKAU Memberikan Keberkatan Kepada Ibrahim, Dan Kepada Keluarga Ibrahim Dalam Dunia Ini, Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji Lagi Maha Tinggi)…. ” Suasana sepi seketika kala Yusof mengungkap kalimah indah itu.

Saiful senyum lebar. “Allahhuakbar (Allah Maha Besar), sungguh benar apa yang enta katakan. Sesungguhnya baginda Rasulullah (Sallallahu Alaihi Wassalam) merupakan teladan buat seluruh alam. daripada bagindalah kita belajar erti kasih-sayang, cinta dan lain-lain. Seharusnya cinta kita kepada baginda melebihi cinta kita kepada sang kekasih hati.”

Ada kesayuan dalam bicara Adi. Masing-masing menganguk-angguk, kagum dengan Nabi Muhammad. Qasidah malam tadi mengingatkan kembali rindu mereka kepada junjungan mulia, Rasulullah.



Lirik Qasidah Ya Badrotim- Wahai Purnama (Rasulullah Sallallahhu Alaihi Wassalam)

Wahai Purnama, Wahai Purnama, Wahai Purnama……

Yang indah lagi sempurna..

Bagaimana..bagaimana…

Nak kuluah dengan kata-kata…

Engkau menyinar di alam tinggi. Di alam tinggi. Di alam tinggi.

Terangi kegelapan dan kebathilan.

Denganmu alam ..

Bergemerlapan. Bergemerlapan..

Zahir batin dengan nur nikmat dan kurniaan.

Selawat ke atasmu selama-lamanya..

Selawat ke atasmu selama-lamanya..

Siang dan malam jua, siang dan malam jua,

Selawat jua pada ahlimu dan sahabatmu,

Selawat jua ada ahlimu dan sahabatmu,

Mereka yang istimewa dan amat sempurna..

(Allahhumma Solli ‘Ala Muhammad, Wa ‘Ala Aali Muhammad)



Alif termenung sejenak, memikirkan khilafnya yang lalu. Dia pernah meletakkan cinta lebih tinggi dari kedudukan ALLAH dan Rasulullah, hinggalah cintanya memakan diri. Dia hampir bunuh diri akibat ditinggalkan kekasih hati tetapi Yusof yang menyelamatnya dari sengaja mahu masuk ke neraka.

“Siapa yang tak jatuh cinta dengan Rasulullah memang buta dalam matanya yang celik. Cara rasulullah berdakwah, susun bait perkataannya, ajakannya, kelembutannya, pandangannya, semuanya benar-benar indah. Telah banyak hati yang berjaya dilembutkan oleh baginda Rasulullah..” ujar Saiful usai menghabiskan sisa makanannya.

Masing-masing sebak, berhenti menjamah makanan. Nikmat yang berada dihadapan terasa kurang lazat dikala fikiran terkenang kekasih ALLAH.

Airmata Yusof mula menitik. Bukan Yusof sahaja, rakan-rakannya juga sudah berubah sayu. Mata masing-masing bersinar macam berkaca, tanda masing-masing dilanda sebak mengenang kembali perjuangan Rasulullah, jerih-perih Rasulullah yang berusaha mempertahankan agama Islam ALLAH dari binasa dan segala pengorbanan baginda sepanjang menyebarkan agama Islam.

“Kita di sini ada sahaja makanan yang nak dimakan, mewah sungguh kita. Sedangkan Rasulullah (Salallahhu Alaihi Wassalam) selalu ikat perut, tindih perut baginda dengan batu, tak nak kasi perut baginda lapar. Paling menyedihkan ana, baginda sanggup berlapar asalkan umatnya tidak kebuluran dan baginda tidak sanggup membiarkan umatnya menderita kelaparan. ALLAH.. ALLAH… ALLAH..” sambung Saiful lagi. Diantara rakan-rakannya, Saiful paling gemar bercerita perihal Rasulullah untuk menaikkan semangat juang dalam dirinya sendiri dan rakan-rakannya yang lain.

Sallallahhu Alaihi Wassalam, sahut masing-masing di dalam hati.

>>>

Aku terlelap tadi, aku pisat-pisat mataku sambil memandang sekeliling. Eh, dah malam ke?. dengan gelabah aku segera turun dari katil. Aku tekupkan mukaku ke pintu bilik. Sepi. Ke mana semua orang pergi agaknya?. Aku was-was mahu keluar dari bilik. Kepalaku agak pening-pening lalat sedikit, mungkin mamai sebab baru bangun dari tidur.

Aku mengeledah katil, mencari jam telefon bimbit. Aku lepaskan nafas lega, baru pukul 10.00 pagi rupanya, Aku fikir sudah malam tadi. Tanpa disedari, aku tertidur sementara mahu menanti insan-insan diluar bilikku tidak berkerumun diruang meja makan.

“Mereka semua dah tak ada ke kat situ?” aku berjalan ke pintu bilik semula, bercakap seorang diri.

Aku beranikan diri keluar dari bilik. Kepalaku keluar dulu dari celahan daun pintu, kuintai senyap-senyap. Mataku melilau serata arah, mencari kelibat manusia. Kubuka pintu selebar-lebarnya setelah yakin tiada seorang manusia pun diruang meja makan mahupun ruang tamu yang begitu hampir dengan bilikku. Mungkin mereka berada ditingkat atas, menonton televisyen atau bersantai-santai. Di atas juga terdapat perpustakaan mini, milik abi. Abiku gemar menghabiskan masanya di situ, mentelaah ilmu dan membacanya.

“Selamat pagi tuan puteri..”

Aku tersentak, Iman menepuk bahuku. Dari manalah Iman ni datang?. Tadi tak ada pun. Aku diserbu malu.

“Oooo perli kak Nur ye..” aku halakan cubitanku ke pipinya, Cepat-cepat Iman mengelak.

“Hehehe, janganlah marah..”

“Iman dari mana ni?”

“dari luar, mereka semua duduk kat pangkin tu. Borak-borak..”

Aku angguk, lantasku masuk ke dalam bilikku semula. Iman mengikut langkahku.

“Hai, nak bertapa balik ke?”

“Amboi, bestnya perli kak Nur..” aku menyengetkan bibir, tanda geram.

Iman sengih.

“Kak Nur tak nak makan ke?”

“Malaslah, tiba-tiba rasa kenyang..” aku menipu. Aku labuhkan punggungku ke katil semula. Tiba-tiba Iman menarik tanganku, terkedu sekejap.

“Pergi pakai tudung, Iman teman kak Nur makan ea..”

Wajahku berkerut seribu, terpingga-pingga. Serba-salah pula. “tapi…”

Iman mengerti situasiku, suaranya mendatar. “Ala janganlah risau. Tak ada sesiapapun kat dalam rumah. Abi dah pergi pondok. Umi dengan nenek tengah berborak dengan kak Su dan abang Haiqal kat luar. Kita berdua aje dalam rumah ni..”

Aku mengalah, tidak jadi menyandarkan punggungku di birai katil. Usai pakai tudung labuh warna hitam, aku melangkah keluar dari bilik semula. Iman masih tidak mahu lepaskan genggaman tangannya tadi. Tanganku ditarik macam tali. Aku ikut sahaja langkah Iman. Mataku sempat melilau ke daun pintu rumah yang terbuka luas. Risau kalau-kalau ada orang masuk, lebih-lebih lagi kalau kak Su dan abang Haiqal yang muncul.

“Iman sendukkan Mee goreng untuk kak Nur tau..”

Aku membetulkan dudukku. Mataku terpaku memerhati pergerakan lincah Iman yang sedang menyediakan sarapan untukku. Aku senyum dalam keharuan. Iman makin ‘caring’ denganku semenjak mendengar luahanku tempoh hari. Mataku masih melirik ke pintu. Risau sungguh hatiku kalau insan-insan itu masuk ke dalam.

“Kak Nur nak air apa?. Milo ke nescafe?”

“Milo”

Aku teruja melihat kuih seri muka, tanpa buang masa, aku capai dan masukkan ke mulutku lalu aku kumam dengan penuh rasa kesyukuran, bersyukur sungguh dapat makan. Dapatlah aku jinakkan perutku yang meliar lapar tadi. Mulutku penuh dengan keenakan kuih tersebut.

“Mak Timah yang buat kuih tu..”

Aku terkedu. Tidak membalas kata-kata adikku. Bayang mak Fatimah yang tersenyum dengan tahi lalat kecil diatas bibirnya, menjengah seketika diruang khayal. Aku menghayati keenakan rasa airtangan ibu kepada abang Haiqal dengan iringan rasa sebak dalam dadaku.

Mataku masih menjengah ke sana, arah muka pintu. Kukerling Iman yang sedang menghulur sepinggan mee goreng kepadaku. “Kak Su dengan suami dia tidur sini ke?” kataku. Aku curi-curi pandang ke pintu lagi, takut betul aku kalau ada insan-insan yang berkenaan masuk, memang aku tak boleh nak lari.

“Taklah. Diorang datang kejap aje. Lepas ni baliklah tu. ..”

Aku angguk. Aku perhati Iman yang sedang leka menghirup air milo. Satu cawan lagi dihulurkan kepadaku. Matanya merenungku, dia tersenyum. Tahu agaknya yang aku rasa kekok dengan kak Su dan abang Haiqal.

Aku tundukkan kepalaku, menghadap hidangan sarapan pagi. Tadi perutku rasa lapar, sekarang rasa macam tepu pula. Masuk angin agaknya.

“Diorang nak ke bandar kejap lagi. Diorang singgah sini kejap, hantar sarapan untuk kita..”

Aku angguk sambil menggerakkan tangan kananku. Kugunakan sudu garfu untuk menjamah mee goreng itu. Sedapnya.

“Mee goreng tu kak Su yang buat..”

Aku tergamam. “Owh..” balasku pendek. Perlahan-lahan aku kunyah, menikmati hasil airtangan kakakku. Dah lama tak makan masakan kak Su, hatiku diserang sebak.

“Kak Nur, tengahhari nanti, kak Nur hantar makanan ke pondok ye. Umi suruh hantar dua bekas. Satu untuk abi, satu lagi untuk ….hehehe.. tekalah” Iman kenyit mata.

Alamak, nak kena hantar kat dia ke?. Habislah..

“Tak ada tapi-tapi ea..” sakat Iman.

‘Iman teman kak Nur sekali boleh?”

Pantas sahaja Iman menggeleng kepala. “Iman nak buat kerja sekolahlah kak Nur..”

“dan-dan aje, masa nilah dia busy. Ala temanlah kak Nur ea. Nanti kak Nur belanja coklat..”

Iman cebir lidahnya.
 Ish, tak boleh jadi ni!. Aku kena pujuk budak ni…

Aku masih tidak berputus-asa.” Iman…please..” rayuku dengan wajah yang kuyu.

‘Maafkan patik tuanku, sebab patik tak nak kacau daun. Waktu-waktu begini, tuanku seharusnya bercengkarama dengan bakal sultan..” Iman bangun, meninggalkan diriku yang sedang gelabah.

Err, jumpa Encik Calon Suami?,,,malu,,,malu,,,,

>>>

Aku perhatikan Madrasah Pondok Al-Nur Mukminin dari pandangan jauh. Kakiku terasa bagai digam, susahnya nak berjalan. Dalam rungutan separa malu, aku gagahi juga masuk ke kawasan pondok abiku. Aku pandang sekeliling, sunyi-sepi. Mungkin penghuni-penghuni pondok ini sedang menjalankan aktivitinya. Usai solat zuhur tadi, aku terpaksa juga menapak ke sini.



“Selamat bertemu dengan bakal kekasih halal..”



Usikan Iman menjengah rasa debarku. Adikku sengaja biarkan aku keseorang di sini. Sekilas, aku teringat isi surat yang kebetulan baru sahaja aku baca pagi tadi. Berganda-ganda rasa maluku. Kakiku sudah mencecah perkarangan pondok, anak mataku amat peka memerhati sekeliling. Aku toleh ke kiri, kemudian kanan. Ada ketikanya aku pandang belakang. Ish, kenapa cemas semacam sahaja ni?.

“Assalamualaikum ((Selamat Sejahtera keatas kamu (Semua))..”

Aku kaget, aku jawab salam yang dihulur salah-seorang penghuni pondok ini. Lekas-lekas aku tundukkan pandangan. Serban putih yang melilit pada kepala tiga orang anak muda yang mungkin muda tiga tahun dariku, mengganggu hatiku. Aku memang suka tengok orang pakai serban putih, kopiah, jubah putih. Pendek kata, hatiku mudah cair. Tenang sangat melihat anak adam memperagakan pakaian sunnah Rasulullah Sallallahhu Alaihi Wassalam.

“Ahlan Wa Sahlan (selamat datang) Ukhti..”

Aku angguk kepalaku, tanpa senyuman aku tundukkan lagi pandangan. Ramai sungguh yang menyapaku hari ini. Aku sudah biasa dengan beberapa penghuni pondok ini. Bukan aku sahaja, Iman dan ahli keluargaku yang lain turut dikenali oleh beberapa pelajar pondok. Mestilah mereka kenal ahli keluarga murabbi (Pendidik) mereka yang memang termasuk dalam salah-seorang pengasas utama pondok ini.

Saatku teruskan langkah, aku terpana. Aku memang dah agak, aku akan bertembung dengan dia. Pondok abi bukannya besar mana pun, potensi untuk aku terserempak dengan Encik Calon Suami sudah tentu sangat tinggi. Aku cepat-cepat menyorok di sudut dinding. Kepalaku menjengah ke tepi, mengintai pergerakan mereka. Semakin mereka hampir, semakin terasa debarannya. Aku pasang telinga, kepalaku memanjang, cuba mendengar perbualan mereka. Gagal. Jantungku kembali berdegup tenang, si dia dan rakannya sudah jauh kehadapan. Aku sandarkan tubuhku ke dinding, mencari udara segar. Aku lepaskan nafas penuh kelegaan. Tadi udara yang Aku sedut tidak selancar sekarang, agak semput-semput. Nasib baik aku tak ada penyakit lelah. Huhu…

Yusof berhenti melangkah. “Kau pergi dululah lip. Aku ada hal sikit..”

Alif kerutkan dahinya. Dilihatnya Yusof berhenti melangkah dan mahu berpatah balik. “Kau nak ke mana?” dia toleh ke belakang.

Yusof sengih, menutupi perasaan gembiranya. “Karang aku balik bilik. Kau pergi dulu ye..”

Alif menggaru-garu dahinya. Apa kenalah dengan Yusof ni. Tiba-tiba aje nak berpatah balik ke belakang, suara hatinya bersungut tetapi dia tetap gerakkan kedua-dua kakinya. Beg yang digalasnya dijinjit kemas.

Dia berhenti seketika setelah berjalan beberapa langkah, kepala dan badannya menoleh ke belakang. Matanya terpaku seketika kala Yusof berjalan bertentangan dengan laluannya. Hatinya tertanya-tanya, mahu ke mana sahabatnya?. Nampak terkocoh-kocoh, macam mengejar sesuatu sahaja. Anak matanya masih leka memandang kelibat Yusof yang sudah jauh meninggalkannya. Apabila susuk tubuh Yusof sudah jauh dari kedudukannya, barulah dirinya berpusing ke hadapan semula.

“Fuh, selamat. Macam mana aku nak bagi bekal ni kat dia ni?. Aku malu nak jumpa dia. Ish, kenapalah kau ni tak boleh berjalan wahai bekal!. Disebabkan kaulah, aku terpaksa menghadap muka dia tau. Kau tak kesian kat aku ke, kesian aku tau. Aku perempuan, malulah aku nak jumpa lelaki. Ish, karang aku tinggalkan kau kat sini baru padan muka kau. ..!” sungutku. Aku jinjit beg plastik yang ada bekal makanan si dia, iaitu disebelah tangan kananku. Sebelah tanganku pula, bekal abi.

“Aku nak buat apa dengan kau ea. ..” aku masih membebel sendirian. Mencari jalan agar si bekal ini mudah bertukar tangan kepada si pemilik yang sepatutnya. Aku senyum lebar, ideaku terbit.

“Okay, tenang Nur. Kau tak payah jumpa dia pun. Apalah yang kau susahkan sangat, kau suruhlah abi kau bagi kat dia. Habis cerita. Okay, jom pergi bilik abi…” ujarku kepada diri, wajahku bertukar ceria.

“Ehem..hem.. Assalamualaikum (Salam Sejahtera ke atas kamu (semua)..”

“Arghhhhh..” tanpa sedar aku menjerit kecil. Terkejut beruk dibuatnya dengan sergahan manusia yang tiba-tiba muncul dihadapanku. Hampir-hampir jatuh kedua-dua beg plastik yang aku genggam tadi.

“Haaa..” ujarku perlahan. Terkejut dan tergamam. Mataku membesar. Alamak, macammana dia tahu aku kat sini?.

Si dia tergelak kecil. Aku pula ketap bibir, geram. Rasa macam nak pulas-pulas kepala dia. Suka hati dia buat aku terkejut, lepas itu boleh pula gelakkan aku. Huh!.

“Maaf kalau ganggu awak, tapi saya tak sangka awak boleh keluarkan suara emas awak tu. Awak terkejut ea? ..” Yusof mengusik.

“Boleh tepi sikit tak, saya nak lalu” aku bersuara dingin, mahu melarikan diri daripadanya. Hatiku sudah menyirap, terlalu geram dengan sikap bersahajanya. Jalanku sudah disekat gara-gara si dia berdiri dihujung laluan dinding, tempatku menyorok tadi. Kalau aku ikut jalan lain, rasa-rasanya semuanya jalan mati. Aku hanya akan nampak semak sahaja, bukannya bangunan.

Habislah, aku dah terperangkap!, hatiku cemas.

Yusof senyum. “Boleh, tapi sekejap lagi ye. Tak nak jawab salam saya ke?” dia mengingatkan kembali salamnya tadi.

Erk, aku rasa macam nak pitam dah ni. Kau nak aku pitam ke Encik Calon Suami?, tolonglah lepaskan aku.

Anak mataku kejap ke kiri, kejap ke kanan. Kejap aku pandang matanya, akhir sekali aku menunduk ke bawah. Mengalah. “Waalaikumussalam..” jawabku dalam resah.

“Awak nak hantar bekal kat abi awak ke?”

Aku angguk. Mataku masih menunduk. Buat pertama kalinya, hatiku yang keras ini bertukar cair. Cair?. Eh, bukan cair. Aku…err..aku..

“Nak saya hantarkan ke?”

“Boleh juga” jawabku spontan. Mata kami bertemu seketika. Aku yang tidaklah seberani mana, terus memalingkan pandangan ke arah lain.

“Bak sini”

Dalam keadaan yang penuh hati-hati, aku serahkan dua bungkusan tadi kepadanya. Dia menyambut hujung beg plastik. Dia juga sepertiku, berhati-hati agar kami tidak bersentuh kulit. Fuh, nasib baik dia faham halal dan haram. Lega.

Okay, semuanya dah selesai. Err..tapi..


Seminit.. dua minit..

Aku sudah tidak tentu arah, si dia sedang membelek-belek kedua-dua plastik yang aku serahkan kepadanya.

“Ada dua ni. Satu untuk abi awak, yang satu lagi ni saya nak bagi kat siapa pula?”

Glup. Alamak, soalan yang agak rumit biarpun sangat ringkas jawapannya. Untuk awak. Ha, itu pun susah aku nak luahkan!. Dah kena gam ke mulut aku ni?.

“Dua-dua ni untuk abi awak ye?”

Aku geleng dalam resah. Mata kami bertemu lagi. Aku pandang kiri dan kanan. Takut pula kalau timbul fitnah. Ada juga beberapa orang yang lalu-lalang, senyum-senyum memandangku. Bertambah rasa gelisahku, aku mesti tamatkan perbualan ini dengan kadar yang segera.

“Emm..errr..untuk awak..” akhirnya aku luahkan juga.

Yusof senyum lebar. Sangat gembira. “Untuk saya?”

Aku angguk perlahan-lahan. Kali ini mataku terus menatap kasut hitam yang aku sarung ke kaki. Agaknya pipiku sudah kemerah-merahan disambar cahaya matahari, tambahan lagi disimbah darah gemuruh yang menerbitkan rasa maluku.

“Awak yang masak ke?”

“Ye saya tapi ada juga yang umi masak..”

“JazakAllahu Kheir (Moga ALLAH Membalas Kebaikan Kamu)”

Aku angguk malu.

“Awak dah baca?”

Aku gelabah. Aduh, mesti dia tanya tentang surat tu. Memanglah aku dah baca Encik Calon Suami, kerana suratmu itulah yang buatkan aku jadi gelabah tahap kura-kura ni, aku hanya mampu berkata-kata dalam hati.

“Saya nak balik ni, boleh bagi laluan tak?” suaraku lemah, terlalu malu sangat ni.

Yusof senyum. Dia tahu gadis dihadapannya ini malu-malu. Alhamdulillah (Segala Puji Bagi ALLAH), satu perkembangan yang positif.

“Boleh tapi dengan satu syarat..”

“Syarat?”

“Boleh tak?”

Laju sahaja aku mengangguk. Terpaksalah bersetuju, tak akanlah aku nak biarkan kami lama-lama lagi di sini. Bahaya, syaitan dah mula perhati!.

“Boleh masakkan untuk saya lagi?”

Hukk, terasa gugur jantungku dengan permintaannya itu!. “Baiklah..”

“Assalamualaikum ((Selamat Sejahtera Keatas Kamu (Semua))..”, jaga diri baik-baik ye”

“Waalaikumussalam (Segala Sejahtera Keatasmu).., awak pun” tanpa tunggu lebih lama lagi, aku angkat kaki. Dia bermurah hati memberiku laluan untuk aku berjalan ke hadapan. Alhamdulillah, leganya!. Cepat-cepat aku bergerak ke arah pagar. Aku mahu segera beredar. Rasa maluku sudah menjengah ke tahap maksimum. Pertama kali dalam sejarah, aku berbual berdua-duaan dengan lelaki serapat begini!.

“Tahniah Yusof, kau dah berjaya buat si taman bunga berbuah kembang. Ummmmm, sedapnya bau” muncung mulutnya hampir bertemu dengan hidung, menghirup bauan makanan yang disediakan bakal isterinya. Yusof tersenyum riang. Dia sekadar menghantar langkah bakal isterinya dengan senyuman.

Duhai pemilik hati, mata berpasangan dengan matanya. Telinga dengan pasangan telinganya. Tangan dan kaki berpasangan dengan pasangannya. Izinkan hatiku menjadi pasanganmu yang selama ini hanya satu. Izinkan hatiku dan hatimu bersatu dalam cinta-NYA, desir hatinya.

“ALHAMDULILLAH (Segala Puji Bagi ALLAH) yang mengurniakan nikmat cinta” bisik Yusof sambil melebarkan senyuman. Mensyukuri nikmat ALLAH.



No comments:

Post a Comment