Sunday, February 1, 2015

Novel Izinkan CintaMu Yang Pertama 1


BAB 1

Punggungku kebah, sejak tadi berpaut pada buaian rotan gantung. Aku bukan sengaja mahu bersadai, menayang diri dihalaman rumah. Menunjukkan ragam dengan muka kelat yang macam mangga busuk. Aku termenung muram, memikirkan masa hadapan yang tidak boleh diramal melainkan ALLAH sahaja yang Maha Mengetahui. Aku buntu, asakan daripada abi dan umi sentiasa bermain diingatan.

Kahwin pilihan keluarga vs pilihan sendiri?.


Abi beria-ria mahu aku berkahwin dengan anak muridnya. Huh, diulangi anak murid abi yang tidak aku kenali asal-usulnya, bakal berjodoh denganku!. Abiku, aku tak mahu berlakon dalam drama airmata lagi, Perkara sebegini melibatkan hati dan perasaanku. Dari dulu lagi, aku setia menanti Akhi Amir. Tak mungkinlah mereka boleh buat-buat tidak perasan kesetiaanku dengan akhi, mereka tahu aku bukan wanita yang mudah jatuh cinta apalagi melayan ribuan jejaka.


 Hatiku termangu-manggu sendirian.

Ya ALLAH, apakah ini yang ENGKAU mahukan dalam hidupku?. Aku sudah ada dia tetapi ENGKAU hadirkan dia yang misteri pula sebagai pilihan jodohku. ALLAH.. aku lemah. Berilah aku kemudahan dalam menyelesaikan segala yang rumit. Kuatkan hatiku dalam menghadapi ujian-MU ya ALLAH…

Nak Kahwin rela atau terpaksa ea, mmmmm?. yang mana lebih penting, restu keluarga ke, atau pilihan hati kau, Nur?
, suara hatiku berbisik, menghentam pula.

Aku lepaskan keluhan berat. “Mestilah aku pilih restu abi dan umi” bicaraku meletus perlahan. Hanya diriku yang mendengarnya. Tatkala aku begitu khusyuk melayan perasan, aku tergamam. Mataku terpandang ke arah susuk tubuh dua insan yang telah mengacau-bilau ketenteraman hatiku sejak bertahun-tahun yang lalu. Aku dihimpit debaran, hatiku mula berginjak kekok. Aku tundukkan pandangan ke bawah, membiarkan telingaku sahaja yang berfungsi. Salam yang mereka beri, Aku jawab dalam hati.

“Anakku Su. Alhamdulillah (Maha Suci ALLAH), dapat juga umi jumpa Su sayang”

Drama sebabak itu benar-benar menyentuh hatiku. Ah, mataku masih berkeras, mahu tunduk menghadap lantai!.

Aku cantumkan kedua-dua jari-jemari kiri dan kananku, agar bertemu antara satu sama lain. Jari-jemariku bergerak-gerak, bergesel dengan rangkaian jari yang lain. Aku gelabah. Aku tundukkan kepala, sengaja tidak mahu berlaga wajah dengan wajah mereka. Bukan sahaja mata, malah hatiku juga ikut berdegil, tidak mahu menyambut kedatangan mereka.

Bukan aku yang pinta jadi begini, aku sentiasa memaafkan. Cuma, kemesraanku kepada kalian telah lama hilang. Maaf, aku tak sempurna, bukan maksum, yang tiada dosa!, luah hatiku.

Aku tersentak, mataku bertempung mata dengan Abang Haiqal. Aku menyumpah diri, tadi mataku tiba-tiba berani mendongak ke sana. Mujur sempatku tunduk semula. Aku tahu Abang Haiqal dan Kak Su terkedu dengan tindakanku. Terserlah sikap tidak mesra alamku terhadap mereka.

“Apa khabar umi, nek”

Aku dengar suara kak Su sayu dan bernada muram. Mungkin ada tanda-tanda akan menangis. Aku dengar juga suara umi sudah mula serak, dibanjiri airmata. Ekor mataku mencuri pandang lagi ke arah muka pintu. Mereka sedang berpelukan. Umi dan nenek saling berdakapan dengan kak Su. Abang Haiqal pula sekadar menjadi pemerhati program jejak kasih itu. Hairan, aku tidak perasan langsung sebarang bunyi kereta atau tapak kaki manusia masuk ke perkarangan rumahku sedangkan aku berada di luar rumah. Ish, nampak sangat aku tidak fokus pada keadaan sekelilingku!.

“Rindunya dengan kak Su..”

Aku kenal suara itu. Suara adik bongsuku, Iman Khairana. Perasaan sebak mula menjengah hatiku. Aku bagaikan patung, hanya mampu memandang mereka tanpa menyapa. Ekor mataku gatal lagi, menoleh ke sana. Kali ini mataku bertemu mata kak Su. Cepat-cepat aku kalih ke arah lain. Rupa-rupanya kak Su sedang memerhati sejak tadi. Aku sahaja yang tidak mengerti maksud renungan matanya yang bundar lagi sayu itu.

Kenapa susah bagiku melupakan kejadian lalu?. Umi, abi, Iman dan nenek tidak pernah mengungkit, tetapi isu silam lalu, tetapku bangkit. Aku masih mahu makan hati berulam jantung. Aku bukan benci dengan kak Su dan abang Haikal. Aku sebenarnya …  


Aku.. Aku masih terluka…mmm..

“Maafkan kak Su dik. Maafkan kami..”

“Sampai hati kak Su rampas tunang adik kak Su sendiri. Nur tak pernah duga kak Su seberani ni” lontaran suaraku masih tidak keras. Aku yang berhati lembut tidak betah marah sesuka-hati. Disebabkan aku tidak suka berkasar dari dulu lagi, akhirnya ada orang yang berani menabur duri dalam kamar hatiku.

Aku terharu mendengar sedu-sedan tangisan daripada kak Su. Hatiku mudah sahaja jatuh simpati, namun cekap sahaja hatiku libas segala perasaan kasihan yang menapak dan berumah dalam hatiku.

“Tangisan luar memang nampak banjirnya kak Su. tapi tangisan dalam, lebih banyak limpahan omak tsunaminya..” sempat lagi aku lontarkan kiasan, sengaja mahu dia ingat tentang luka yang berdarah ini.

Nafasku hampir sesak, kak Su tiba-tiba sahaja menerkam tubuhku, merayu dan menangis minta belasku. Berulang-kali dia usap belakang tubuhku, namun aku keraskan hati menepis pujukan daripadanya. Airmataku hampir menitis, aku gagahi jua membentak dingin. Aku tidak mahu menangis walau setitik pun dihadapan kak Su. Aku tidak mahu biarkan kelembutan airmata ini menempel dipipiku. Biarlah aku begini, keras dan kaku. Aku relakan tangisanku membanjiri kolam hati, bukan kolam mata. Muktamad!.

“Tolonglah, maafkan kak Su…” kak Su merayu lagi. Hingus meleleh pada kedua-dua lubang hidungnya. Pipinya banjir dengan hujan airmata, semakin lama semakin lebat mengalahkan hujan yang menyimbahi bumi.

Pelukannya sengaja aku leraikan. Aku bawa hala punggungku, duduk jauh sedikit dari kedudukan kak Su. Bunyi spring katil kembar dibilikku mula kedengaran ketika aku berganjak tadi. Suasana bilikku hanya dibingitkan dengan tangisan kak Su, sedangkan aku hanya bersuara apabila perlu sahaja.

Nur bukan Tuhan dapat memberi keampunan. Pintalah kepada ALLAH. Hutang dosa, hanya ALLAH yang menghitungnya, bukan Nur. Nur tak boleh tolong bayarkan untuk hamba-NYA yang lain....” ujarku selamba. Kali ini nada suaraku agak keras berbaur pedas.

“Selagi Nur tak maafkan kak Su, selagi itulah hati kak Su ni tak tenang dik. Kami memang berdosa dengan Nur. Kak Su memang keji Nur. Maafkan kak Su..” rintihnya lagi.

“Abang Haiqal sayang sangat dengan Nur tapi dia pun sayang…” bicara kak Su terhenti. Kepalanya menunduk, menangis teresak-esak.

Hatiku dipagut sayu mendengar nama tadi. Kak Su tua daripadaku, sebaya dengan abang Haiqal. Aku pula muda dua tahun dari mereka. Persamaan kami ialah kami bersekolah di sekolah agama yang sama. Abang Haiqal dilantik menjadi ketua pengawas sekolah, kak Su pula dikenali sebagai pelajar paling terbaik dalam seni tulisan khat. Hantarlah dia kemana-mana pertandingan khat, pasti gelaran juara bakal digondolnya. Aku pula, hanya pengawas capuk yang biasa. Pendiam dan tidak peramah sangat macam kak Su. Aku kenal dengan abang Haiqal setelah kami menyertai kem perkhemahan pengangkap, itupun ada orang tengah yang sampaikan niat abang Haikal yang mahu mengenaliku dengan lebih dekat lagi.

Kami sepakat bertunang atas persetujuan kedua-dua pihak keluarga yang mahukan kami bercinta ikut cara yang halal, mereka mahu kami bernikah usai aku tamat persekolahan menengah. Aku sangka panas sampai ke petang, rupanya ada petir kilat ditengahhari. Aku tidak tahu sejak bila abang Haiqal dan kak Su jatuh cinta, setahuku mereka hanya bertemu kalau abang Haiqal ada kirim surat kepadaku. Kak Su selalu jadi orang tengah, rupanya orang tengah yang tikam aku dari belakang. Musuh dalam selimutku adalah kakak kandungku sendiri yang amat aku percayai selama ini. Bijak sungguh mereka sorokkan hubungan mereka dari pengetahuanku. Kejadian pahit itu berlaku ketika aku ditingkatan 3, kak Su dan Abang Haiqal sudah tamat pengajian sekolah menengah.

“Haiqal cintakan kak Su juga. Kami jatuh cinta dalam diam. Tapi kak Su tak pernah berniat nak rosakkan cinta Nur…”

ALLAH.. ALLAH.. ALLAH. Hanya itu yang mampu aku ucap dalam hati.

“Kalau cinta sekalipun, perlu ke akhirinya dengan zina, hah!”. Celupar sahaja mulutku menengking. Aku mengatakan yang benar. Aku tidak benci jika hatiku dikhianati, yang paling buat hatiku hancur lumat-lumat semestinya pada perbuatan biadap mereka. Aku tidak mampu lupakan perbuatan terkutuk itu dengan mudah. Nafsu amarah menguasaiku, aku tajamkan bebola mataku kepadanya. Kak Su tunduk, takut agaknya. Airmatanya semakin ligat mengalir keluar.

“Kenapa dia tak putuskan sahaja pertunangan kami kalau dah berkenan sangat dengan kak Su?. Kenapa nak tunggu sampai buat benda tak senonoh, baru nak mengaku cinta?...”. Sungguh banyak tujahan persoalan yang aku utarakan. Memang itulah yang sering aku soal dalam hatiku semenjak peristiwa pahit ini terjadi dalam sejarah keluarga kami. Airmataku bergenang, mujur tak tumpah.

“Dia tak salah dik. Dia memang cintakan Nur tapi dia tak boleh lupakan kak Su. Kak Su yang salah, kalau kak Su tak datang ke rumah dia petang tu, semua ni tak akan berlaku dik. Kak Su nak betulkan keadaan tetapi jadi lebih teruk..”

“Kak Su tergamak masuk ke rumahnya dan berzina tanpa sengaja. Semuanya tanpa sengaja ke kak Su?. Soalku sinis, aku ketap bibir, nafasku terketar-ketar menahan marah.

Kak Su tundukkan kepalanya ke bawah semula, mungkin malu denganku. “Keluarga dia tak ada kat rumah masa tu, salah-seorang saudara mereka masuk wad. jadi, semua orang pegi melawat kecuali dia. Kak Su memang nak balik selepas kami bincang hal kita bertiga. Kak Su dah berniat nak undur diri, kak Su nak dia pilih Nur dan berkahwin dengan Nur. Masa kak Su nak melangkah keluar dari pagar rumahnya, hujan tiba-tiba aje turun dengan lebat. Dia ajak kak Su berteduh kat dalam sebab pakaian kak Su dah lencun. Kak Su terpaksa ..”

“Cukup. Tak payah cerita lagi” Aku mengangkat telapak tanganku, isyarat untuk mengakhiri ceritanya tadi. Telingaku tidak tergamak mendengar kisah zina yang amat dibenci ALLAH.

“Ingat tak apa pesan kak Su kat Nur dulu. Kak Su selalu ungkapkan ayat ALLAH ni kat Nur, kak Su mahu Nur jaga diri sepanjang berhubung dengan abang Haiqal. Kan.” Sindirku lagi.

Aku sengaja bertentang mata dengannya. Kak Su pula mengelak diri, lebih suka menunduk kepalanya ke bawah.

“La Taqrabu Zina, (Al-Isra, 17: 32)”

Suasana bisu.

“La Taqrabu Zina!” ulangku lagi lebih kuat”

Kak Su menangis teresak-esak. Bahunya terhinjut-hinjut.

“Dan janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.” Aku mahu dia benar-benar insaf, bukan niatku mahu malukannya. Aku mahu kak Su fahami terjemahan ayat al-quran, kalam ALLAH itu dengan rasa keinsafan dan taubat nasuha yang sebenar-benarnya. Dia dan abang Haiqal gagal mengawal nafsu, ya aku tahu semuanya telah terjadi, aku tidak boleh undurkan masa. Siapa aku mahu menghukum mereka?. Tugasku sekarang hanya doakan mereka, walau dalam diam. 

“Harapkan pagar, pagar makan padi” sambungku lagi dengan perlian.

Kak Su terus berlari deras ke muka pintu bilikku. Bayangnya sudah hilang dari pandanganku. Mungkin sisa penyesalannya terlalu menggunung tinggi. Mungkin juga gegendang telinganya bernanah, tidak mampu menampung segala perlian dan sindiran aku terhadapnya. Akhirnya aku lepaskan juga airmata yang sedari tadi aku tahan dari gugur.

Aku menghela nafas sesak, dalam kesedihan. Kepalaku menunduk ke bawah ditemani tangis sendu. Kejamkah aku?. Tidak, aku memang patut bersikap dingin. Kebenaran tidak mengenal siapa orangnya, walaupun kerabat saudara kita sendiri. Hukum ALLAH tidak pilih kasih, yang salah tetap salah. Haram tetap haram. Istilah ‘tidak sengaja’ yang bermain dibibir manusia hanya alasan, bukan tiket untuk lari dari hukum ALLAH.

“Kak Nur tak nak jumpa kak Su dengan abang ipar kita ke?”

Aku tersentak. Lamunanku melayang jauh. Aku mengangkat kepala sedikit, merenung insan yang meyapaku tadi. Iman sedang menanti jawapan dariku, aku pula termanggu-manggu kelu. Diam membisu tidak mampu berikan jawapan yang pasti. Aku bukan seorang pendendam, tidak sesekali memusuhi mereka. Aku pun tidak tahu sampai bila aku akan terus menjauh diri daripada kak Su dan abang Haikal.

“Dahlah tu kak Nur. Tolonglah buang ego tu jauh-jauh. Sampai bila kak Nur nak hukum diaorang?. Iman tak suka tengok kita semua berpecah-belah. Iman sayang korang berdua tau”

Aku kerling ke muka pintu. Bayang mereka sudah menghilang, hanya Iman yang setia berdiri dihadapanku. Aku kurang pasti sejak bila pula mereka semua masuk ke dalam rumah, yang Iman pula tiba-tiba sahaja sudah terpacak diruang mataku, eh pelik sungguh. Memanglah aku naik pelik, aku berangan sejak tadi memang patutlah aku tidak peka pada keadaan sekeliling, heh!. Berbalik kepada luahan Iman tadi, aku akui ada perasaan sedih sudah bertapak dihati ini.

Aku bingkas bangun, tinggalkan Iman sendirian. Dia berhati luhur, tidak suka menjadi batu api. Iman, kau tak akan pernah tahu perasaan yang kak Nur simpan ni. Apakah kau tahu kak Nur masih bergelut dengan perasaan amarah dan sayang sekaligus?. Bohonglah kalau kak Nur kata, kak Nur tak sayang mereka. Ya, memang kak Nur ego!. Rajuk kak Nur masih menjeruk lagi Iman. Kaca yang sudah terhempas pecah, memang sukar nak dicantum semula. Kalau bercantum pun pasti akan ada kesan retaknya. Mana mungkin boleh jadi normal balik, luah hatiku. Kalaulah Iman dengar semua ni. Huh, Semuanya hanya kalau sebab lidahku kelu untuk tegakkan kebenaran buat diriku sendiri!. Lebih baik aku diam dari berkata-kata.

Belum sempat aku melangkah setapak lagi, Iman memintas. Mahu memujuk diriku yang berhati batu.

“Sedangkan Rasulullah Sallallahhu Alaihi Wassalam pun tidak berdendam dengan perbuatan orang-orang kafir laknatullah yang menyakiti baginda, mengapa umat baginda pula berkeras hati?. Kak Nur jangan lupa. ALLAH kita Maha Pengampun. ALLAH memaafkan hamba-hamba-NYA yang bertaubat dan kembali kepada-NYA, kenapa kita pula menjauhkan diri dari hamba-hamba-NYA yang sudah bersih?”

Mendengar sahaja kalimah ALLAH dan Rasulullah, tubuh badanku tiba-tiba terasa dingin yang amat sangat. Nampak gayanya air sejuk yang disimbah oleh Iman tadi, sudah menampar tubuhku agar merinding dingin. Aku percepatkan langkah, membuka kereta kancil merah jambuku. Aku hidupkan enjin, lantas tergesa-gesa membawa keretaku keluar dari perkarangan rumah. Bicara akhir Iman tadi, membuka ruang pada mataku untuk menumpah tangis. Aku menangis semahu-mahunya.

“Degilnya hati kau Nur!” marahku kepada diri.

Iman labuhkan punggungnya ke buaian rotan yang diduduki kakaknya tadi. Serabut otaknya memikirkan kesudahan kisah kak Su dan kak Nur. Kalau drama bersiri, pasti ada penamatnya. Kisah perang dingin kak Su dan Kak Nur pula, entahkan ada jalan penamat atau tergantung begitu sahaja. Mmmmm..

>>>

“Kat manalah aku nak bawa diri ni..” keluhku setelah airmataku berhenti mengalir. Mataku melilau, aku tumpahkan pandanganku ke luar tingkap. Aku mencari destinasi persinggahan yang dapat menghadirkan ketenangan dalam jiwaku yang sedang bercelaru. Aku membuat pusingan ‘U-turn’ setelah mengambil keputusan untuk menuju ke masjid Al-Hikmah, berhampiran sahaja dengan taman perumahanku. Aku sudah terlajak jalan, terpaksalah aku undur, berpatah semula ke jalan yang sepatutnya.

Usai sampai diperkarangan masjid, aku matikan enjin. Aku berlenggang sahaja tanpa bawa apa-apa. Tadi aku keluar sehelai sepinggang, tiada beg tangan mahupun telefon bimbit yang mengiringi langkahku. Kepalaku sempat mendongak langit, keadaan langit kelihatan suram, gelap. Kalau hujan, nampaknya aku perlu berteduh dalam masjid seketika, tunggu hujan reda. Aku tidak mahu fikir apa-apa lagi, yang aku mahu fikirkan hanya satu. Mahu mengingati ALLAH sebanyak-banyaknya.

Ish, dia!. Ajuku kepada diri. Hatiku tersentap setelah melihat susuk tubuh seseorang. Dialah Encik Calon Suami. Bakal menantu pilihan abi dan umiku.

“Mengganggu ketenteraman hatiku betul. Dahlah hati aku tengah gundah-gulana, dia datang pula tambahkan lagi gulana ni” rungutku sambil menutup daun pintu dan mengunci. Aku biarkan dia berjalan terlebih dahulu, sementara aku hayunkan langkah dengan tertib dan perlahan-lahan. Kakiku terasa berat untuk melangkah dan melintasi perjalanannya. Aku mahu mengelak dari bertembung muka dengannya. Memanglah aku tak boleh mengelak bertemu muka dengannya untuk selama-lamanya. Dia bakal suamiku, pastinya suatu masa nanti kami akan bersua juga. tetapi setidak-tidaknya, bukan sekarang. Bukan dalam keadaan hatiku yang serba tidak kena ni.

Fuh, lega!., desir hatiku. Bayang-bayang si dia sudah hilang. Cepat-cepat aku mencari arah ke bilik whuduk. Niatku mahu mengerjakan solat ‘sunat tahiyyat masjid’. Sebelum aku menegak tiang solat, aku akan cuba sentiasa membaca doa selepas whuduk. Aku tidak melakukan perkara kebaikan itu, sekiranya diterpa lupa. Bacaan ruminya begini ;

“Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH, Dan tiada sekutu bagi-NYA. Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu hamba-NYA dan pesuruh-Nya. Ya, ALLAH!. Jadikanlah aku dikalangan orang yang bertaubat dan jadikan aku daripada orang yang menjaga kesucian dan jadikan aku daripada hamba-MU yang soleh..”

“Membaca doa selepas whuduk ni hukumnya sunat. Cara membacanya ialah dengan menghadap kiblat dan mengangkat atau menadah kedua belah tangan ke langit. Manakala pandangan kedua mata ditujukan ke langit, walaupun dia seorang yang buta. Ingat, jangan tunggu masa yang lama. Doa selepas whuduk sunat dibaca sesudah berwhuduk dalam jangka masa yang tidak terlalu lama..” pesanan abiku, menjengah ingatanku sejenak.

Aku senyum dalam ketenangan. Mengucap syukur kepada Yang Maha Esa, ALLAH. Aku sepatutnya bersyukur dengan kelebihan ilmu agama yang ada dalam diri abiku, hingga aku mampu mengutip buih-buih ilmu yang bermanfaat melalui pengajarannya dalam bidang agama. Sejak kecil lagi aku dan adik-beradikku mendapat didikan agama kerana abi sangat menitikberat perihal Islam dalam diri kami.

Fikiranku tiba-tiba dirasuk bayang kak Su. Airmataku deras mengalir. Nasi sudah jadi bubur. Menangis airmata darah sekalipun, tidak mampu membaluti dosa silam. Aku tidak mahu menyuluh cermin pada kain koyak orang lain, lebih baik aku cermin diri-sendiri yang sarat menampung dosa samaada yang aku sedar atau tanpa aku sedar.

Kau bukan malaikat Nur, kau bukan maksum tiada dosa. Kau pendosa Nur. Janganlah kau biarkan hati kau berasa riak dan takbur. Jangan ingat kau mulia daripada kak Su dan abang Haiqal, jangan sesekali Nur.
bisik hati kecilku, cuba membakar sifat bongkak dalam diri. Aku tarik nafas dalam-dalam sebaik sahaja tumpuanku sudah beralih arah ke tikar sejadah.

>>>

“Berapa lama kamu berdua kat Malaysia ni?” Puan Siti kian galak menatap wajah anak dan menantunya, silih-berganti.

“Lama jugalah Umi. Qal rasa, kami sempat tengok Nur naik pelamin kalau majlis tu diadakan sebelum kami berangkat ke Mesir. Sekarang ni, Qal masih dalam cuti semester” Haikal menjawab pertanyaan mertuanya, sambil melirik Su yang berada disebelahnya. Wajah Su yang tersenyum kelat, mengundang sebak dihatinya pula. Haiqal tahu Su, isterinya masih bersedih dengan kedinginan Nur terhadap mereka. Dia pun tak mampu maaafkan diri-sendiri, apatah lagi Nur yang menjadi mangsa keadaan. Haiqal menelan airliur pahit, bagai menelan peria.

Nur Syahadah, insan yang penting dalam hatinya. Kalau dia biarkan perasaan cinta masih mahu menempel dalam hati, dirinya akan kecundang lagi. Kasihnya terhadap Nur masih ada, kalau disiram dan dibaja memang boleh tumbuh mekar semula. Hurm, dia tidak akan benarkan perasaan seperti itu bermukim dihatinya lagi!. Dia tidak sanggup melukai hati Su pula. Beban kesalan yang ditanggungnya sehingga kini, tidak akan hilang hingga ke akhir hayatnya. Basuhlah dengan ‘clorox’ sekalipun, kesan hitam itu tidak akan putih semula. Dia berdosa dengan Nur, dosa itu akan terampun andai Nur berbaik dengan mereka, ya hanya cara itu sahaja mampu memadamkan rasa bersalahnya selama ini.

“Baguslah, moga kita semua dapat berkumpul ramai-ramai di majlis tu nanti..”

“Nur bakal kahwin dengan siapa umi?. Su kenal tak orangnya?” Su menyampuk. Ada garis sayu dihatinya.

“Kamu tak kenal sebab budak lelaki tu bukan orang sini, Orang Kuala Lumpur nun. Budak tu salah-seorang anak murid pondok abi kamu. Abi kamu bagitahu, budak Yusof tu berhijrah ke sini beberapa bulan yang lepas. Pondok Al-Nur Mukminin abi kamu tu dah ada bakal pewarisnya. Abi kamu berhasrat mahu bakal suami Nur turut serta membangunkan pondok Al-Nur Mukminin. Mesti budak tu istimewa orangnya sampai abi kamu serahkan amanah itu” Uminya senyum lebar.

“Syukur Alhamdulillah (Segala Puji Bagi ALLAH)..” ujarnya. Su gembira tak terkata. Su sentiasa mendoakan kebahagiaan adiknya tiap-tiap kali selesai solat. Dia sudah banyak menabur duri derita dalam hidup adiknya, sudah tiba masanya kebahagiaan memeluk Nur. Su terpaksa senyum ceria, menutup duka dan kesalan. Dirinya sentiasa terkenang-kenang kejadian lalu, mengenang dosanya yang tercipta dikawasan perumahan ini.

“Nur setuju tak umi?” ringan sahaja mulutnya bertanya. Ada juga rasa bimbang dihati, manalah tahu Nur masih ada hati dengan suaminya, Haiqal. Nak salahkan Nur pun tak boleh, Dia yang rampas Haiqal daripada Nur. Nur tidak bersalah, Dialah yang sepatutnya dipersalahkan. Hurm, hati Su sebak.

Puan siti gerakkan bibir, terpaksa senyum dan menganguk-angguk. “Dia setuju”. Sebenarnya, dia serba-salah. Nur tidak pernah zahirkan persetujuan, suaminya sahaja yang memandai-mandai. Dia pula diluah mati mak, ditelan mati bapak, tersepit di tengah-tengah. Sokong suami atau anak?.

“Biarlah budak Yusof tu jaga Nur. Abang yakin dialah pengganti Amir yang selayaknya. Awak pun sedia maklum, kenapa kita kena cepatkan pernikahan ni?.”

Kata-kata suaminya, diulang tayang lagi. Memang mereka terpaksa buat keputusan mendadak. Puan Siti nekad, rela Nur menangis sekarang dari menangis dikemudian hari. Pilihan suaminya pasti yang terbaik memandangkan suaminya lebih arif soal agama.

“Nur makin ceria sejak dua menjak ni” ujarnya, mereka-reka cerita yang tidak ada. Terpaksalah dirinya menutup cerita yang sebenar, demi membuang rasa bersalah dalam hati Haiqal dan Su. Dia mahu jernihkan hubungan mereka dengan Nur. Sejak kejadian lalu, hubungan Nur, Su dan Haiqal berantakan.

“Jangan lambat sangat umi. Kalau kedua-duanya dah setuju, Langsungkan aje majlis tu secepat yang mungkin. Buat apa tunggu lama-lama. Buah cempedak masak kalau diperam lama-lama pun boleh busuk, inikan pula hubungan adam dan hawa. Jangan ada perkara buruk pula yang mengotorinya nanti…” Haiqal sengaja memerli diri, biar dirinya tahu dosa sendiri.

Su terkesima. Airmata laju sahaja mengepung kelopak matanya. Anak matanya berlaga dengan mata suaminya. Masing-masing sebak.

Puan Siti terkilan, berasa kasihan. Seboleh-bolehnya dia cuba mengelak dari berbicara hal yang telah berlalu. Parut yang lama kalau diselak, boleh memuntah hamis darah.

Nek Jah yang baru sahaja mahu menapak keluar dari biliknya, berhenti dari melangkah. Dia bersandar ke dinding. Airmatanya mengalir keluar mengenang dosa cucunya. Kisah pilu lalu tidak pernah luput dari ingatannya.

“Mana abi nak letak muka ni Su. Kamu berzina dengan tunang adik kamu sendiri. Abi tak kisah kalau semua orang nak mengejek, ludah ke muka abi. Abi takut balasan ALLAH. Kamu tahu tak apa yang kamu lakukan tu memang dilaknat ALLAH!”

Dada Su sesak dengan hambatan kata-kata abi kepadanya. Sepintas lalu, dirinya terkenang kesilapan lampau.

“Kamu dan Haiqal mesti bernikah malam ni juga”

Kecut-perutnya mendengar nada keras abinya. Su nampak wajah umi pucat-lesi pada hari dia  ditangkap khalwat dengan Haiqal. Dirinya menyedari riak terkejut diwajah Nur. Su masih ingat lagi wajah sinis orang-orang yang menangkap dia dan Haiqal, sungguh terasa dirinya keji. Manusia dibumi sahaja sudah pandang hina, apatah lagi penduduk di langit. Paling dirinya takuti, pandangan ALLAH, Astagfirullahhal’adzim (Aku Mohon Ampun Kepada ALLAH Yang Maha Agung), Astagfirullahhal’adzim (Aku Mohon Ampun Kepada ALLAH Yang Maha Agung), Astagfirullahhal’adzim (Aku Mohon Ampun Kepada ALLAH Yang Maha Agung), 

 
“Eh, leka betul kita berbual, sampai tekak ni dah kering dibuatnya kan. Tunggu kejap ye, umi nak jengah ke dapur. Entah apalah yang dibuat si Iman kat dapur tu, bancuh air ke, tadah air?. Lama sangat..” dalihnya. Tergesa-gesa dia beredar, airmatanya sudah mula bergenang sebaik sahaja dirinya memijak kaki dapur. Dikesanya airmata yang tumpah setitik dua titik menggunakan jari-jemarinya. Kemudian, dia mendekati Iman yang terkocoh-kocoh membancuh air kopi.

“Hai tak siap bancuh lagi minuman tu cik Iman..” guraunya, berharap dukanya segera terhakis.

Iman sengih manja. “Hee, belum lagi. Kopi ni asyik pahit aje. Dah banyak kali dah orang taruk gula, pahit juga. Orang bukan tak reti buat, cuma tak biasa aje..”. Iman beralasan. Dia halakan muncung sudu yang berisi air kopi itu, berharap uminya menghirup sedikit.

“Pahitnya”

Iman sengih malu.

“Sejak bila pula gula kat dalam rumah ni kehabisan stok?, abi kamu baru aje beli semalam…” Puan Siti bergurau, sambil menyusun cawan ke atas dulang.

Bibir Iman muncung, pura-pura merajuk. “Ala umi ni perli orang pula. Tak baik tau..”

“Cepat sikit Iman. Abang dengan kakak kamu dah lama tunggu tu”

“Baik tuan permaisuri yang cantik rupawan bak bulan purnama..”

“Amboi, Membodek umi aje kerjanya..” dia tersenyum simpul dengan usikan nakal anak bongsunya. Teringat pula dengan Nur, anak keduanya pun suka menyakatnya. Puan Siti teringat hal lalu semula.

“Mmmm.. Iman..” suaranya yang riang tadi bertukar muram.

“Ye umi”

“Iman tahu tak, kak Nur keluar ke mana?”

“Dia tak bagitahu pula nak ke mana. Tadi, dia menonong aje masuk kereta, menoleh ke belakang pun tak. Iman tak sempat nak tanya apa-apa kat dia umi..”. Wajah yang ceria tadi bertukar sayu. Dia menyorok wajah sayunya, menunduk tanpa menoleh ke sebelah sisinya. Dia sedar dirinya sedang diperhatikan.

Puan Siti angguk. Umi tahu Nur masih tak dapat lupakan apa yang terjadi dulu, Umi minta maaf sayang. Umi tak boleh tolak kak Su kamu dari hidup kita. Dia tetap anak umi. Umi sentiasa faham perasaan Nur, hatinya rasa bersalah. Anak matanya berkilau, dipenuhi cecair jernih.

“Umi, dah alang-alang umi buka cerita pasal kak Nur, orang nak tanyalah umi. Dah lama orang pendam aje selama ni, tunggu masa yang sesuai aje nak bertanya..”

“Apa tu Iman, tanyalah sekarang..” pandangan kilat dalam kilau Iman menimbulkan tanda-tanya dihati Puan Siti.

Iman teragak-agak, digagahinya juga menyoal uminya. “Err, Kak Nur berdendam dengan kak Su ke?”. Pedas betul soalannya tadi. Kalau dibuatnya kak Nur dengar, memang makan hatilah kak Nur terhadapnya.

Berkerut dahi Puan Siti, kurang senang dengan pertanyaan anaknya tadi. “Ish tak mungkinlah kak Nur kamu nak berdendam. Dia perlukan masa nak bina hidup baru, dah kahwin nanti baiklah dia” sangkalnya.

“tapi, kalau dia macam tu juga umi, apa kita nak buat?..”

“Apalah yang dibualkannya ni, rancak semacam aje..”

Belum sempat Puan Siti menyampuk, datang pula suara dari arah muka pintu. Puan Siti dan Iman terkejut bukan kepalang. Su berdiri tegak dihadapan pintu masuk dapur sambil melempar senyuman ke arah mereka.

“Umi tengah nasihatkan Iman, Umi nak dia buat betul-betul dalam SMA nanti. Insya’ALLAH boleh cemerlang, kan Iman”

Mata umi yang melirik ke arahnya, membuatkan sengihannya agak panjang. Jari-jemarinya mengosok-gosok dahi, pening lalat sekejap. Pandai betul umi buat dalih, nasib baiklah semua yang dikatakan uminya benar belaka. Umi selalu pesan supaya dia belajar rajin-rajin, buat sehabis baik dalam STAM. Harap-harap kak Su tak dengarlah soalanku tadi, ish sejak bila pula dia tercegat kat situ ek?.
Iman merangkul pinggang uminya, matanya melirik ke hadapan, arah kak Su. “Hai tak ada orang nak bagi hadiah ke?. Tangan Iman dok gatal memanjang aje sejak dua tiga hari ni, rasa-rasanya macam bakal dapat something aje ni..” Iman senyum meleret, topik perbualan diubahnya serta-merta.

Su ukir senyuman dalam rasa yang hiba. Pandai sungguh mereka berpura-pura, sedangkan dia sudah dengar segala perbualan mereka tadi. Hurm, duhai hati tenanglah!. La Tahzan, Innallahha Ma’ana’,( Jangan Bersedih, Sesungguhnya ALLAH Beserta Dengan Kamu), Su memujuk diri dengan mengungkap bait-bait ayat itu. Dia masih ingat lagi sewaktu di Mesir, seorang rakan baiknya pernah menasihatinya dengan menggunakan ayat dalam bahasa arab tersebut. Kata-kata semangat yang mendekatkan diri kepada pencipta.

Ya ALLAH, aku pendosa. Pantaskah aku bersedih hanya kerana sedikit ujian dari-MU?, sedangkan nikmat yang paling besar telah ENGKAU berikan kepadaku, nikmat PENGAMPUNAN-MU ya ALLAH, nikmat itulah yang amat besar kalau nak dibandingkan dengan kesedihanku ini….

Su pura-pura ceria biarpun hatinya sedang dilanda angin derita. “Kak Su memang ada bawa ole-ole untuk Iman. Bukan Iman aje, untuk nenek, umi, abi dan kak Nur pun ada tau..”

“Wah, ole-ole dari Mesir, bestnya. Made in mesir tu”

Puan Siti geleng-kepala dengan gelagat Iman. Matanya berkalih kepada Su. “Membazir aje beli macam-macam untuk kami. Kamu tu perlukan duit, orang berkahwin ni banyak pakai duit kan..”

“Eh tak adalah membazirnya umi. Kami jarang balik, apalah salahnya Su bawakan barang buat kenangan-kenangan. Nanti kalau masing-masing rindu-rinduan, barang-barang tu yang jadi tanda ingatan, betul tak Iman”

Iman usap lembut bahu uminya. “Betullah apa yang kak Su cakap umi. Kenangan tu mahal harganya berbanding harga barang-barang yang kak Su beli untuk kita. Bak kata pepatah, tak lekang dek hujan, tak lapuk dek panas...”

“Amboi, bersastera habis anak umi yang seorang ni..” senda Su.

Puan Siti tertawa kecil.

“Bahasa Malaysia Iman A plus, plus tau kak Su”

Su senyum lebar. “Yelah, orang pandai bersastera, kak Su ni terer dalam tulisan khat aje. Tak reti nak berpuitis-puitis ni”

“Ha yang tu Iman fail sikit..”

“Sudah-sudahlah bercakap tu, penat pula mulut kita ni asyik pot pet pot pet, dia nak rehat juga. Jom kita ke depan, Umi dah tak sabar nak rasa pisang goreng yang kak Su kau bawa ni”

“Kami beli kat sini umi, tu pisang goreng cik da dekat simpang jalan masuk menghala ke rumah kita. Dari kecil lagi kita dah biasa makan airtangan cik da kan. Tak sangka sampai sekarang pun cik da masih berniaga kat situ. Airtangan dia memang sedap umi..”

Puan Siti angguk. “yang jaga gerai tu sekarang cik da dan anaknya. Dulu masa mak dia masih hidup, umi memang selalu pergi sana. Jenguk mak dia. Umi paling suka kalau mak dia buat kuih pelita, memang rasanya lain dari yang lain. Umi pun kalah..”

Su angkat dulang, Iman sudah bergerak ke ruang tamu bersama air kopi tadi. Hanya mereka berdua sahaja yang masih tercegat di dapur. Bahu Su dicuit, Kepala Su bergerak ke kiri, sebelahnya. Pergerakan mereka agak terbatas sedikit, bahu mereka saling bersentuhan.

“Dah ada tanda-tanda ke?’ bisik uminya.

“Tanda apa umi?” soalnya, bingung.

“Dalam perut tu”

Su geleng, wajahnya sayu. Keningnya jatuh. Airliurnya yang ditelan ke kerongkong terasa tersekat. Ya ALLAH, aku redha dengan setiap ujian-MU, Innalillah Wainna Ilaihirajiun, (Sesungguhnya Kami Adalah Kepunyaan ALLAH, Dan Kepada ALLAH jualah Kami Kembali..) 

 
Puan Siti usap bahu anaknya, bersimpati. Usia perkahwinan Su dan Haiqal menjangkau lebih ke dua tahun, namun mereka belum dikurniakan zuriat oleh-NYA. Manusia hanya mampu merancang, ALLAH jualah yang menentukan tiap-tiap perkara. Hatinya sedikit sedih, rasa terkilan kerana masih tiada kesempatan menimbang cucu. Apa-apa pun dia tetap redha dengan segala qada’ dan qadar ALLAH.

“Sabar ye nak, manusia hanya merancang dengan cita, ALLAH pula merancang dengan cinta-NYA, perancangan ALLAH tu lebih baik..”

Hati Su terusik dengan kata-kata uminya. “Doakan kami ye umi”. Fikirannya menerawang, teringat detik-detik sukar yang telah berlalu.

“Dosa orang yang berzina ni sungguh berat, ALLAH dah laknat kat dunia lagi, akhirat lagilah teruk balasan-NYA, kecuali kalau kamu bertaubat, Insya’ALLAH. ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi hamba-hamba-NYA yang bertaubat dari segala dosa..”

Airmata bergenang dikelopak mata Su. Teguran abinya sebelum dia dan Haiqal berangkat ke Mesir dulu, tiba-tiba menjengah ingatannya buat seketika. Inilah hukuman di dunia yang harus dijalani-NYA, ALLAH tidak zalim, tetapi hamba-hamba-NYAlah yang menzalimi diri-sendiri termasuklah dirinya.

Astagfirullahhal’adzim (Aku Mohon Ampun Kepada ALLAH Yang Maha Agung),
kolam hatinya ditujahi gerimis airmata taubat, taubat nasuha, taubat yang sebenar-benarnya.

“Insya’ALLAH sayang, doa umi sentiasa ada buat kamu semua..”

Su senyum keharuan, dipeluknya pinggang uminya. Usapan tangan uminya sungguh lembut, bak sutera. Hatinya tenang dalam dakapan uminya.

ALLAH, terima kasih, Alhamdulillah (Segala Puji Bagi ALLAH), ENGKAU masih mengurniakanku nikmat ibu. Izinkan aku merasa damai disebalik tangan tuanya itu. Aku pendosa ya ALLAH, jangan biarkan dosa-dosaku, mengotori dirinya hingga menyeretnya ke neraka kelak. Ampunilah dosa kedua-dua orang tuaku ya ALLAH, limpahi mereka dengan rahmat dan kasih-sayang-MU yang tidak terhingga, ALLAH ALLAH.. Astagfirullahhal’adzim (Aku Mohon Ampun Kepada ALLAH Yang Maha Agung), 

 
Biar beribu ungkapan istigfar dilafazkan, dirinya tetap tidak tenang. Kalam istigfar tetap dirintihnya kepada ALLAH selagi hayat dikandung badan. Dosa lalu sentiasa diratapnya, mana mungkin bisa luput dari ingatannya.

“Umi, terima kasih sudi terima Su lagi”

Puan Siti toleh ke sisinya, diusapnya pipi anaknya. Masing-masing menyimpan sebak dihati. Kedua-dua wajah menguntum senyum.

“Su tetap anak umi, dunia dan akhirat…”


No comments:

Post a Comment