Thursday, February 5, 2015

Novel Izinkan CintaMu Yang Pertama 11



Bab 11

Pada sejarahmu terukir kenyataan,

Tidak kan miskin jika membela Islam,

Tidak kan hina meriba kebenaran yang mulia,

Jangan takut jika kau beriman,

~Halimatul Saadiah-In-Team-~

“Program apa ni makcik?”

“Waqaf Al-Quran dan sumbangan sedekah wang, untuk diagih-agihkan kepada anak-anak yatim, sekolah-sekolah tahfiz dan lain-lain….”

Wanita itu senyum mesra ketika aku dan umi menjenguknya. Iman dan nenek berpisah dengan kami, mereka berjalan ke hadapan meninggalkan kami. Aku lupa berpesan kepada mereka yang kami mahu singgah ke sini sebelum balik. Penyudahnya, aku dan umi sahaja yang tertinggal di sini. Umi menyelak beberapa risalah agama yang terdapat diatas meja.

“Satu kepala kami caj RM10, tulis nama di sini. Seelok-eloknya tulis nama ibu bapa dahulu.”

Aku menulis nama umi dan abi, kemudian Iman dan kak Su. Wanita tua itu membacakan doa dengan nada suaranya yang serak. Dia menangis. Aku dan umi menadah tangan. Aku dengar umi ikut menangis. Mataku menampung sebak airmata. Tenangnya hati mengaminkan doa yang dibaca wanita itu.

“Semoga urusan anak dipermudahkan ALLAH. Bersabarlah dalam menghadapi ujian-NYA. Sesungguhnya ALLAH cinta kepada hamba-NYA yang bersabar disaat musibah menimpanya. Ingatlah nak, dunia ini sementara, sampai masa kita akan pergi meninggalkan dunia ini. Tiada apa yang tinggal, tiada apa yang kita bawa. Harta, pangkat, semua yang kita ada akan kita tinggalkan. yang menyertai kita amal, sedekah dan doa anak yang soleh..”

Dalam sendu, airmataku mengalir juga. Aku sangat sedih mendengar luahan wanita tadi yang menasihati umi sambil berpelukan dengan umiku. Umiku ikut menangis. ALLAH, mataku tidak mampu menampung lagi kantung airmata yang telah penuh sejak tadi.

Siti terkenang segala musibah yang menimpanya selama ini. Hatinya diketuk kesedihan yang teramat dalam disaat wanita itu memberi kata-kata semangat. Terasa lapang hatinya, menangis dan meluah rasa melalui airmata.

“Cu, jaga mak kamu baik-baik. Jangan biarkan dia menangis. Bahagiakanlah dia. Harta yang paling mahal sekali ialah ibu dan bapa. Sekiranya ibu sudah pergi, tiada lagi keberkatan doa, doa seorang ibu buat anaknya…”

Airmataku mencurah-curah keluar. Kali ini aku berpelukan pula dengan wanita tua itu. Aku angguk. Tidak mampu berkata-kata kerana wanita tua itu berjaya menyentuh rasa sayuku. Pipiku dikucupnya. Aku diperlakukan persis cucu kandungnya sendiri.

“Fi hifzillah ((Moga) Dalam Jagaan ALLAH) makcik..” bisikku dalam hati sambil melempar senyumanku kepada wanita tua itu. Hatiku tersentuh, terharu. Kudratnya sudah lemah, aku sangat malu dengan makcik ini yang berusaha mengerah tenaganya demi berbakti kepada agama. Subhanallah (Maha Suci ALLAH), sedangkan yang pemuda dan pemudi yang sihat, kuat dan tegap pun kebanyakannya tidak pula ingin berbuat bakti kepada agama.

ALLAH, ALLAH ALLAH, aku terfikir juga tentang diriku, apakah aku sudah melunaskan tanggungjawabku sebagai khalifah-NYA di muka bumi ini?. Aku?…sebak..mmm.

“Barakallahhu Fiik (Moga ALLAH Berkati Awak)..” umiku menyapa wanita tua tadi dalam linangan sisa airmata yang tinggal.

Wanita tua itu bersalaman dan berpelukan dengan umiku. “Wa Iyyaki Bil Jaza’ (begitu juga awak, yakni: ganjaran yang awak doakan), Assalamualaikum Warahmatullah (Selamat Sejahtera Keatas kamu (Semua), Dan Rahmat ALLAH keatasmu)..”..”

“Waalaikumussalam warahmatullah hiwabaarakatuh (Segala Sejahtera Keatasmu, Dan Rahmat ALLAH Keatasmu serta Barakah ALLAH Jua Atasmu)...” jawab kami serentak.

>>>

“Ooo ini dia bakal suami Nur ye. Masuk nak. Apa tercegat lagi tu..”

Aku diserbu malu ketika makngah menyoal Yusof. Aku terpaksa mengukir senyuman yang dibuat-buat, bagi menutup rasa maluku. Kak Su dan Abang Haiqal sudah naik ke tingkat atas, pakngah menyuruh mereka tinggal di bilik tetamu yang bersaiz ‘master-room’. Aku pula tinggal sebilik dengan Iman dan nenek, bilik Ida. Ida tak ada sewaktu kami datang, kata pakngah Ida masih dimadrasahnya. Abi dan Umi disuruh masuk ke bilik sebelah kami, bilik anak terunanya yang tidak tinggal di rumah ini gara-gara menetap diasrama tahfiznya.

Kami bersalam-salaman dengan beberapa sanak-saudara kami yang hadir. Paklong dan maklong, maklang dan anak-anaknya. Pakndah sekeluarga, pakteh sekeluarga, pakcik, paksu. Semua datang dengan keluarga masing-masing. Paksu dan pakcik sahaja yang ‘single but not available’ sebab masing-masing dah ada calon, menunggu hari berlangsungnya akad mereka sahaja lagi.

Kaklang wani, sepupuku yang tua setahun dariku mengeyit matanya kepadaku. Ha, mesti mengusik aku!. Aku jeling manja kepadanya. Aku sudah masak dengan perangainya. Kalau tidak menyakat, tidak sah. Tangannnya melambai-lambai ke arahku, mahu aku mendekatinya. Aku bergerak ke sana.

“Selamat pengantin baru..”

Kaklang Wani mengusikku dengan suaranya yang perlahan. Aku ketap bibir menahan malu. “Ish, belum lagi lah..”

“Ala, coming soon. Pejam celik pejam celik, tahu-tahu adik akak ni dah nikah..” usiknya lagi.

“Hish, akak ni, tak maulah usik kita, malulah..” ujarku mesra, senyumanku tidak lekang dibibir. Aku rasa aman di sini. Bergaul-mesra dengan sanak-saudara. Cuma, tidak tenang sebab..

“Dah kenal-kenal ke?”

Aku yang duduk bersimpuh, mengerutkan dahiku. Tidak selesa dengan pertanyaan kakak sepupuku. “Kenal apanya..”

Tangan kak Wani ligat membersihkan pinggan mangkuk dari berhabuk. Aku capai kain buruk, mengikut perlakuannya. Kami berdua duduk jauh sikit dari yang lain. Kami berada diruang tengah ruang tamu, berdekatan almari pinggan mangkuk. Memang cantik-cantik pinggan mangkuk dan cawan-cawan di rumah pakngah. Semuanya nampak mahal, pakngah ‘import’ dari luar negara agaknya. Ukiran-ukiran pada alat perkakas rumah ini rata-rata kebanyakannya berukiran konsep bunga. Seni ukirannya halus dan sangat teliti.

“Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu pula dia. Kenal-kenal dengan encik suami lah, tak kan berkenalan dengan babu jual karpet tu..”

Aku sengih, gelak kecil. Lucu pula apabila kaklang Wani babitkan babu jual karpet. Kasihan si babu, namanya terbabit sekali. Eh, kaklang Wani tahu ke orang yang jual karpet tu namanya babu, aik?. Jiran dia kut, sebab itulah dia tahu nama si empunya diri.. hehehe..

“Oh, entahlah kak. Kenallah kut” jawabku bersahaja. Aku letakkan pinggan-pinggan yang sudah aku lap tadi ke tempat yang lain. yang belum dicuci, aku asingkan satu tempat.

“Ek eh, main kut-kut pula dia. Perkara ni serius tau. Tak akan tak kenal?”

Aku senyum, menampakkan barisan gigiku yang tersusun kemas, tidak ada yang besar mahupun tidak rata kedudukannya. Aku seronok berbual dengan kakak sepupu yang paling serasi denganku. Boleh dikatakan kami memang sehati-sejiwa, banyak persamaan dari perbezaan. Dia seorang yang pemalu tetapi peramah, seorang yang murah dengan senyuman tetapi tidak suka bergaul dengan insan yang lawan jenis dengannya, iaitu lelaki. Persis perangaiku.

“Kalau tak kenal tak boleh kahwin ea?” aku mengusiknya.

“Eh budak ni, main-main pula dia. Sebelum akak bertunang dulu, kami dah kenal-kenal tau. Tak adalah sampai loving loving couple cintan-cintun tahap dewa ni, kami jadi teman tapi mesra aje. Keluar pun ramai-ramai, tak pernah berdua. Takut oooo..” katanya dengan nada ceria.

Tawa kecilku terburai dengan seloroh kaklang Wani. “Takut ke malu” ejekku sambil menjuih bibirku.

“Hehehe,, dua-dua. Takut berdua pun ada, malu kalau berdua pun ada..” sengihnya.

“Ha tahu pun. Sama denganlah kita kak. Mungkin kita bercinta lepas nikah kut, kan..” aku senyum malu.

Kaklang Wani ikut tersenyum. “Sama denganlah kita..”

Tawa kecil kami terburai lagi, kami menekup mulut. Tidak mahu orang dengar kami ketawa. Buruk benar anak dara gelak ‘sakan’ begini.

“Tak sangka ea, Nur naik pelamin dulu dari akak. Amboi, langkah bendul nampak..” usiknya.

“Mana adalah. Nur tak langkah bendul pun. Nur langkah kaki masjid, nak akad nikah kat sana..”

“Oo, loyar buruk naaa”

“Hihihi..” aku sengih.

“Smart orangnya, budak tu ke yang namanya..apa ye. Nur ada cakap dulu.. Amm.. Atan..Ali.. apa kebendanya nama si budak tu, akak lupa..”

Senyumanku mati. Mmm, Amir.

“Bukan mula dari A lah kak, Y. Muhammad Yusof…”

Wani terkedu. Wajahnya berubah bingung. “Eh, tapi dulu Nur cakap kat akak, namanya Aaa apa ye?”

“Akhi Amir..” jawabku malas. Aku lajukan sapuanku pada pinggan. Naik licin pula aku kerjakan permukaan pinggan yang berwarna perang keemasan itu. Terasa diriku hampir menangis mendengar nama itu. Aku tahan, supaya tak tumbang. Aku kentalkan diri, supaya tak makan hati. Akhirnya, airmata tadi hanya sempat bergenang dalam kolam mataku.

“Haaa budak tulah. Amir. La bukan Amir ke yang nak jadi suami Nur ni?. Yusof ni siapa pula?”

Aku melepaskan keluhan berat. Menyembunyi rasa sedihku. “Tak ada jodohlah kak. Yusof ni pilihan abi…”

Mulut Wani hampir mengangga luas.

Aku kerling mata kaklang Wani, nampak sangat dia terkejut. Wajahnya yang gembira tadi bertukar muram. Mungkin simpati denganku.

Suara kaklang Waniku tidak seriang tadi. “Nur terima?”

Aku ukir senyuman senget. Senyum terpaksa. “Restu keluarga lebih penting…”

“Kesian Nur, dua kali kecewa..”

Aku tahu apa yang ingin dikatakan kaklang Wani, berkenaan Haiqal dan Amir. Mmm, Aku tidak mahu bangkitkan lagi isu ni!. Buat apa buka kisah lalu, mengumpat dosa orang sahaja. Kaklang Wani dan semua sanak-saudara kami tahu kisah pahit lalu. Aku bersyukur kerana mereka tidak menghukum kak Su dan abang Haiqal. Masing-masing menghormati mereka berdua.

“Tak apalah, mungkin untuk yang kali ketiga ni, Nur dapat senyum sampai ke mata..” selorohku.

Kaklang Wani tersenyum kembali. “Dia mesti sayang Nur tu. Jangan risau, Nur tak akan sedih lagi tau”

Aku angguk, masih tersenyum.

“dari pandangan mata dia pun, akak dah tahu dia sayang sangat dengan Nur”

Aku kaget. Kaklang Wani dah buat jantungku berdegup kencang. Aku berdebar-debar. Agaknya hatiku mahu mengambil nama Muhammad Yusof, kemudian masuk secara perlahan-lahan dalam kamar cinta hatiku. Ya Rabbi, kabulkanlah, Moga ENGKAU izinkan aku mencintai bakal suamiku melebihi cintaku kepada insan-insan terdahulu, aammiin ya rabbal alamin.
“Akak tengok si dia asyik pandang-pandang Nur tau, nampak sangat dia cintakan Nur.”

Opss, alamak!. Malu. Aku teramat malu apabila isu cinta bermain dibibir kaklang Wani. Aku masih kekok dengan Muhammad Yusof. Tentunya perasaan maluku sangat menebal.

Wajahku sudah merona kemerahan. “Eh, pandai-pandai aje akak ni. Dia tengok akak tu..” dalihku menutup malu.

Kaklang Wani memuntahkan tawanya, macam biasa dia tekup mulutnya dengan tangan. Bahunya sahaja yang terhinjut-hinjut menahan ledakan tawa.

“Amboi sukanya..” aku jeling.

“Nur ni kalau nak cover line pun, agak-agaklah. Ada ke cakap dia pandang akak. Apa faedah dia nak skodeng-skodeng akak, akak tak ada kena-mengena dalam hidup dialah.. hahaha…” kaklang Wani ketawa kecil membiarkan mulutnya terbuka, namun hanya aku yang mendengar tawanya.

Aku ketap bibir, malu.

“Nur, Nur, malulah tu..” usiknya usai menghabiskan sisa tawanya.

“Ish, akak ni. Apa yang lucunya..” aku menahan malu diusik dari tadi.

“Akak tak tipulah, dia asyik pandang-pandang Nur aje tadi…”

“Biarlah kalau dia nak pandang pun, orang ada mata kan. Bukannya buta. .” jawabku acuh tak acuh. Mataku menunduk, menghadap permukaan pinggan yang sedang aku lap dengan kain buruk. Sungguh terasa seperti melayang tubuhku. Aku bagai berada diawang-awangan dikala kaklang Wani menyatakan diriku sedang diperhatikan. Oh hati, malunya!.

“Tak apalah, mula-mula memang kita tak dapat lari dari perkataan malu. Hari ni malu, esok malu, lusa malu, tak lama lagi bukan malu tapi mahu..” usik kaklong Wani lagi dengan sengihan kerang busuknya yang semakin melebar.

Aku jelingnya. Geram tambah malu. Heh, malu lagi!.

“Jadi”

Aku angkat kening, memandang matanya. Mendongak kepalaku sedikit agar selari dengan tenungan matanya. “Jadi?” aku ajukan soalan serupa dengan riak bingung.

“Jadi?”

Aku kerutkan kening. Ish. Kaklang Wani ni!. Jadi, jadi. Apa yang jadi?.

“Jadi?”

“Jadi, apa?” soalku pelik.

Kaklang Wani senyum sumbing. “Ada tak?”

Aduhai, kenapalah dengan kami ni!. Perbualan apakah ini, teka-teki atau bahasa sastera basi, heh?. Aku mula naik jemu dengan perbualan yang tergantung seperti ini.

“Apa yang akak nak cakap sebenarnya ni?” ajuku spontan.

Kaklang Wani senyum simpul, dia kenyit mata. “Cinta”

Glup. Cinta?.

“Nur ada rasa cinta tak?”

Aku gelabah. Terlalu sulit untuk aku bicarakan soal hati, masih awal lagi. Aku angkat bahu, menunjukkan yang aku sendiri tidak tahu jawapannya.

Kaklang Wani geleng-kepala. “Pastikan jatuh cinta tau sebab kamu berdua memang nak menuju ke baitul muslim (Rumahtangga Islam). Jangan rumah ke utara, tangga ke selatan, tak saling sepakat maklumlah masing-masing berjauh hati”

“Eh, ni ugut ke, kenyataan ke, ke apa ni?” perliku.

Senyuman kaklang Wani melebar. Dia bersuara separuh berbisik. “Jangan lepaskan dia, akak tengok dia tu bukan calang-calang orang. Sekali petik, berpuluh-puluh minta isi borang tau..”

Aku diserbu malu, merona merah lagi.

“Rupa ada, orangnya pun peramah..”

“Jadi?” aku pula yang menggunakan ayat tergantung. Kenapakah hatiku seram-sejuk sahaja ya?. Tak mungkinlah aku terusik dengan kata-kata ancaman tadi, err macam…cemburu?. Err…

“Yelah, orang macam dia tu boleh jadi idaman bunga-bunga tau..”

“Bunga-bunga?” ajuku macam orang dungu.

Kaklang Wani menepuk dahi, geleng-kepala. “Kalau tak jaga si kumbang, nanti takut si kumbang melekap ke bunga lain. Ha, masa tu nak menangis airmata darah pun tak ada guna dah adik oi..”

Aku angguk, senyum sumbing.

“Nur kena jaga dia baik-baik”

Aku terdiam. Malas mahu berdebat dengan kaklang Wani. “Okay” jawabku bersahaja.

“Jangan okay aje, pastikan buat” tegasnya.

Aku maniskan wajah, senyum manja. “Okay bos”

Kaklang Wani geleng-kepala lagi dengan sikap acuh tak acuhku. “Akak nak tengok adik akak ni bahagia pula. Nur selalu mengalah, sekarang tak boleh mengalah lagi. Kena kuat, jangan undur tau”

Mataku berkaca. Aku ukir senyuman kelat, terasa sayu.

“Kamu kerja apa kat KL tu?”

Yusof sengih malu. Peramah sungguh keluarga bakal mertuanya. Dia pula yang tersipu-sipu, sejak tadi berpusu-pusu orang mahu ‘interview’nya. Sampai tidak menang tangan dibuatnya, melayan karenah dan ragam penghuni-penghuni di rumah ini.

“Pakcik ni, tak ada soalan lain ke?” anak buahnya, Ika yang berumur sebaya Iman menyampuk. Ika dan Iman sengaja duduk berdekatan mereka. Mahu mengenal lebih rapat lagi dengan calon suami Nur Syahadah.

Yusof sengih. Sengih sahajalah yang mampu dilakukannya bagi membuktikan yang dirinya tidak sombong. Dia gembira berada di rumah ini. Suasananya cukup meriah. Bingit dengan suara-suara manusia yang bergurau-senda, berbual-bual. Kalau dirumahnya, sepi. Semua penghuni rumah buat hal masing-masing. Hatinya diterpa sayu seketika.

“Abang Iman ni kerja sendiri. Abi kata dia orang berniaga, usahawan..” Iman menjawab bagi pihak Yusof.

Pakciknya angguk. “Bisness apa tu?. Wah, muda-muda lagi dah berbisness, bagus bagus..”

Yusof merendah diri, tidak mahu menunjuk yang dirinya hebat dan kaya. “Saya orang biasa-biasa aje. Berniaga pun kecil-kecilan, tak adalah besar mana..”

“Niaga apa tu?”

“Err… bengkel. Bengkel kereta..” Dia tidak mahu menonjol diri. Biarlah orang mengenalinya sebagai usahawan bengkel kereta bukan hartawan syarikat hartanah yang berjaya. Disamping itu, syarikatnya juga mempunyai rangkaian perniagaan anak yang lain iaitu syarikat kosmetik yang sudah mendapat tempat di negara ini. Syarikatnya memberi modal yang terbesar, sekaligus memiliki saham yang sangat tinggi dalam anak syarikat tersebut. Perniagaan hartanahnya juga sudah membuka beberapa anak syarikat sekitar negeri-negeri di Malaysia ini. Boleh dikatakan, hasil keuntungan yang dikaut oleh keluarganya bukan berpuluh ribu tetapi lebih banyak, berjuta-juta.

“Okaylah tu, berniaga ikut sunnah nabi. Kecik besar belakang kira, janji perniagaan halal dan boleh tampung hidup kamu..”

Yusof senyum mendengar ulasan lelaki itu. Ternyata, sanak-saudara Nur Syahadah peramah dengan orang luar, tidak merendah-rendahkan seseorang. Alhamdulillah (Segala Puji bagi ALLAH), dia selesa dengan keturunan bakal isterinya. Semuanya dari kalangan orang yang baik-baik.

“Betul ke tak nak buat majlis sanding?” khalifah, maklang Nur bertanya.

“Nur yang tak nak kak. Lagipun sanding tu adat aje..” kata Siti, adik kepada khalifah. Siti menolong mengupas bawang. Khalifah pula dari tadi mengupas kentang. Adik-beradiknya yang lain ikut serta bergotong-royong di dapur. Suasana di rumah abangngah mereka cukup meriah. Bukan adik-beradik mereka sahaja yang datang, beberapa saudara-mara ibu kandung mereka ikut bertandang ke rumah ini. Banglo besar ini mampu menampung ramai orang. Bilik pun besar. Antara adik-beradik, abangngah mereka yang paling berada. Abangngah mereka menjawat jawatan ketua polis daerah Johor. Tidak hairanlah, rumahhnya besar gerabak. Yang paling mereka suka, abangngah mereka tidak kedekut. Seorang yang mementingkan agama Islam dalam setiap tindak-tanduk.

Khalifah mengiakan. “Baguslah tu, jimat duit kan. ..”

“Habis tu buat makan-makan dengan doa selamat ajelah ni ye?” ajunya lagi.

“Macam tulah kak..” jawab Siti.

Kaklong ipar mereka mencelah. “Nampak baik budaknya. Hensem. Dari tadi asyik senyum aje..” usiknya.

Siti senyum lebar. Khalifah pun.

“Amin pandai pilih, tahulah dia tu siapa yang terbaik untuk Nur..” sampuk kakngah ipar mereka.

“Alhamdulillah (Segala Puji bagi ALLAH), saya harap dia bahagia dengan pilihan abinya..” kata Siti.

“Insya’ALLAH (Dengan Izin Dari ALLAH). Aammiin ya rabbal alamin..” ujar kakngahnya. yang lain ikut mengaminkan doa Siti tadi.

“Kau jangan risau min. Abang dah uruskan bahagian khemah dan katering. Kau fokus kat majlis akad nikah aje. yang lain biar abang dan adik-beradik Siti uruskan..”

Amin mengucap kesyukuran. Dia beruntung dikurniakan ipar-ipar yang baik hati, saling tolong-menolong antara satu sama lain. Belanja yang dikeluarkannya pun tidak banyak.

“Rumah pihak lelaki bila pula?”

“Rumah Yusof ke?”

Abangngah Hafiznya angguk. “Dia buat bila?”

Amin terdiam seketika. Ya tidak ya juga, mereka lupa bincang perkara itu. Kalau abangngah hafiznya tidak bangkitkan isu tersebut, sampai sekarang dia lupa.

“Entahlah bang, Yusof tak kata apa. Nur pun nak buat sederhana..”

“Eh, tak akan tak ada majlis kat rumah lelaki?”

Amin belai janggutnya. “Nantilah saya bincang dengan Yusof tu. Setakat ni, kami fokus kat majlis pihak kita aje..”

“Kamu ada jumpa keluarga dia tak?. Mereka datang merisik kan?”

Amin serba-salah. Tidak mahu bercerita perihal yang sebenar. Aib Yusof harus ditutup bukan dibuka. “Macam nilah bang. Setakat ni kami pakat-pakat antara kami aje, keluarga Yusof sibuk tak dapat datang. Jadi, saya cadang nak buat tunang dan nikah dalam satu majlis aje...”

Hafiz angguk, setuju. “Tak apalah, mana yang baik, kita ikut. Adat tu bukannya wajib kan. yang wajib tu yang patut kita dulukan..” sokongnya.

Aku mahu ke bilik air. Ketika aku berjalan ke tempat yang ingin ditujui, aku terserempak dengan kak Su. Jantungku bagai tersentak. Kak Su lemparkan senyuman, aku menunduk. Mempercepatkan langkahku.

Su muram, meneruskan perjalanannnya. Hatinya sayu dengan kedinginan Nur terhadapnya. Dia berharap dia sempat berbaik dengan Nur sebelum ajalnya menjemput. Su tidak mampu menahan sebak, dia segera menuju ke biliknya. Berbekalkan sisa tangis yang disimpan dalam mata, dia gagahi jua menampungnya agar tidak jatuh. Setibanya dia ke bilik, barulah dia hamburkan tangisannya. Sejak tadi dia perhatikan Nur, Nur ramah dengan semua orang kecuali dirinya dan suaminya.

“Nur, kak Su sayang Nur. Kak Su rindu Nur. Kalau boleh kak Su nak rapat dengan Nur semula sebelum kak Su pergi..” ujarnya dalam esak tangis. Dia terduduk di atas lantai, berdekatan pintu masuk biliknya. Tangannya melekap ke perut. Ada rahsia yang disimpannya. Rahsia masih tinggal rahsia.

“Sayang, kalau kita dah ada anak nanti, nak namakan dia apa?”

Su mengimbau perbualan lalu. “Nur. Su nak namakan dia Nur Syahadah..biar sama dengan nama makciknya…”

Haiqal sebak. “Sayang memang nekad ke?”

Su senyum dalam hiba. “Su nak dia jadi macam Nur bang. Su tak nak anak kita berperangai macam Su..” luahnya kesal.

Haiqal membisu.

“Abang setuju tak, kalau anak perempuan, kita letak nama Nur Syahadah ye?”

Haiqal angguk. Senyum kelat. “Kita doakan semoga Nur Syahadah kecil akan dapat menyejukkan hati Nur Syahadah yang besar, kan sayang..”

Su senyum, menahan sebak dalam hati.

“Abang, kalau Su tak ada kat dunia ni?. Abang nak kahwin dengan Nur tak?”

Haiqal terperanjat. Riak wajahnya berubah serta-merta. “Eh, kenapa Sayang cakap macam ni. Abang tak akan buat macam tu. Abang tak nak pilih lagi. Cukuplah apa yang abang dah buat dulu…”

“Abang menyesal kahwin dengan Su ke?”

Haiqal ramas jari-jemari isterinya. “Astagfirullahhal’adzim (Aku Mohon Ampun Kepada ALLAH Yang Maha Agung)..jangan cakap macam tu sayang. Maksud abang, abang tak nak pilih antara Su dan Nur macam dulu. Kalau abang dah pilih Su, maknanya abang akan setia dengan Su, insya’ALLAH (Jika ALLAH Menghendaki) hingga ke akhir hayat abang..”

“Kalau Su nak abang kahwin dengan Nur, boleh?”

Tiada jawapan.

“Sudahlah sayang. Jangan difikirkan lagi. Jom tidur..”

Su sudah menangis. Perbualan itu menusuk ke minda ingatannya. Dia berfikir yang bukan-bukan. Dia dapat rasakan suaminya masih mencintai Nur. Disebalik renungan mata suaminya, masih terselit kerinduan terhadap Nur. Dia yang menjadi perampas kebahagiaan orang, memang patut pun dia menderita. Dia berjanji dalam diri, sekiranya dia mengandung, dia akan bertahan sehabis boleh. Dia mahu melahirkan zuriat buat Haiqal dan membahagiakan semua orang. Biarlah dirinya terseksa. Dia mahu kembalikan kegembiraan dalam keluarganya. Dia mahu hadiahkan cucu buat abi dan umi biarpun nyawanya akan terkorban

“Puan tak nak bincang dengan suami puan, penyakit puan ni bahaya. tapi jangan risau, penyakit puan masih diperingkat awal, kita boleh berusaha rawatinya..”

Cepat-cepat Su mengelak. “Tolong rahsiakan perkara ni doktor. Saya tak nak sesiapapun tahu. ..”

Doktor lelaki yang memakai cermin mata itu, resah. Dia membetulkan kedudukan cermin matanya. Menanggalkan cermin matanya, mengosok-gosok habuk yang melekat serata cermin, lalu memakainya semula. Agak lama perbualan tadi mati. Dia bersuara semula.

“Saya tak dapat nak paksa puan. Kalau puan dah buat keputusan macam tu, saya doakan yang terbaik untuk puan. Moga semuanya selamat. Jangan lupa datang jumpa saya lagi untuk pemeriksaan selanjutnya, kita mesti pastikan puan bebas sepenuhnya dari kanser..”

“Saya boleh mengandung kan?”

Doktor itu mengangguk. “Macam saya cakap tadi, tapi kalau kanser berulang kembali, puan perlukan rawatan yang paling optimum sekiranya dalam keadaan mengandung. Potensi untuk puan mengandung masih ada, kira-kira selepas dua tahun puan bebas dari kanser”

Su senyum lega. “Alhamdulillah (Segala Puji bagi ALLAH), saya tak mandul”

“Saya kagum dengan puan..” Doktor itu senyum, terharu.

“Saya rela meninggal semasa melahirkan anak, dari meninggal tanpa tinggalkan zuriat..”

“Alhamdulillah (Segala Puji Bagi ALLAH), moga ALLAH memakbulkan keinginan puan” senyumnya lagi.

Su mengusap perutnya. Jauh di sudut hati, dia mahukan anak secepat yang mungkin. Kalau dah hamil nanti, dia tak akan sesekali gugurkan janinnya walaupun kansernya berulang semula. Dia sudah siap-sedia, pantang berundur sebelum ajal. Biarlah sakit barah pangkal rahimnya, ditangungnya sendirian.

“Mama harap, kamu akan lahir sebagai perempuan. Kamu akan jadi Nur Syahadah. Insan yang mama sayang. Mama nak kamu rapat dengan dia macam kami rapat dulu, ye sayang..” dia menangis, masih mengusap perutnya yang tiada lagi tanda-tanda ada roh manusia. Dia masih berangan-angan untuk bergelar ibu. Sentiasa berdoa moga ALLAH mengabulkan permintaannya sebelum dia meninggalkan dunia ini.

“Maafkan mama sayang. Mungkin mama tak akan dapat bersama sayang dalam jangka masa yang lebih lama, mama harap ramai yang akan sayang anak mama ni. Jangan takut tinggal di dunia ya..”

Dia bercakap sendirian, berkomunikasi dan membayangkan anaknya sedang berada dalam perutnya. Jari-jemari Su mengusap-usap bajunya. Indahnya bergelar ibu, Ya ALLAH izinkan aku meninggal setelah bergelar ibu, hatinya berbisik. Berharap.

“Abang Yusof, kejap lagi kita keluar nak, dalam pukul 9.00 malam nanti. Kita jalan-jalan kat pasar borong pandan. Pandan City Mall. Rugi tau kalau tak tengok tempat tu. Ramai peniaga-peniaga jual barang kat situ. Tempat tu besar, macam-macam ada.” Ika beramah-tamah dengan bakal suami Nur.

Iman menyokong. “Jomlah bang. Kita ajak kak Nur sekali tau. Nanti bolehlah abang dating.

Mendengar sahaja nama Nur, Yusof terus angguk, menyatakan persetujuan. Pucuk dicita ulam mendatang. Hehe, inilah masanya nak bertaaruf, (suai-kenal)!. Dah kenal, bolehlah rapat lepas kahwin nanti. Hatinya tersenyum nakal.

“Baguslah abang ipar kau ni, Sporting” kata ika kepada Iman. Iman angkat kening, bangga.



No comments:

Post a Comment