Thursday, February 5, 2015

Novel Izinkan CintaMu Yang Pertama 12



Bab 12

Hatiku terasa mahu menjerit, melaung dan menyalahkan adikku, Iman. Aku tertipu. Penat aku bersiap bagai, dengan memakai jubah hitam bercorak bunga tulip tanpa manik atau labuci. Tudungku pula berwarna putih labuh paras pinggang. Aku bersolek ala kadar, mengoles wajahku dengan sapuan bedak nipis. Tersangat nipis, cukup sekadar naik seri tidak nampak pucat. Aku tak suka pakai pemerah bibir atau celak kalau keluar rumah. Memanglah memakai celak itu sunnah Nabi Muhammad (Sallallahhu Alaihi Wassalam) tetapi aku suka pakai waktu tidur. Tidak suka menonjol dihadapan bukan mahram, biarlah aku kelihatan sederhana tanpa tarikan.

Aku yang disuruh duduk dikerusi hadapan, sebelah tempat duduk pemandu, terasa gelabah tahap cacing kerawit. Ada sahaja gerakan tubuh yang aku lakukan. Serius, aku tidak selesa okay!. Duduk bersebelahan dengan Encik Calon Suami yang belum sah menjadi suamiku lagi, heh memang terasa macam mahu melompat keluar dari tingkap!. Nak lompat kijang. Huh.

Air-con ni berfungsi ke tak?. Macam tak rasa dingin pun, panas semacam aje ni. Bebel hatiku.

Gurau-senda Iman dan Ika yang berada dibelakang kami semakin membuatkan dadaku membusung geram. Ish, Iman tipu aku, katanya mahu ajak aku teman dia dan Ika berjumpa dengan kawan lama Ika!. Kononnya, kawannya sedang menunggu di majlis kenduri berdekatan rumah pakngah Hafiz. Aku kerling ke luar tingkap, rumah apa begini, jalanraya adalah. Hish, siap kau Iman, balik nanti memang kak Nur smack-down kau habis-habisan, huh!. Aku berani berkata-kata sahaja, hakikatnya, nak cubit Iman pun aku fikir dua kali, setakat perang mulut bolehlah, huhuhu..

“Lepas tu nak ke mana ni?”

Darah gemuruhku tiba-tiba muncul disaat suara si dia menyapa cuping telinga. Aku terdiam, hanya memandang ke luar tingkap.

“GPS ni cakap, turn left bila nampak simpang tu bang. Jangan belok tempat lain pula tau..”

Aku hanya mendengar sahutan Ika. Malas mahu terlibat dalam perbualan mereka. Aku melayan rasa hatiku yang sudah tidak keruan. Jantungku berlari mendendangkan tarian dup dap dup dap. Hai, kenapakah kau jantung?. Malu ke?.

“Eh, rasanya kita dah salah arah ni. Tu cuba ko tengok tu Ika, dia kata lagi 1 km. Hish, kau salah info lah..” bentak Iman.

“Mana?”

“Tu, cuba ko tengok kat sini” Iman menunjuk dengan jari telunjuk. Mereka berdua leka menatap telefon bimbit Ika yang berjenama Samsung galaksi berskrin sederhana besar. Masing-masing fokus.

“yang kat sini salah ea?”

“Ha’ah, salahlah Ika..” balas Iman pula.

Aku ketap bibir, geram. Amboi, amboi, korang berdua buat tak tahu aje kan. larva gunung berapi dah nak meletup ni, tapi korang berdua buat do no aje ea. Oooo, tak apa-apa. Kejap lagi siaplah ea, hatiku masih memberontak. Aku memeluk tubuh. Baru sekarang terasa dingin sebab ..err.. aku perasan sesuatu. Seolah-olah aku sedang diperhatikan. Atau mainan perasan aku sahaja?.

“Sejuk ke?”

Ops, siapa yang cakap tu?. aku kerling mukaku ke sebelahku. Dia pandangku. Cepat-cepat aku geleng-kepala dan membawa hala renunganku ke luar tingkap semula. Ha, betul tak naluri hatiku?. Memang aku sedang diperhatikan oleh orang disebelahku.

“Saya perlahankan ea” tanpa disuruh, dia perlahankan suhu penghawa dingin kereta. Aduh, tersentuh hati!. Dia tahu aku geleng-kepala tadi, tetapi dia masih tahu apa yang ada dihatiku. Memahami sungguh. Alamak, macam cair aje ni!, hatiku terasa malu.

“Abang, abang. Patah balik. Kita salah arah ni..” Ika bersuara cemas.

“Cepat bang, dah jauh terlajak ni. Ika salah tengok tadi..” Kali ini Iman pula yang mencelah.

Fuh, lega!. Mujur mereka berdua menyelamatkan aku dari berterusan berbual dengan si dia. Kasihan pula aku tengok dia jadi gelabah, sebab mahu memuaskan hati kedua-dua adik-adikku yang tersangatlah bertuah ini.

“Ha, abang. Belok. Cepat..”

“Sini ke?” ujar Yusof.

Ika kerling ke tingkap. “Ha baru betul, kan Iman”

“Ha’ah”

Aku pura-pura pejamkan mataku, kepalaku berlabuh ke kepala kerusi, menyenget ke tepi sedikit. Berzikir lebih baik.

“Hanya dengan mengingati ALLAH, hati akan menjadi tenang” ( Ar- Ra’d: 28). Terasa fikiranku sedang dimasuki suara abiku yang memberitahu tentang terjemahan ayat Al-Quran tadi.

Okay, fokus Nur, fokus!. Fokus pengabdian kepada Tuhan dari kau melayan darah gemuruh kau yang sudah mencecah angka maksimum tu, sokong hatiku.

Subhanallah (Maha Suci ALLAH), Alhamdulillah (Segala Puji Bagi ALLAH), Laa Ilaha Illallah (Tiada Tuhan Selain ALLAH), Allahhuakbar (Maha Besar ALLAH), hati kecilku mengulang-ulang zikir yang terlaung dalam diam. Tenang, tenteram.

“Awak,,awak”

‘Awak, bangun. Kita dah sampai..”

Aku tergamam, mataku terbuka luas. ALLAH, aku tertidur dalam separuh sedar. Terlalu asyik berzikir hingga kantung mataku tertutup lantas terbuai terus ke alam mimpi. Si dia mengukir senyum.

“Lenanya awak tidur..” katanya dengan suaranya yang lembut, sopan.

Mataku menunduk. Tanpa senyuman.

Telingaku mendengar bunyi daun pintu kereta terkuak, rupa-rupanya Iman dan Ika sudah terkocoh-kocoh keluar dari kereta, meninggalkan aku dan si dia. Aku lucutkan ikatan tali pinggang keledar, tanpa berkata apa, aku segera buka pintu dan keluar. Si dia juga keluar dalam masa yang sama. Kasihan, dia seperti bercakap dengan patung. Akulah patungnya, diam, kaku tanpa bersuara. Huhu, maaf ya Encik Calon Suami, aku masih malu!.

“Wah, ramainya manusia” suara ceria Ika memecah kebisuan kami.

Aku sedang berjalan paling belakang sekali diantara mereka bertiga. Si dia berada berhadapanku, beberapa inci sahaja. Ika dan Iman berada paling hadapan sekali, macam sengaja pula biarkan kami jalan berdua. Hish, bertambah-tambah sakit hatiku!.

“Tengok tu”

Aku pandang ke sebelah sana, arah yang menempatkan pelbagai gerai buah. Si dia mengajak aku menjenguk arah yang dimaksudkan, menggunakan jari telunjuknya. Nak cakap apa ni?, Tak akan nak cakap, indahnya pemandangan malam ini?. Ceh, macam melalut ke laut aje bunyinya, fikiranku diasak risau. Ah, diam ajelah!, hatiku jawab semula.

“Iman, Ika. Jom singgah pasar tu kejap. Lepas ni kita jalan-jalan kat dalam ye..”

Mereka berpusing, mengikut langkah kami. Aku masih setia berada dibelakang Yusof. Tidak mahu jalan seiring dengannya. Tak boleh, kena jaga ikhtilat (pergaulan lelaki dan perempuan). Aku memang menitikberatkan cara pergaulan begini, biarlah apa orang akan cakap, yang penting aku ikut apa yang betul disisi agama Islam. Bukan memandai-mandai ikut nafsu semata-mata. Bukan juga nak tunjuk yang aku alim. Aku harap Yusof pun tahu menjaga batas.

“Kak, maaf ea..” Iman berbisik ke telingaku.

“Maafkan kitaorang ea..” Ika pun ikut serta.

Mereka berdua sudah berjalan selari denganku. Aku sengetkan bibir, tanda geram. “Pandainya korang menipu ye..” uajrku geram.

“Hehehehe”

Masing-masing menyengih.

“Iman dengan Ika teragak nak makan buah apa?. Abang nak bungkus bawa balik rumah”

“Abang nak belanja ke?”

Aku menyiku Iman, kurang senang dengan sikap selamba adikku. Malulah, minta orang belanja. Hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong. Hatiku merungut.

Iman mencebikku. “Abang, kak Nur suka makan buah anggur, anggur ungu”

Aku toleh ke sisi, suaraku terpacul perlahan. ‘Iman..”

“Jangan malu-malu kak” Ika berbisik kepadaku, aku tahu si dia dengar perbualan kami.

Yusof senyum sendirian. “Yang adik-adik berdua ni nak buah apa?”

Iman kerling Ika. Menanti jawapan. “Rasa-rasanya tak naklah bang. Kami minat ole-ole lain..” ujarnya nakal. Ika sengih-sengih.

“Nak beli baju ke?”

“Hehehe..” Iman malu-malu dengan pertanyaan Yusof.

“Jangan dilayan sangat mereka ni, nanti awak yang penat..” ops, adakah aku bersuara tadi?. Aku pun terkejut yang aku sedang menyebelahi Yusof.

“Tak apalah awak” si dia toleh ke belakang. Berseri-seri wajahnya, agaknya gembira dengan reaksi baikku.

Iman dan Ika kenyit mata kepadaku.

“Sweet-sweet..”

“Semanis gula”

Aku ketap bibir mendengar perlian demi perlian. Aduhai, cepatlah waktu berjalan!. Ada juga yang pengsan disebabkan jantung tercampak ke luar dari badan. Heh.

“Semanis madu..”

“Semanis Tebu..” Ika menyakat pula, menyambung Usikan Iman.

Hati oh hati, sabar ya!, aku menjeling mereka. Mahu sahaja aku cubit, tapi tanganku tidak bergerak pula. Alahai..

Yusof kerling ke belakang. Aku malu saat mata kami saling bertemu, dia senyum. Macam biasa, kepalaku akan menunduk ke bawah, malu.

“Dah, dah. Kita kat pasar ni..” Yusof bersuara mahu mematikan usikan mereka terhadapku, mungkin tahu aku malu. Hatiku memanjat rasa lega.

Suasana pasar agak riuh dengan suara-suara pengunjung yang bertandang. Ada yang berhentikan kereta, menempah buah daripada penjual melalui tingkap kereta mereka, tanpa keluar. Si penjual pula berusaha berinteraksi dari ruang tingkap yang terdedah. Aku perhati nombor plat kereta yang tertera dibelakang kereta itu, nombor S dot dot dot, bermakna nombor dari jiran seberang, orang Singapura. Wah, warga Singapura pun suka beli-belah ke sini!. Aku pandang sekelilingku, cuci mata. Aku terdengar juga suara riuh beberapa penjual sedang berusaha mempromosi buah-buah dalam gerai mereka. Mataku begitu rambang, terlalu banyak pilihan. Bergerak ke sebelah kiri, aku nampak timbunan pelbagai jenis buah-buahan. Pusing kanan, buah juga. Pesta buah.

Saat mataku melilau-lilau ke serata arah, si dia menegurku lembut. Aku kurang selesa berbual berdua, aku pandang kiri dan kanan. Ke mana pula pergi si budak Iman dan Ika ni?. Aku gelisah.

“Nak buah anggur aje ke?”

“Ikut awaklah nak beli apa-apa pun, saya tak kisah” terpaksalah aku menyahut pertanyaannya. Kasihan pula melihat dia beria-ria mencari buah tangan untuk dibawa pulang ke rumah pakngah nanti. Mataku sentiasa membaca harga-harga buah yang tertera. Alahai, mahal juga buah-buah ni!.

“Awak nak anggur aje?” dia tunjukkan beg plastik yang berisi beerapa gugusan anggur. Banyaknya dia beli. Nak makan ke, nak buat hiasan ni?.

Aku angguk.

“Selain anggur, awak suka apa?”

Err..

“Kak durian kak, sedap ni. Baru datang dari dusun..”

Dalam aku kaget menjawab soalan si dia, seorang peniaga menegur kami. Aku ukir senyuman, mengangkat tangan, mengibas-gibas tanda menolak pelawaan si penjual tadi. Aku hayunkan langkah ke hadapan, meninggalkan dia yang berada di belakang.

Jantungku tersentap, si dia berusaha menyapaku lagi. “Cukup ke buah anggur aje?” tanya si dia dari arah belakangku. Jarak kami beberapa inci sahaja. Namun masih tidak bersentuhan.

Aduh, malunya!. Ke manalah budak-budak bertuah ni pergi!, hatiku bagai cacing kepanasan, resah. Mataku masih melirik ke serata arah, mencari kelibat mereka berdua.

“Saya tak kisah”

“ Buah mangga, nak?”

Aku geleng.

“Betik?”

Geleng lagi.

“Rambutan, awak suka tak?”

Aku terdiam.

“Diam maknanya suka, kan?” usiknya.

“Tak payahlah awak susah-susah, membazir aje..” aku bersikap dingin, terus meninggalkannya sendirian. Jauh di sudut hati, aku mengutuk diri. Sombongnya aku, mmm..

“Tak susah pun..” jawabnya, berbisik sendirian. Yusof lepaskan keluhan berat. Hai cik Nur Syahadah, kenapalah awak sedingin salju?.

“Abang, abang, boleh belikan Iman buah naga tak?”

Yusof terkejut, Iman dan Ika datang secara tiba-tiba. Matanya memerhati langkah Nur Syahadah yang sudah jauh ke hadapan, meninggalkan mereka. Hatinya risau, mana boleh biarkan bakal isterinya berjalan sendirian. Tak pasal-pasal kena ngorat dengan buaya darat, aku juga yang telan cemburu, heh.

“Boleh tak?”

Yusof mengalih pandangannya ke arah Iman. Angguk. ‘Buah apa ye?” dia kurang dengar apa yang dikatakan Iman. Tumpuannya tadi hanya untuk Nur Syahadah. Sekarang, barulah dia mengalih tumpuan, kepada Iman dan Ika.

Ika senyum sinis. “Amboi, berangankan kak Nur ke bang, sampai tak perasan kami tegur ni..”

Iman tawa kecil. Ika pun.

Yusof sengih malu. Membetulkan kedudukan kopiahnya. “Maaf ye..”

“Abang tahu tak buah apa?”

Yusof geleng, menggaru-garu belakang lehernya yang tidak gatal. Malu pula diusik oleh mereka berdua.

“Iman nak buah naga, Ika pula nak buah betik” kata Iman.

“Okay, okay, jom cari”

Iman dan Ika senyum ceria, gembira dengan sikap pemurah si abang Yusof mereka. Iman memandang sekeliling, dirinya tertanya-tanya. Buat-buat tidak tahu. “Eh, kak Nur tak ada dengan abang ke?”

Masing-masing cuak.

Ika pandang Yusof. “Abang biarkan aje kak Nur jalan seorang diri?. Dah malam ni, orang ramai pula tu. Bahaya bang..”

Yusof gelabah, kelam-kabut. “Err, kalau abang temankan kak Nur, kamu berdua boleh cari sendiri buah-buah tu tak?”

Iman dan Ika angguk serentak. Senyum sinis, akhirnya berjaya juga misi mereka untuk merapatkan hubungan Yusof dan Nur Syahadah. Sejak tadi, mereka sengaja menjauhkan diri, mahu biarkan abang Yusof dan kak Nur Syahadah berdua-duan. Hehehe…

“Nah, ambil sepuluh ringgit ni. Pergi beli buah-buah tu. Kejap lagi call abang ye?” Yusof tergesa-gesa mengeluarkan sekeping wang kertas warna merah dari dompetnya.

“Syukran, terima kasih bang..” kata Ika.

Iman pantas menyampuk. “Eh, macammana kami nak hubungi abang. Nombor abang pun kami tak ada tau..”

Yusof tidak jadi melangkah pergi, dengan rasa serba-salah, dia terpaksa buka semula fungsi telefon bimbitnya yang sudah sekian lama dimatikan. Hanya kerana Nur Syahadah. Sebaik sahaja dia tekan punat ‘on’ dari tepi telefon bimbitnya, bunyi beberapa mesej segera masuk ke nombor telefon bimbitnya.

“Amboi, banyaknya bunyi mesej masuk. Ramai peminat ke bang..” gurau Ika.

Iman senyum. “Mesej dengan kak Nur kut..” sampuknya dengan gurauan juga.

Yusof tidak selesa untuk terus memanjangkan perbualan mereka, dia lebih risaukan keselamatan Nur Syahadah. “Apa nombor Iman?” soalnya, mahu segera pergi.

“Nak nombor Ika ke, Iman?” soal Ika.

“Tak kisah sesiapa pun. Asalkan senang nak dihubungi nanti..”

“Abang ambil nombor Imanlah ye. Ika ni bukan boleh percaya sangat..”

“Oi, amboi..” balas Ika.

Dalam sengihan, Iman bersuara. “01762XXXXX…..”

“Ulang lagi sekali..” kata Yusof.

“01762XXXXX..”

“Betul tak?” sambung Iman.

Yusof angguk. “Okay, jaga diri baik-baik ye. Kejap lagi abang call atau mesej ye?”

Iman dan Ika memerhati langkah Yusof yang agak tergopoh-gopoh. Masing-masing menekup mulut, tertawa kecil.

“Nakallah kau ni man, tengok tu. Abang Yusof kau tak tentu arah, gelabah semacam aje. Takut akak kau hilanglah tu.” Ika bersuara dengan sisa tawa kecilnya.

Barisan gigi Iman tersembul keluar, kala dirinya tersenyum luas. “Biarlah, aku nak abang Yusof tu rapat dengan akak aku. Kau tengoklah sendiri, kak Nur tu dingin aje. Orang tanya sepatah, dia jawab sepatah. Huh, tak romantik langsung..”

“Akak kau jaga bataslah, dah kahwin nanti keluarlah manja dia tu. Hihi..”

Iman tertawa, menutup mulutnya. Bahunya terhinjut-hinjut.

Mereka berpimpin tangan, jalan beriringan. “Bestkan, dapat kahwin..” aju Iman, senyum gedik.

“Ohooo.. kau teringin ke. Amboi, gatai”

“Hihi, bukan gatai, cuma miang keladi aje..” seloroh Iman.

Ika gelak kecil.

“Aku pun,,,hehehe.. suka berangan juga..”

Kedua-duanya tersenyum riang. Beberapa penjual memandang tingkah-laku mereka. Ikut terhibur dengan keriangan dua sepupu itu.

“Wei, untung kau kan, dapat abang ipar yang baik-baik..”

Iman angguk. “Lagi beruntung kalau aku dapat bersuamikan ustaz romantik dan sweet sokmo..”

Ika tekup mulut, gelihati. “Eh kau ni, nak juga. Sabar ye cik Iman. Belum tiba masanya lagi untuk kita berkahwin. Buat masa sekarang, kita kahwin dengan buku ye..”

“Ala, nak prince charming..”

Ika terhibur dengan gelagat manja Iman. “Eh kau ni, miangnya..”

“Ha tu, prince charming kau..”

Iman tertunduk malu tatkala tiga orang pemuda sedang melintasi jalan mereka. Ika tekup mulut lagi, menahan tawa.

“Hahaha, malu konon. Tadi bukan main miang lagi kau kan..haha..” Ika ketawa perlahan.

Iman ketap bibir, malu. “Aku pemalu..”

“Eleh, pemalulah sangat. Itulah cakap akak kau aje, yang diri kau tu pun pemalu juga kan. kakak borek adik rintik.. hahaha..”

Iman mendengus. “Ika, dahlah. Gelakkan aku pula. Malaslah layan kau..”

Ika menjuih bibir.

“Ika” Iman cubit lembut. Dihalakan cubitannya ke lengan Ika. Ika mengaduh kecil.

“Sakitlah..”

“Padan muka” cebir Iman.

Ika senyum lebar. “Cik adik malu ye..”

“Diamlah Ika..”

“hahhaa..haha..”

Yusof bergerak pantas, selaju yang mungkin. Hampir-hampir sahaja dia melanggar orang, kiri dan kanannya. Dia cuba mengelak dari berlaga dengan orang yang berjalan dari arah yang bertentangan dengan dirinya. Hala nafasnya sudah tercunggap-cunggap. Matanya meliar memandang kiri dan kanan. Insan yang dicari, masih tidak kunjung tiba.

“Hai cik adik manis, nak beli buah tak?’

Aku terkejut, diriku disapa seorang penjual buah. Beberapa lelaki ikut memandangku. Aduh, malunya!. Menyesal pula jalan seorang diri tanpa teman disisi. Aku ketatkan mukaku, terus berjalan tanpa menghirau siulan mereka. Gatal sungguh!.

“Nur Syahadah”

Aku hampir nak melatah, ada seseorang sedang melaung memanggil namaku. Rasa-rasanya memang nama aku, ya aku yakin. Tapi macam suara…

“Janganlah merayap seorang diri, bahayalah..”

Lidahku kelu. Mata kami bersatu dikala aku memusingkan tubuhku ke belakang. Kami berdiri, merenung antara satu dengan yang lain. Macam menjalani penggambaran drama pula lagaknya. Huhu..

“Maaf..” jawabku ringkas. Aku gerun juga menatap muka ketatnya. Jelas terpampang riak cemas diwajahnya. Dia bimbangkan aku ke?. Terharunya.

“Jom, ikut saya..”

Aku angguk, berdiam diri sahaja. Dia berjalan dihadapanku. Kemudian, berhenti mengejut. Aku terpingga-pingga. Aku buat hentian mengejut juga. Eh, kenapa ni?.

“Awak saya lupa nak cakap dengan mereka, saya tak ada kredit nak mesej atau call. Boleh tolong tak?”

Aku angguk. “Tak apa, biar saya aje yang call Iman..” aku segera membalas.

“Ke tepi sikit, orang nak lalu. Kita tunggu kat sana, jom”

Aku ikut sahaja langkah kakinya. Kami berdiri berdekatan gerai yang sudah ditutup, tiada orang. Manusia pun tidak sesak, tidak mengikut laluan tempat kami sedang menunggu Iman dan Ika. Aku mendail nombor telefon bimbit Iman tanpa menunggu Yusof menyuruhku berbuat begitu. Aku berjalan ke hadapan sedikit, menjarakkan diriku dari kedudukan Yusof. Lelaki itu hanya memerhatiku, aku pula mengelak. Memusing wajahku. Membelakanginya.

“Akak aku call lah..”

“Jawablah..” kata Ika.

“Kejap lagi kita round kat dalam pasar borong tu pula ea?” Iman mengajak sambil menjawab panggilan. Ika angguk setuju.

“Kat mana tu?”

“Kitaorang dah masuk pasar borong ni. Ika ni tak tahan nak pergi tandas. Terus kami ke sana, datanglah. Jalan-jalan kat dalam ni..”

Ika membesarkan matanya, Iman sengih memandangnya. Telefonnya masih melekap ke telinga.

“Bohong.” Ika bersuara sendirian. Hanya dirinya yang mendengar.

Aku resah. Sampai hati mereka masuk ke dalam pasar borong itu tanpa kami. Nampaknya, aku terpaksa jalan berdua dengannya memandangkan dua orang budak comel itu meninggalkan kami.

“Lah kenapa tak tunggu kak Nur” ajuku separuh merajuk.

“Sorry..”

Aku geram, talian sengaja dimatikan oleh orang di sana. Aku dail lagi, Iman tidak jawab. Bertuah, berbuah-buah hang tuah betul adik aku yang seorang ni.., rungut hatiku.

Aku palingkan badanku, menghadap Yusof yang sejak tadi menantiku. Aku bergerak, mendekatinya. Terpaksalah aku tenangkan diri, mengikis rasa maluku.

“Mereka dah masuk kat dalam pasar tu..”

“Tak apalah, kita cari mereka..”

“Maaf, saya ikut dari belakang. Jalanlah dulu..” aku serba-salah. Tidak mungkin aku akan jalan sama-sama dengannya. Tidak mungkin.

Yusof risau. “Ramai orang ni. Saya takut terpisah dengan awak. Maaf, boleh tak saya jalan berdua dengan awak aje, jalan sama-sama?” soalnya takut-takut.

Dadaku berdebar-debar. Tak boleh!.

“Saya tahu, kita kena jaga batas tapi… dalam keadaan darurat macam ni, saya lebih risaukan keselamatan awak. Dibuatnya ada orang cuba culik awak, saya tak nampak sebab saya dihadapan awak. Pandangan saya terbatas, tak boleh tembus ke belakang, melainkan saya toleh ke belakang tiap masa…”

Kami masih tercegat di sini, mencari penyelesaian yang terbaik. Lama aku berdiam, aku pun pening. Apa yang dikatakannya tepat. Benar sekali.

“Kalau macam tu, biar saya jalan dulu. Awak awasi dari belakang..”

“Tak boleh”

Aku terkedu dengan jawapan tegasnya.

“Saya nak jaga pandangan mata. Kalau awak berada dihadapan saya, saya takut iman saya pula yang diculik syaitan nanti..”

Aduhai, bahasanya cukup menyejukkan hatiku. Ayat hujung itu agak sastera tetapi mendalam maksudnya. ‘saya takut iman saya pula yang diculik syaitan nanti’, aku ulang ayat tadi dalam hati. Indahnya kiasan dia, lebih indah maksud yang tersirat. Aku memanjat syukur. Insan itu begitu teliti menjaga aibaku.

“Saya ada jalan, mudah sangat.”

Aku memandangnya. Teruja ingin mengetahui cadangannya itu. Dalam masa yang sama, aku cuba sembunyikan rasa maluku.

“Awak pegang sebelah beg plastik, saya pula pegang hujung beg plastik ni. Kita boleh jarakkan diri sedikit, rengangkan ruang kita agar tidak bersentuhan. Dengan cara ni, saya dapat jaga awak..”

Sah, aku boleh cair dengan layanannya. Nur Syahadah, ingat!. Jaga hati, jangan mati, jangan terpesona dengan keindahan cinta duniawi hingga kau lupa kepada ILAHI. Allahu Musta’an (ALLAH Sebaik Penolong/Pembantu). Bisik hatiku mengingatkan diri.

Kami meneruskan perjalanan dengan berjalan perlahan. Agak sukar juga memulakan langkah disebabkan Yusof berjalan agak pantas. Apabila dia melihat aku terkial-kial mahu mengikut rentak langkahnya yang laju, dia perlahankan rentak kakinya. Menyamai caraku berjalan. Perlahan dan penuh santun. Huhu..

Novel Izinkan CintaMu Yang Pertama 11



Bab 11

Pada sejarahmu terukir kenyataan,

Tidak kan miskin jika membela Islam,

Tidak kan hina meriba kebenaran yang mulia,

Jangan takut jika kau beriman,

~Halimatul Saadiah-In-Team-~

“Program apa ni makcik?”

“Waqaf Al-Quran dan sumbangan sedekah wang, untuk diagih-agihkan kepada anak-anak yatim, sekolah-sekolah tahfiz dan lain-lain….”

Wanita itu senyum mesra ketika aku dan umi menjenguknya. Iman dan nenek berpisah dengan kami, mereka berjalan ke hadapan meninggalkan kami. Aku lupa berpesan kepada mereka yang kami mahu singgah ke sini sebelum balik. Penyudahnya, aku dan umi sahaja yang tertinggal di sini. Umi menyelak beberapa risalah agama yang terdapat diatas meja.

“Satu kepala kami caj RM10, tulis nama di sini. Seelok-eloknya tulis nama ibu bapa dahulu.”

Aku menulis nama umi dan abi, kemudian Iman dan kak Su. Wanita tua itu membacakan doa dengan nada suaranya yang serak. Dia menangis. Aku dan umi menadah tangan. Aku dengar umi ikut menangis. Mataku menampung sebak airmata. Tenangnya hati mengaminkan doa yang dibaca wanita itu.

“Semoga urusan anak dipermudahkan ALLAH. Bersabarlah dalam menghadapi ujian-NYA. Sesungguhnya ALLAH cinta kepada hamba-NYA yang bersabar disaat musibah menimpanya. Ingatlah nak, dunia ini sementara, sampai masa kita akan pergi meninggalkan dunia ini. Tiada apa yang tinggal, tiada apa yang kita bawa. Harta, pangkat, semua yang kita ada akan kita tinggalkan. yang menyertai kita amal, sedekah dan doa anak yang soleh..”

Dalam sendu, airmataku mengalir juga. Aku sangat sedih mendengar luahan wanita tadi yang menasihati umi sambil berpelukan dengan umiku. Umiku ikut menangis. ALLAH, mataku tidak mampu menampung lagi kantung airmata yang telah penuh sejak tadi.

Siti terkenang segala musibah yang menimpanya selama ini. Hatinya diketuk kesedihan yang teramat dalam disaat wanita itu memberi kata-kata semangat. Terasa lapang hatinya, menangis dan meluah rasa melalui airmata.

“Cu, jaga mak kamu baik-baik. Jangan biarkan dia menangis. Bahagiakanlah dia. Harta yang paling mahal sekali ialah ibu dan bapa. Sekiranya ibu sudah pergi, tiada lagi keberkatan doa, doa seorang ibu buat anaknya…”

Airmataku mencurah-curah keluar. Kali ini aku berpelukan pula dengan wanita tua itu. Aku angguk. Tidak mampu berkata-kata kerana wanita tua itu berjaya menyentuh rasa sayuku. Pipiku dikucupnya. Aku diperlakukan persis cucu kandungnya sendiri.

“Fi hifzillah ((Moga) Dalam Jagaan ALLAH) makcik..” bisikku dalam hati sambil melempar senyumanku kepada wanita tua itu. Hatiku tersentuh, terharu. Kudratnya sudah lemah, aku sangat malu dengan makcik ini yang berusaha mengerah tenaganya demi berbakti kepada agama. Subhanallah (Maha Suci ALLAH), sedangkan yang pemuda dan pemudi yang sihat, kuat dan tegap pun kebanyakannya tidak pula ingin berbuat bakti kepada agama.

ALLAH, ALLAH ALLAH, aku terfikir juga tentang diriku, apakah aku sudah melunaskan tanggungjawabku sebagai khalifah-NYA di muka bumi ini?. Aku?…sebak..mmm.

“Barakallahhu Fiik (Moga ALLAH Berkati Awak)..” umiku menyapa wanita tua tadi dalam linangan sisa airmata yang tinggal.

Wanita tua itu bersalaman dan berpelukan dengan umiku. “Wa Iyyaki Bil Jaza’ (begitu juga awak, yakni: ganjaran yang awak doakan), Assalamualaikum Warahmatullah (Selamat Sejahtera Keatas kamu (Semua), Dan Rahmat ALLAH keatasmu)..”..”

“Waalaikumussalam warahmatullah hiwabaarakatuh (Segala Sejahtera Keatasmu, Dan Rahmat ALLAH Keatasmu serta Barakah ALLAH Jua Atasmu)...” jawab kami serentak.

>>>

“Ooo ini dia bakal suami Nur ye. Masuk nak. Apa tercegat lagi tu..”

Aku diserbu malu ketika makngah menyoal Yusof. Aku terpaksa mengukir senyuman yang dibuat-buat, bagi menutup rasa maluku. Kak Su dan Abang Haiqal sudah naik ke tingkat atas, pakngah menyuruh mereka tinggal di bilik tetamu yang bersaiz ‘master-room’. Aku pula tinggal sebilik dengan Iman dan nenek, bilik Ida. Ida tak ada sewaktu kami datang, kata pakngah Ida masih dimadrasahnya. Abi dan Umi disuruh masuk ke bilik sebelah kami, bilik anak terunanya yang tidak tinggal di rumah ini gara-gara menetap diasrama tahfiznya.

Kami bersalam-salaman dengan beberapa sanak-saudara kami yang hadir. Paklong dan maklong, maklang dan anak-anaknya. Pakndah sekeluarga, pakteh sekeluarga, pakcik, paksu. Semua datang dengan keluarga masing-masing. Paksu dan pakcik sahaja yang ‘single but not available’ sebab masing-masing dah ada calon, menunggu hari berlangsungnya akad mereka sahaja lagi.

Kaklang wani, sepupuku yang tua setahun dariku mengeyit matanya kepadaku. Ha, mesti mengusik aku!. Aku jeling manja kepadanya. Aku sudah masak dengan perangainya. Kalau tidak menyakat, tidak sah. Tangannnya melambai-lambai ke arahku, mahu aku mendekatinya. Aku bergerak ke sana.

“Selamat pengantin baru..”

Kaklang Wani mengusikku dengan suaranya yang perlahan. Aku ketap bibir menahan malu. “Ish, belum lagi lah..”

“Ala, coming soon. Pejam celik pejam celik, tahu-tahu adik akak ni dah nikah..” usiknya lagi.

“Hish, akak ni, tak maulah usik kita, malulah..” ujarku mesra, senyumanku tidak lekang dibibir. Aku rasa aman di sini. Bergaul-mesra dengan sanak-saudara. Cuma, tidak tenang sebab..

“Dah kenal-kenal ke?”

Aku yang duduk bersimpuh, mengerutkan dahiku. Tidak selesa dengan pertanyaan kakak sepupuku. “Kenal apanya..”

Tangan kak Wani ligat membersihkan pinggan mangkuk dari berhabuk. Aku capai kain buruk, mengikut perlakuannya. Kami berdua duduk jauh sikit dari yang lain. Kami berada diruang tengah ruang tamu, berdekatan almari pinggan mangkuk. Memang cantik-cantik pinggan mangkuk dan cawan-cawan di rumah pakngah. Semuanya nampak mahal, pakngah ‘import’ dari luar negara agaknya. Ukiran-ukiran pada alat perkakas rumah ini rata-rata kebanyakannya berukiran konsep bunga. Seni ukirannya halus dan sangat teliti.

“Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu pula dia. Kenal-kenal dengan encik suami lah, tak kan berkenalan dengan babu jual karpet tu..”

Aku sengih, gelak kecil. Lucu pula apabila kaklang Wani babitkan babu jual karpet. Kasihan si babu, namanya terbabit sekali. Eh, kaklang Wani tahu ke orang yang jual karpet tu namanya babu, aik?. Jiran dia kut, sebab itulah dia tahu nama si empunya diri.. hehehe..

“Oh, entahlah kak. Kenallah kut” jawabku bersahaja. Aku letakkan pinggan-pinggan yang sudah aku lap tadi ke tempat yang lain. yang belum dicuci, aku asingkan satu tempat.

“Ek eh, main kut-kut pula dia. Perkara ni serius tau. Tak akan tak kenal?”

Aku senyum, menampakkan barisan gigiku yang tersusun kemas, tidak ada yang besar mahupun tidak rata kedudukannya. Aku seronok berbual dengan kakak sepupu yang paling serasi denganku. Boleh dikatakan kami memang sehati-sejiwa, banyak persamaan dari perbezaan. Dia seorang yang pemalu tetapi peramah, seorang yang murah dengan senyuman tetapi tidak suka bergaul dengan insan yang lawan jenis dengannya, iaitu lelaki. Persis perangaiku.

“Kalau tak kenal tak boleh kahwin ea?” aku mengusiknya.

“Eh budak ni, main-main pula dia. Sebelum akak bertunang dulu, kami dah kenal-kenal tau. Tak adalah sampai loving loving couple cintan-cintun tahap dewa ni, kami jadi teman tapi mesra aje. Keluar pun ramai-ramai, tak pernah berdua. Takut oooo..” katanya dengan nada ceria.

Tawa kecilku terburai dengan seloroh kaklang Wani. “Takut ke malu” ejekku sambil menjuih bibirku.

“Hehehe,, dua-dua. Takut berdua pun ada, malu kalau berdua pun ada..” sengihnya.

“Ha tahu pun. Sama denganlah kita kak. Mungkin kita bercinta lepas nikah kut, kan..” aku senyum malu.

Kaklang Wani ikut tersenyum. “Sama denganlah kita..”

Tawa kecil kami terburai lagi, kami menekup mulut. Tidak mahu orang dengar kami ketawa. Buruk benar anak dara gelak ‘sakan’ begini.

“Tak sangka ea, Nur naik pelamin dulu dari akak. Amboi, langkah bendul nampak..” usiknya.

“Mana adalah. Nur tak langkah bendul pun. Nur langkah kaki masjid, nak akad nikah kat sana..”

“Oo, loyar buruk naaa”

“Hihihi..” aku sengih.

“Smart orangnya, budak tu ke yang namanya..apa ye. Nur ada cakap dulu.. Amm.. Atan..Ali.. apa kebendanya nama si budak tu, akak lupa..”

Senyumanku mati. Mmm, Amir.

“Bukan mula dari A lah kak, Y. Muhammad Yusof…”

Wani terkedu. Wajahnya berubah bingung. “Eh, tapi dulu Nur cakap kat akak, namanya Aaa apa ye?”

“Akhi Amir..” jawabku malas. Aku lajukan sapuanku pada pinggan. Naik licin pula aku kerjakan permukaan pinggan yang berwarna perang keemasan itu. Terasa diriku hampir menangis mendengar nama itu. Aku tahan, supaya tak tumbang. Aku kentalkan diri, supaya tak makan hati. Akhirnya, airmata tadi hanya sempat bergenang dalam kolam mataku.

“Haaa budak tulah. Amir. La bukan Amir ke yang nak jadi suami Nur ni?. Yusof ni siapa pula?”

Aku melepaskan keluhan berat. Menyembunyi rasa sedihku. “Tak ada jodohlah kak. Yusof ni pilihan abi…”

Mulut Wani hampir mengangga luas.

Aku kerling mata kaklang Wani, nampak sangat dia terkejut. Wajahnya yang gembira tadi bertukar muram. Mungkin simpati denganku.

Suara kaklang Waniku tidak seriang tadi. “Nur terima?”

Aku ukir senyuman senget. Senyum terpaksa. “Restu keluarga lebih penting…”

“Kesian Nur, dua kali kecewa..”

Aku tahu apa yang ingin dikatakan kaklang Wani, berkenaan Haiqal dan Amir. Mmm, Aku tidak mahu bangkitkan lagi isu ni!. Buat apa buka kisah lalu, mengumpat dosa orang sahaja. Kaklang Wani dan semua sanak-saudara kami tahu kisah pahit lalu. Aku bersyukur kerana mereka tidak menghukum kak Su dan abang Haiqal. Masing-masing menghormati mereka berdua.

“Tak apalah, mungkin untuk yang kali ketiga ni, Nur dapat senyum sampai ke mata..” selorohku.

Kaklang Wani tersenyum kembali. “Dia mesti sayang Nur tu. Jangan risau, Nur tak akan sedih lagi tau”

Aku angguk, masih tersenyum.

“dari pandangan mata dia pun, akak dah tahu dia sayang sangat dengan Nur”

Aku kaget. Kaklang Wani dah buat jantungku berdegup kencang. Aku berdebar-debar. Agaknya hatiku mahu mengambil nama Muhammad Yusof, kemudian masuk secara perlahan-lahan dalam kamar cinta hatiku. Ya Rabbi, kabulkanlah, Moga ENGKAU izinkan aku mencintai bakal suamiku melebihi cintaku kepada insan-insan terdahulu, aammiin ya rabbal alamin.
“Akak tengok si dia asyik pandang-pandang Nur tau, nampak sangat dia cintakan Nur.”

Opss, alamak!. Malu. Aku teramat malu apabila isu cinta bermain dibibir kaklang Wani. Aku masih kekok dengan Muhammad Yusof. Tentunya perasaan maluku sangat menebal.

Wajahku sudah merona kemerahan. “Eh, pandai-pandai aje akak ni. Dia tengok akak tu..” dalihku menutup malu.

Kaklang Wani memuntahkan tawanya, macam biasa dia tekup mulutnya dengan tangan. Bahunya sahaja yang terhinjut-hinjut menahan ledakan tawa.

“Amboi sukanya..” aku jeling.

“Nur ni kalau nak cover line pun, agak-agaklah. Ada ke cakap dia pandang akak. Apa faedah dia nak skodeng-skodeng akak, akak tak ada kena-mengena dalam hidup dialah.. hahaha…” kaklang Wani ketawa kecil membiarkan mulutnya terbuka, namun hanya aku yang mendengar tawanya.

Aku ketap bibir, malu.

“Nur, Nur, malulah tu..” usiknya usai menghabiskan sisa tawanya.

“Ish, akak ni. Apa yang lucunya..” aku menahan malu diusik dari tadi.

“Akak tak tipulah, dia asyik pandang-pandang Nur aje tadi…”

“Biarlah kalau dia nak pandang pun, orang ada mata kan. Bukannya buta. .” jawabku acuh tak acuh. Mataku menunduk, menghadap permukaan pinggan yang sedang aku lap dengan kain buruk. Sungguh terasa seperti melayang tubuhku. Aku bagai berada diawang-awangan dikala kaklang Wani menyatakan diriku sedang diperhatikan. Oh hati, malunya!.

“Tak apalah, mula-mula memang kita tak dapat lari dari perkataan malu. Hari ni malu, esok malu, lusa malu, tak lama lagi bukan malu tapi mahu..” usik kaklong Wani lagi dengan sengihan kerang busuknya yang semakin melebar.

Aku jelingnya. Geram tambah malu. Heh, malu lagi!.

“Jadi”

Aku angkat kening, memandang matanya. Mendongak kepalaku sedikit agar selari dengan tenungan matanya. “Jadi?” aku ajukan soalan serupa dengan riak bingung.

“Jadi?”

Aku kerutkan kening. Ish. Kaklang Wani ni!. Jadi, jadi. Apa yang jadi?.

“Jadi?”

“Jadi, apa?” soalku pelik.

Kaklang Wani senyum sumbing. “Ada tak?”

Aduhai, kenapalah dengan kami ni!. Perbualan apakah ini, teka-teki atau bahasa sastera basi, heh?. Aku mula naik jemu dengan perbualan yang tergantung seperti ini.

“Apa yang akak nak cakap sebenarnya ni?” ajuku spontan.

Kaklang Wani senyum simpul, dia kenyit mata. “Cinta”

Glup. Cinta?.

“Nur ada rasa cinta tak?”

Aku gelabah. Terlalu sulit untuk aku bicarakan soal hati, masih awal lagi. Aku angkat bahu, menunjukkan yang aku sendiri tidak tahu jawapannya.

Kaklang Wani geleng-kepala. “Pastikan jatuh cinta tau sebab kamu berdua memang nak menuju ke baitul muslim (Rumahtangga Islam). Jangan rumah ke utara, tangga ke selatan, tak saling sepakat maklumlah masing-masing berjauh hati”

“Eh, ni ugut ke, kenyataan ke, ke apa ni?” perliku.

Senyuman kaklang Wani melebar. Dia bersuara separuh berbisik. “Jangan lepaskan dia, akak tengok dia tu bukan calang-calang orang. Sekali petik, berpuluh-puluh minta isi borang tau..”

Aku diserbu malu, merona merah lagi.

“Rupa ada, orangnya pun peramah..”

“Jadi?” aku pula yang menggunakan ayat tergantung. Kenapakah hatiku seram-sejuk sahaja ya?. Tak mungkinlah aku terusik dengan kata-kata ancaman tadi, err macam…cemburu?. Err…

“Yelah, orang macam dia tu boleh jadi idaman bunga-bunga tau..”

“Bunga-bunga?” ajuku macam orang dungu.

Kaklang Wani menepuk dahi, geleng-kepala. “Kalau tak jaga si kumbang, nanti takut si kumbang melekap ke bunga lain. Ha, masa tu nak menangis airmata darah pun tak ada guna dah adik oi..”

Aku angguk, senyum sumbing.

“Nur kena jaga dia baik-baik”

Aku terdiam. Malas mahu berdebat dengan kaklang Wani. “Okay” jawabku bersahaja.

“Jangan okay aje, pastikan buat” tegasnya.

Aku maniskan wajah, senyum manja. “Okay bos”

Kaklang Wani geleng-kepala lagi dengan sikap acuh tak acuhku. “Akak nak tengok adik akak ni bahagia pula. Nur selalu mengalah, sekarang tak boleh mengalah lagi. Kena kuat, jangan undur tau”

Mataku berkaca. Aku ukir senyuman kelat, terasa sayu.

“Kamu kerja apa kat KL tu?”

Yusof sengih malu. Peramah sungguh keluarga bakal mertuanya. Dia pula yang tersipu-sipu, sejak tadi berpusu-pusu orang mahu ‘interview’nya. Sampai tidak menang tangan dibuatnya, melayan karenah dan ragam penghuni-penghuni di rumah ini.

“Pakcik ni, tak ada soalan lain ke?” anak buahnya, Ika yang berumur sebaya Iman menyampuk. Ika dan Iman sengaja duduk berdekatan mereka. Mahu mengenal lebih rapat lagi dengan calon suami Nur Syahadah.

Yusof sengih. Sengih sahajalah yang mampu dilakukannya bagi membuktikan yang dirinya tidak sombong. Dia gembira berada di rumah ini. Suasananya cukup meriah. Bingit dengan suara-suara manusia yang bergurau-senda, berbual-bual. Kalau dirumahnya, sepi. Semua penghuni rumah buat hal masing-masing. Hatinya diterpa sayu seketika.

“Abang Iman ni kerja sendiri. Abi kata dia orang berniaga, usahawan..” Iman menjawab bagi pihak Yusof.

Pakciknya angguk. “Bisness apa tu?. Wah, muda-muda lagi dah berbisness, bagus bagus..”

Yusof merendah diri, tidak mahu menunjuk yang dirinya hebat dan kaya. “Saya orang biasa-biasa aje. Berniaga pun kecil-kecilan, tak adalah besar mana..”

“Niaga apa tu?”

“Err… bengkel. Bengkel kereta..” Dia tidak mahu menonjol diri. Biarlah orang mengenalinya sebagai usahawan bengkel kereta bukan hartawan syarikat hartanah yang berjaya. Disamping itu, syarikatnya juga mempunyai rangkaian perniagaan anak yang lain iaitu syarikat kosmetik yang sudah mendapat tempat di negara ini. Syarikatnya memberi modal yang terbesar, sekaligus memiliki saham yang sangat tinggi dalam anak syarikat tersebut. Perniagaan hartanahnya juga sudah membuka beberapa anak syarikat sekitar negeri-negeri di Malaysia ini. Boleh dikatakan, hasil keuntungan yang dikaut oleh keluarganya bukan berpuluh ribu tetapi lebih banyak, berjuta-juta.

“Okaylah tu, berniaga ikut sunnah nabi. Kecik besar belakang kira, janji perniagaan halal dan boleh tampung hidup kamu..”

Yusof senyum mendengar ulasan lelaki itu. Ternyata, sanak-saudara Nur Syahadah peramah dengan orang luar, tidak merendah-rendahkan seseorang. Alhamdulillah (Segala Puji bagi ALLAH), dia selesa dengan keturunan bakal isterinya. Semuanya dari kalangan orang yang baik-baik.

“Betul ke tak nak buat majlis sanding?” khalifah, maklang Nur bertanya.

“Nur yang tak nak kak. Lagipun sanding tu adat aje..” kata Siti, adik kepada khalifah. Siti menolong mengupas bawang. Khalifah pula dari tadi mengupas kentang. Adik-beradiknya yang lain ikut serta bergotong-royong di dapur. Suasana di rumah abangngah mereka cukup meriah. Bukan adik-beradik mereka sahaja yang datang, beberapa saudara-mara ibu kandung mereka ikut bertandang ke rumah ini. Banglo besar ini mampu menampung ramai orang. Bilik pun besar. Antara adik-beradik, abangngah mereka yang paling berada. Abangngah mereka menjawat jawatan ketua polis daerah Johor. Tidak hairanlah, rumahhnya besar gerabak. Yang paling mereka suka, abangngah mereka tidak kedekut. Seorang yang mementingkan agama Islam dalam setiap tindak-tanduk.

Khalifah mengiakan. “Baguslah tu, jimat duit kan. ..”

“Habis tu buat makan-makan dengan doa selamat ajelah ni ye?” ajunya lagi.

“Macam tulah kak..” jawab Siti.

Kaklong ipar mereka mencelah. “Nampak baik budaknya. Hensem. Dari tadi asyik senyum aje..” usiknya.

Siti senyum lebar. Khalifah pun.

“Amin pandai pilih, tahulah dia tu siapa yang terbaik untuk Nur..” sampuk kakngah ipar mereka.

“Alhamdulillah (Segala Puji bagi ALLAH), saya harap dia bahagia dengan pilihan abinya..” kata Siti.

“Insya’ALLAH (Dengan Izin Dari ALLAH). Aammiin ya rabbal alamin..” ujar kakngahnya. yang lain ikut mengaminkan doa Siti tadi.

“Kau jangan risau min. Abang dah uruskan bahagian khemah dan katering. Kau fokus kat majlis akad nikah aje. yang lain biar abang dan adik-beradik Siti uruskan..”

Amin mengucap kesyukuran. Dia beruntung dikurniakan ipar-ipar yang baik hati, saling tolong-menolong antara satu sama lain. Belanja yang dikeluarkannya pun tidak banyak.

“Rumah pihak lelaki bila pula?”

“Rumah Yusof ke?”

Abangngah Hafiznya angguk. “Dia buat bila?”

Amin terdiam seketika. Ya tidak ya juga, mereka lupa bincang perkara itu. Kalau abangngah hafiznya tidak bangkitkan isu tersebut, sampai sekarang dia lupa.

“Entahlah bang, Yusof tak kata apa. Nur pun nak buat sederhana..”

“Eh, tak akan tak ada majlis kat rumah lelaki?”

Amin belai janggutnya. “Nantilah saya bincang dengan Yusof tu. Setakat ni, kami fokus kat majlis pihak kita aje..”

“Kamu ada jumpa keluarga dia tak?. Mereka datang merisik kan?”

Amin serba-salah. Tidak mahu bercerita perihal yang sebenar. Aib Yusof harus ditutup bukan dibuka. “Macam nilah bang. Setakat ni kami pakat-pakat antara kami aje, keluarga Yusof sibuk tak dapat datang. Jadi, saya cadang nak buat tunang dan nikah dalam satu majlis aje...”

Hafiz angguk, setuju. “Tak apalah, mana yang baik, kita ikut. Adat tu bukannya wajib kan. yang wajib tu yang patut kita dulukan..” sokongnya.

Aku mahu ke bilik air. Ketika aku berjalan ke tempat yang ingin ditujui, aku terserempak dengan kak Su. Jantungku bagai tersentak. Kak Su lemparkan senyuman, aku menunduk. Mempercepatkan langkahku.

Su muram, meneruskan perjalanannnya. Hatinya sayu dengan kedinginan Nur terhadapnya. Dia berharap dia sempat berbaik dengan Nur sebelum ajalnya menjemput. Su tidak mampu menahan sebak, dia segera menuju ke biliknya. Berbekalkan sisa tangis yang disimpan dalam mata, dia gagahi jua menampungnya agar tidak jatuh. Setibanya dia ke bilik, barulah dia hamburkan tangisannya. Sejak tadi dia perhatikan Nur, Nur ramah dengan semua orang kecuali dirinya dan suaminya.

“Nur, kak Su sayang Nur. Kak Su rindu Nur. Kalau boleh kak Su nak rapat dengan Nur semula sebelum kak Su pergi..” ujarnya dalam esak tangis. Dia terduduk di atas lantai, berdekatan pintu masuk biliknya. Tangannya melekap ke perut. Ada rahsia yang disimpannya. Rahsia masih tinggal rahsia.

“Sayang, kalau kita dah ada anak nanti, nak namakan dia apa?”

Su mengimbau perbualan lalu. “Nur. Su nak namakan dia Nur Syahadah..biar sama dengan nama makciknya…”

Haiqal sebak. “Sayang memang nekad ke?”

Su senyum dalam hiba. “Su nak dia jadi macam Nur bang. Su tak nak anak kita berperangai macam Su..” luahnya kesal.

Haiqal membisu.

“Abang setuju tak, kalau anak perempuan, kita letak nama Nur Syahadah ye?”

Haiqal angguk. Senyum kelat. “Kita doakan semoga Nur Syahadah kecil akan dapat menyejukkan hati Nur Syahadah yang besar, kan sayang..”

Su senyum, menahan sebak dalam hati.

“Abang, kalau Su tak ada kat dunia ni?. Abang nak kahwin dengan Nur tak?”

Haiqal terperanjat. Riak wajahnya berubah serta-merta. “Eh, kenapa Sayang cakap macam ni. Abang tak akan buat macam tu. Abang tak nak pilih lagi. Cukuplah apa yang abang dah buat dulu…”

“Abang menyesal kahwin dengan Su ke?”

Haiqal ramas jari-jemari isterinya. “Astagfirullahhal’adzim (Aku Mohon Ampun Kepada ALLAH Yang Maha Agung)..jangan cakap macam tu sayang. Maksud abang, abang tak nak pilih antara Su dan Nur macam dulu. Kalau abang dah pilih Su, maknanya abang akan setia dengan Su, insya’ALLAH (Jika ALLAH Menghendaki) hingga ke akhir hayat abang..”

“Kalau Su nak abang kahwin dengan Nur, boleh?”

Tiada jawapan.

“Sudahlah sayang. Jangan difikirkan lagi. Jom tidur..”

Su sudah menangis. Perbualan itu menusuk ke minda ingatannya. Dia berfikir yang bukan-bukan. Dia dapat rasakan suaminya masih mencintai Nur. Disebalik renungan mata suaminya, masih terselit kerinduan terhadap Nur. Dia yang menjadi perampas kebahagiaan orang, memang patut pun dia menderita. Dia berjanji dalam diri, sekiranya dia mengandung, dia akan bertahan sehabis boleh. Dia mahu melahirkan zuriat buat Haiqal dan membahagiakan semua orang. Biarlah dirinya terseksa. Dia mahu kembalikan kegembiraan dalam keluarganya. Dia mahu hadiahkan cucu buat abi dan umi biarpun nyawanya akan terkorban

“Puan tak nak bincang dengan suami puan, penyakit puan ni bahaya. tapi jangan risau, penyakit puan masih diperingkat awal, kita boleh berusaha rawatinya..”

Cepat-cepat Su mengelak. “Tolong rahsiakan perkara ni doktor. Saya tak nak sesiapapun tahu. ..”

Doktor lelaki yang memakai cermin mata itu, resah. Dia membetulkan kedudukan cermin matanya. Menanggalkan cermin matanya, mengosok-gosok habuk yang melekat serata cermin, lalu memakainya semula. Agak lama perbualan tadi mati. Dia bersuara semula.

“Saya tak dapat nak paksa puan. Kalau puan dah buat keputusan macam tu, saya doakan yang terbaik untuk puan. Moga semuanya selamat. Jangan lupa datang jumpa saya lagi untuk pemeriksaan selanjutnya, kita mesti pastikan puan bebas sepenuhnya dari kanser..”

“Saya boleh mengandung kan?”

Doktor itu mengangguk. “Macam saya cakap tadi, tapi kalau kanser berulang kembali, puan perlukan rawatan yang paling optimum sekiranya dalam keadaan mengandung. Potensi untuk puan mengandung masih ada, kira-kira selepas dua tahun puan bebas dari kanser”

Su senyum lega. “Alhamdulillah (Segala Puji bagi ALLAH), saya tak mandul”

“Saya kagum dengan puan..” Doktor itu senyum, terharu.

“Saya rela meninggal semasa melahirkan anak, dari meninggal tanpa tinggalkan zuriat..”

“Alhamdulillah (Segala Puji Bagi ALLAH), moga ALLAH memakbulkan keinginan puan” senyumnya lagi.

Su mengusap perutnya. Jauh di sudut hati, dia mahukan anak secepat yang mungkin. Kalau dah hamil nanti, dia tak akan sesekali gugurkan janinnya walaupun kansernya berulang semula. Dia sudah siap-sedia, pantang berundur sebelum ajal. Biarlah sakit barah pangkal rahimnya, ditangungnya sendirian.

“Mama harap, kamu akan lahir sebagai perempuan. Kamu akan jadi Nur Syahadah. Insan yang mama sayang. Mama nak kamu rapat dengan dia macam kami rapat dulu, ye sayang..” dia menangis, masih mengusap perutnya yang tiada lagi tanda-tanda ada roh manusia. Dia masih berangan-angan untuk bergelar ibu. Sentiasa berdoa moga ALLAH mengabulkan permintaannya sebelum dia meninggalkan dunia ini.

“Maafkan mama sayang. Mungkin mama tak akan dapat bersama sayang dalam jangka masa yang lebih lama, mama harap ramai yang akan sayang anak mama ni. Jangan takut tinggal di dunia ya..”

Dia bercakap sendirian, berkomunikasi dan membayangkan anaknya sedang berada dalam perutnya. Jari-jemari Su mengusap-usap bajunya. Indahnya bergelar ibu, Ya ALLAH izinkan aku meninggal setelah bergelar ibu, hatinya berbisik. Berharap.

“Abang Yusof, kejap lagi kita keluar nak, dalam pukul 9.00 malam nanti. Kita jalan-jalan kat pasar borong pandan. Pandan City Mall. Rugi tau kalau tak tengok tempat tu. Ramai peniaga-peniaga jual barang kat situ. Tempat tu besar, macam-macam ada.” Ika beramah-tamah dengan bakal suami Nur.

Iman menyokong. “Jomlah bang. Kita ajak kak Nur sekali tau. Nanti bolehlah abang dating.

Mendengar sahaja nama Nur, Yusof terus angguk, menyatakan persetujuan. Pucuk dicita ulam mendatang. Hehe, inilah masanya nak bertaaruf, (suai-kenal)!. Dah kenal, bolehlah rapat lepas kahwin nanti. Hatinya tersenyum nakal.

“Baguslah abang ipar kau ni, Sporting” kata ika kepada Iman. Iman angkat kening, bangga.



Novel Izinkan CintaMu yang Pertama 10


Bab 10

Dengan rahmat-MU Tuhan,

Anugerahkanlah rasa cintaku kepada-MU,

Dan juga cinta-MU kepadaku,

Kuharap kita cinta-mencintai,

Kita berdua cinta-mencintai,

Biarlah kekal abadi,

Kita berdua cinta-mencintai,

Biarlah kekal abadi, wahai Tuhan,(Cinta-mencintai-MAWARDAH)

~Nur Syahadah~

Jarum masa hampir berginjak ke tengahhari, cuaca di kawasan Johor Baharu agak mendung diiringi hembusan angin sepoi-sepoi bahasa. Aku yang dari tadi asyik memerhati keindahan sekeliling jalanraya, hanya diam membisu. Di luar sana, kelihatan bunga-bunga yang membuah lebat. Ketinggian pohon-pohon bunga tadi setara dengan tinggi bangunan-bangunan kota. Kawan aku pernah beritahu kepadaku, pohon-pohon bunga ala-ala sakura itu memang sengaja ditanam, buat mencantikkan lagi pemandangan alam floura di Malaysia.

Kata kawanku lagi, kalau nak rasa duduk di Jepun, datanglah ke Negeri Kedah, memang bersepah-sepah pemandangan bunga-bunga seperti sekarang ni. Kasihan, baru sekarang aku perasaan kehadiran bunga ala-ala sakura jepun di Malaysia pada tahun 2014. Ketinggalan zaman sungguh aku ni, uhu!. Kalau tidak silap, di Melaka Negeri kelahiranku pun sudah ada pohon yang berbunga-bunga, sungguh hebat ciptaan ALLAH, Subhanallah (Maha Suci ALLAH). Mataku terpukau dengan pemandangan di luar cermin kereta. Cantik. Sungguh menawan. Ada warna merah jambu, kuning, putih dan banyak lagi. Aku lebih tertarik dengan warna putih, suci dan murni.

Subhanallah (Maha Suci ALLAH), sambilku mengucap kagum terhadap ciptaan alam Tuhan, Aku halakan juga muncung kamera telefon bimbitku, lalu aku abadikan kecantikan itu ke bentuk foto. Senyumanku meleret. Anak mataku terasa berseri-seri, mungkin tumpang seri keindahan alam. Aku lirik pandang telefon bimbitku, terpegun lagi. Setelah puashati, aku baring semula. Mahu merehatkan kepalaku yang sejak tadi asyik mendongak ke luar tingkap.

Mulut Iman dari tadi asyik becok bercerita itu ini. Aku tidak berani menyampuk perbualan antara abi, umi dan Iman. Aku halakan pandanganku ke luar tingkap. Dalam keadaan baring, kepalaku bersandar ditepian tingkap. Sesekali kepalaku bergegar, kereta yang dipandu oleh bakal suamiku menyusuri jalan tar yang tidak rata atau berlopak.

“ Jauh lagi tak Taman Tun Aminah tu, abi?”

Erkk, meremang bulu romaku. Dia panggil abi aku, abi?. Amboi, bukan main lagi peramahnya. Ish, aku juga yang malu-malu!.
“Taklah jauh mana. Sekejap lagi sampailah tu..” Abi yang berada disebelah duduk pemandu, bersuara.

“Abang Yusof, kita singgah kat kota raya JB dulu ea. Iman nak beli barang..”

“Nak beli apa Iman?” aju umi kami.

“Tudung, untuk anak Makngah. Iman lupa nak beli kat Melaka hari tu. Dah lama dia minta Iman belikan..”

“Boleh aje..”

Encik Calon Suami menyampuk. Aku terpaksa ikut mereka sehingga ke Johor. Pakngah Hafiz kami akan adakan majlis doa selamat sempena hari perkahwinanku yang bakal menjelang tiba dalam masa beberapa minggu sahaja lagi. Pakngah Hafiz memang rapat sangat dengan aku. Antara ramai-ramai anak buah, aku sahajalah yang diberi perhatian lebih. Umi pernah cakap, pakngah Hafiz dan isterinya pernah jaga aku waktu aku kecil kerana mereka masih belum dikurniakan zuriat ketika itu. Kiranya, mereka ingin menumpang kasih denganku.

“Yeaaa,, sayang abang Yusof..” Iman bersorak girang.

“Ehem..mmm hem..”

Bibirku menguntum senyum ketika abi pura-pura berdehem. Abi mesti tidak suka Iman ungkapkan perkataan ‘sayang’ kepada bakal abang iparnya. Entah-entah abi fobia, tak nak peristiwa lama berulang buat kali kedua, ye kut?. Mmm, dulu pernah terjadi kejadian cinta tiga segi antara aku dengan……..

Iman kerling ke sisi, memandangku. Aku senyum lebar mencebiknya. Secara spontan Iman mencubit pehaku. Aduhai, berbisa!. Mahu sahaja aku jerit kecil kepada Iman, niatku mati kerana terkenangkan ada insan lain di dalam kereta ini, siapa lagi tentulah Muhammad Yusof . Hish..

Kali ini Iman pula mencebikku, menutup tangan ke mulutnya lantas ketawa dalam diam, tanpa mengeluarkan bunyi. Aku menjelingnya, terus aku berpaling ke tingkap semula. Malas mahu berdebat mulut dengan Iman, buat malu sahaja nanti.

“Cemburu ke?”

Berdegup jantungku kala Iman berbisik ke telingaku, sengaja menyakat. Mujur umi dan nenek duduk dihadapan kami. Serta-merta fikiranku teringat si Pemilik kereta Perodua Alza yang sedang aku naiki ini.

Cemburu?. Aku cemburu?. Heh, entah!. Nafiku dalam hati.

Aku hanya menjeling. Sengihan Iman menambah lagi geram dihati. Iman oh Iman. Kakak kau ni tengah cuak tahap darah gemuruh yang teramatlah dingin sedingin salji, kau boleh pula bergurau-senda lagi ya.
“Dah pukul 12.30 tenggahhari ni. Kita solat dalam masjid dekat mall tu ajelah nanti ye..” abi bersuara. Tidak tertuju kepada seorang tetapi kepada majoriti yang berada di dalam kereta.

“Okay juga tu.” umiku menyokong.

Kami berkonvoi dari Melaka iaitu tempat tinggal asalku, mahu singgah ke Johor Baharu, rumah pakngah Hafiz sekeluarga. Kak Su dan suaminya naik kereta wira hitam, sedang mengikut kereta Perodua Alza dari arah belakang. Aku disuruh ambil cuti selama 1 hari. Hari Isnin aku ‘mc’. Hari sabtu dan ahad aku memang cuti. Nampaknya selama tiga hari ini, degupan jantungku tidak akan stabil. Aku akan berhadapan dengan Muhammad Yusof dan bertempung dengan kak Su dan suaminya. Mungkin ALLAH mahu mengajarku sesuatu.

Melupakan, aku perlu belajar melupakan!. Mmmm…


Usai kereta diparkir, kami semua keluar serentak. Bangunan tinggi yang mencacak langit sudah terpampang jelas diruang mataku. Aku kekok, semua orang sedang berkumpul bersama-sama, saling berdekatan. Aku sengaja membawa diri, berdiri paling belakang sekali diantara mereka. Iman memimpin tanganku, dia tahu aku kurang selesa. Saat mata Encik Calon Suami memandang tepat ke arahku, aku terus tundukkan pandangan.

“Cantik tempat ni. Dalam pun bersih, nampak berkilat aje..” Yusof menyampuk.

“Shopping complex ni masih dibaikpulih lagi, abi paling suka berkunjung ke sini sebab masjidnya selesa..”

“Ada Masjid kat dalam ni?”

Encik Calon Suami menyoal abiku. Terkejut agaknya. Aku hanya memasang telinga. Aku kerling kak Su dan suaminya, curi-curi pandang. Mereka sedang berpimpin tangan dan berjalan agak jauh dihadapan kami. Perasaan aku?

Entah.

Mmmmm, sebenarnya!. Jauh di sudut hati, aku gembira melihat kebahagiaan mereka. Ya, aku akui!. Aku tumpang bahagia. Bibirku menguntum senyum nipis. Ada sayu dihatiku. Bukan cemburu tetapi ingin merasai kebahagiaan seperti mereka. Insya’ALLAH (Jika ALLAH Menghendaki). Mataku memandang semula abi dan Muhammad Yusof yang berada di sebelah kiriku. Kedudukan mereka agak ke depan sedikit dari kedudukan aku, umi dan Iman.

“Iya, abi suka datang ke negeri seperti Johor ni. Suasana masjid tetap diutamakan walaupun berada ditengah-tengah kawasan pusat membeli belah. Rata-rata peniaganya pun terdiri daripada kalangan orang-orang Islam. Baru seronok, jiwa Islam kita ada dimerata tempat. Kejap lagi, dah masuk waktu zohor kita jengah ke masjid tu ye. Yusof tengoklah sendiri susasana kat dalamnya tu macammana..” bersemangat sungguh abiku bercerita, memuji negeri Johor.

“Alhamdulillah (Segala Puji bagi ALLAH), harap-harap semua negeri buat macam ni..”

“Insya’ALLAH (Jika ALLAH Menghendaki), abi pun berharap juga..”

Aku tidak dapat mendengar lagi perbualan lanjut mereka setelah Iman menarik tanganku ke kanan. Aku terpaksa menurut. Umi dan nenek terpaksa ikut kami. Sebelah tanganku melekap ke tangan Iman. Saling bercantum. Umi dan nenek berjalan agak perlahan di belakang kami. Kami pula sudah mendahului mereka, bergerak pantas.

“Mereka nak ke mana tu abi?”

Amin menoleh ke sebelahnya. “Biasalah orang perempuan. Kalau tak membeli, tak sah” selorohnya.

Yusof senyum lebar. Mereka berdua memutar arah, mengikut dari belakang. Amin dan Yusof mencari tempat duduk, melabuhkan punggung mereka berhadapan butik yang dimasuki ketiga-tiga wanita tadi.

“Adik Ila tu pesan tudung yang macam mana?” ajuku.

Iman membelek-belek tudung yang bersangkut pada besi bulat ala-ala penyidai. Putaran demi putaran telah dilakukannya, namun tiada satu pun tudung yang menarik hatinya.

“Tudung syiria, anak tudung kosong. Badannya bercorak. Dia nak warna ungu..”

“Ooo.”

“Macam ni ke?”

Kami berdua memandang Umi yang menayang satu tudung syiria warna ungu pekat. Iman mengeleng kepala. Umi letak semula ke tempat asal. Kami cari semula.

“Macam-macam bentuk tudung sekarang ni kan..” kata nenekku.

“Tahu tak apa. Sekarang ni kan zaman moden nek. Tudung pun ikut moden juga..” Iman pula yang bersuara.

Nek Jah geleng-kepala. “Zaman la ni, semuanya nak ikut fesyenlah, modenlah. yang wajib tak mahu pula diikut…” bebel nenekku.

Aku hanya diam mendengar rungutan mereka.

“Ila tu kan baru darjah 4, Umi rasa dia tak sesuai pakai tudung syiria. Pendek sangat. Suruh dia pakai tudung labuh, kan lagi ayu..” kata umiku.

“Iman dah sarankan kat dia tapi budak mentah macam Ila tu, lebih suka fikir nak bergaya umi. Mana nak dengar cakap orang tua macam kita ni..” kata Iman.

“Dari keciklah kita kena latih, dah besar susah kita nak ubah mereka, susah.. “ kata nenekku.

Aku menyampuk. “Tak apalah, yang penting dia ada niat nak pakai tudung. Kita ajar dia perlahan-lahan. Macam Syikin tu, dulu pakai tudung ikut musim, kejap pakai, kejap tak pakai. Masuk aje sekolah menengah, terus bertutup habis. Harap-harap mereka berdua ikut jejak baik abang dan kakak mereka. Kakngah Ida pakai purdah. Along mereka pula masuk sekolah tahfiz. Sejuk hati pakngah dan makngah tu kan...”

“Betul tu, yang tua mesti bagi contoh yang baik, nanti bolehlah adik-adik yang kat bawah ikut. Kalau yang tua pun teruk, yang bawah pun ikut tumpang sekaki teruknya..” umi kami pula bersuara dari jauh.

Aku lemparkan senyuman kepada salah-seorang pelayan butik yang setia berdiri berdekatan kami sejak tadi. Gadis yang bertudung labuh dan memakai jubah itu membalas senyumanku.

“Ila tu kecik lagi. Mudah sangat terikut-ikut dengan masyarakat sekeliling. Dia cakap kawan-kawan dia semua pakai tudung syiria yang terbaru, ikut pattern yang manik-manik kat atas kepala tu..”

“Budak-budak zaman sekarang ni..” rungut nenekku lagi.

“ yang macam ni ke?”

Aku dan Iman mengalih pandang ke arah Umi. Sejenis tudung syira yang bermanik penuh di atas bahagian kepala, menarik pandangan mataku. Cantik tapi sayang, paras tudungnya pendek. Sangat tidak sesuai untuk golongan muslimah. Kalau Ila yang berumur 4 tahun pakai tudung syiria saiz dewasa, barulah menepati ciri-ciri penutupan aurat yang melepasi dada.

“Ha..betul. Macam tulah umi. Warna ungu ada tak?” Iman teruja, bergegas ke arah umi kami yang berada selang dua baris dari kedudukan penyidai besi bulat tadi. Nenekku pun mengikut Iman dari belakangnya.

“Ada, macam-macam pilihan. Iman tengoklah sendiri..” kata umiku.

Entah mengapa, mataku sengaja gatal mahu memandang ke luar butik. Aku curi-curi pandang abi dan Yusof yang menunggu kami. Mereka duduk di kerusi panjang. Ada seorang lagi yang menumpang di kerusi panjang tersebut. Mataku fokus memerhati mereka. Rancak sungguh mereka bercerita. Amboi, bagai isi dengan kuku!. Akrabnya mereka. Debaran dadaku mula kedengaran. Err..

“Saya ingat nak bawa Nur jumpa keluarga saya, minta restu..”

Amin senyum mesra. Tangannya menepuk lembut bahu Yusof. Dia sudah tahu sejarah Yusof, sejarah keluarga dan kehidupan mereka selama ini. Dia cukup memahami menantu pilihannya. “Alhamdulillah (Segala Puji Bagi ALLAH), akhirnya kamu mahu juga berjumpa dengan mereka..”

Yusof senyum hambar. “Saya ada tugas besar lepas ni. Sebagai anak lelaki, saya bertanggungjawab menyedarkan mereka”

“Abi sokong niat baik kamu tu. Abi doakan segala usaha kamu dipernudahkan ALLAH. Hidayah tu milik ALLAH, tapi Islam tak suruh kita berdiam, putus asa. Hidayah tak akan datang bergolek melainkan kita usaha kejar hidayah tu, macam orang yang nak kejar perempuan yang bernama hidayah, cinta hatinya. Mestilah kejar bersungguh-sungguh kalau tidak tak dapatlah cinta hidayah si gadis comel tu” sempat lagi Ustaz Amin berseloroh dalam menasihati Yusof.

Yusof sengih malu. Angguk. Patuh.

“Jadi, saya boleh bawa Nur ke sanalah ye?”

“Boleh tapi dengan syarat?”

“Apa dia abi?”

“Bawa Iman sekali”

“Oh, saya faham abi..” Yusof senyum.

“Selagi kamu tiada ikatan yang sah, kamu tak boleh berdua-duan dengan Nur. Ingat tu..” nada suara Amin agak tegas.

“Insya’ALLAH (Jika ALLAH Menghendaki), abi.”

“Err, abi dengan umi tak nak ikut sekali?” sambung Yusof lagi.

“Buat masa sekarang, biar Nur dengan Iman ajelah yang pergi ke sana. Kalau kita semua pergi, siapa nak uruskan pentadbiran pondok. Abi bertanggungjawab sepenuhnya..”

Yusof angguk.

“Berapa lama kamu kat sana?”

Agak lama Yusof diam. Mencari jawapan yang sesuai. Teragak-agak dia menjawab. “Err.. balik hari.”

“Moleklah tu. Lagipun tak elok kamu bawa anak dara orang jalan jauh-jauh. Syaitan tu sentiasa ada dimana-mana..”

Bicara akhir abi mengundang sayu dihati Yusof. Sekilas, dirinya terkenang kisah jahilnya dahulu.

Suasana muram seketika.

“Err abi..”

Amin menoleh ke sisinya.

“Abi percaya dengan saya?”

Amin senyum mendengar pertanyaan yang tidak semena-mena itu. “Kenapa pula, nampak pelik ke kalau abi percaya kamu?”

Raut wajah Yusof muram. Sebak.

“Saya kan…”

Cepat-cepat Amin memintas. “ALLAH sudah tutup aib kita cantik-cantik, janganlah kita bukanya semula..”

Yusof diam.

Amin senyum manis. Memegang janggutnya yang agak panjang kira-kira tiga inci. “Tiada orang jahat yang tiada masa depan, tiada orang baik yang tiada masa silam. Manusia tak sempurna..”

“Saya layak ke pimpin pondok abi?, ilmu agama saya masih seciput, sikit sangat. Kalau tabur dalam satu gayung air pun tak cukup, abi…”

Amin geleng-kepala. ‘Ilmu itu harus dicari bukan dikumpul buat perhiasan. Kalau amalan tak selaras dengan ilmu yang dituntut, samalah ibarat pohon tidak berbuah, tak berguna. Selagi kita diberi nikmat hidup, selagi itulah kita berkesempatan memantapkan lagi iman dan takwa. Mencari-gali lagi ilmu akhirat sebanyak yang mungkin..”

“Insya’ALLAH (Jika ALLAH Menghendaki) abi. Saya akan cuba jadi yang terbaik..”

“Tak perlu jadi yang terbaik untuk manusia, berusahalah jadi yang terbaik dihadapan-NYA..”

“Allahuakbar (Maha Besar ALLAH), betul apa yang abi cakap tu. Baik dihadapan manusia, belum tentu baik dihadapan ALLAH…” Yusof mengiakan.

“Baguslah kalau kamu dah faham..”

“Abi..”

Yusof terdiam sejenak. Amin menunggu bicara bakal menantunya dengan penuh kesabaran. Amin melempar pandang ke arah anak-anak dan isterinya. Sejuk matanya memandang permata-permata yang sentiasa berada disampingnya selama ini. Kesemua mereka memakai jilbab yang menepati citarasa penutupan aurat yang sempurna.

“Tolong rahsiakan sumbangan saya selama ni. Saya tak nak heboh-heboh. Lebih baik sedekah secara sembunyi..”

Wajah amin berseri-seri. “Alhamdulillah (Segala Puji Bagi ALLAH), abi bersyukur ke hadrat ILAHI dikurniakan menantu yang sanggup mengorbankan hartanya demi kepentingan Islam sejagat. Dengan adanya kamu, kita dapat berbakti kepada lebih ramai umat Islam lagi..” Amin teringat kembali segala kenangan–kenangan manis mereka ketika bersama-sama berkelana membantu fakir-fakir miskin, golongan janda, anak yatim dan golongan gelandangan. Yusof juga banyak membantu dari segi kewangan untuk pondok madrasah yang diasaskannya bersama dua orang rakannya yang lain. Dia pilih Yusof bukan kerana bakal menantunya anak orang berada, tetapi kerana sifat pemurah Yusof. Sifat itu seharusnya ada dalam diri pemimpin tetutama dalam institusi kekeluargaan.

“Allahhu musta’an (ALLAH Sebaik Penolong/Pembantu) abi. ALLAH yang punya, dipinjamkan-NYA kepada saya untuk hamba-hamba-NYA yang lain..”

Amin melempar senyuman, bangga bermenantukan pemuda seperti Yusof.

Aku pura-pura membelek-belek tudung. Masih mengintai abi dan Yusof dari pandangan sini. Hari ini peluang buatku menilai bakal suamiku secara sembunyi, kalau pandang dekat-dekat, aku pula yang jatuh malu sampai pengsan nanti. Aku amati pakaian luarannya. Sederhana. Berpakaian biasa tanpa jubah, ada kopiah di atas kepalanya. Warna hitam pekat. Aku perhati pula wajahnya. Ops, mataku meliar pula!.

Dia simpan janggut. Bagus, dia ikut sunnah Nabi Muhammad (Sallallahhu Alaihi Wassalam). Aku bagi satu bintang. Bintang yang menunjukkan aku berkenan. Tidak semena-mena, aku ukir senyuman.

Ceh, gatalnya!. Okay, bintang seterusnya..err… senyuman dia. Opss..!. kau dah terlebih ni Nur, jaga pandangan, jaga hati!.
“Kak Nur”

Opocot kak kau eh oi.... nasib baik melatah dalam hati. Huhu, Iman mengganggu tumpuanku tadi!. Aku palingkan wajah ke arahnya. dengan rasa malas, aku hayunkan langkah beratku ke tempat Iman dan Umi sedang berdiri. Misi menilik sampai setakat ini sahaja.

“Cantik tak?”

“Cantik..” jawabku acuh tak acuh.

“Beli ajelah yang ini..” kata umiku.

Aku kerling jam, hampir masuk waktu zohor. Aku mengikut langkah mereka ke meja kaunter untuk membuat pembayaran. Usai bayar, kami berempat keluar dari butik itu secara serentak. Abi dan Yusof sudah berdiri menanti kehadiran kami. Alamak, saat kami semakin hampir dengan mereka berdua, hatiku berdegup kencang. Eh, kenapa ya?.

“Dah nak masuk zohor. Jomlah ke masjid” Abiku memulakan bicara setelah kami mendekatinya.

“Abi naik atas tau. Kami kena turun ke bawah. Perempuan solat kat situ..” umiku menyahut.

“Ada terserempak dengan Su dan Haiqal?”

Soalan abiku mengundang rasa tidak selesaku. Mataku melilau seketika ke serata arah, mencari kelibat pasangan suami-isteri yang terpisah dengan kami tadi.

“Kak Su call Iman, dia dengan suamiku terus ke masjid. Lepas solat, mereka tunggu kat parkir kereta tadi..”

“Jom solat..” ajak abiku.

Mataku bertemu mata dengan Yusof. Dia lemparkan senyuman, aku terlalu malu. Kelopak mataku menunduk ke bawah.

“Nanti kalau dah sudah solat, call umi ye, abi..”

“Insya’ALLAH (Jika ALLAH Menghendaki), jaga diri semua. Jumpa nanti ye..”

Kami angguk, abi dan Yusof sudah bergerak naik ke atas menggunakan tangga bergerak. Umi, Iman, nenek dan aku pula terus menuju ke masjid, ke bahagian bilik perempuan. Sebelum masuk ke gerbang pintu masjid, terdapat ruang yang digunakan untuk berwaqaf. Aku baca kain rentang yang diletakkan berdekatan sudut ruang itu, ada kaitan dengan program waqaf sambil menderma. Terdapat meja dan kerusi yang disusun di satu sudut. Seorang wanita yang lebih tua usianya dari umiku sedang sibuk menyusun sesuatu. Mataku sempat berkalih ke meja, terdapat puluhan risalah-risalah kecil yang rata-rata berukuran seperti saiz kad kahwin. Ada juga yang berukuran A-4. Beberapa kain rentang yang menunjukkan gambar Al-Quran diletakkan berdekatan meja itu.

Aku ukir senyuman kepada wanita tua itu, dia senyum dan mengangkat tangan kepadaku. Aku pasang niat, mahu menjenguk ke situ usai kami selesai mengerjakan solat nanti. Insya’ALLAH (Jika ALLAH Menghendaki). Wanita tua tadi kelihatan terkocoh-kocoh, mahu solat.

Kami melangkah masuk ke dalam setelah menanggalkan kasut. Tanpa buang masa, kami masuk ke ruang bilik yang disediakan untuk mengambil whuduk. Tandas diasingkan dari masjid yang sederhana luas ini. Kami duduk diatas sejadah, menanti azan yang masih belum berkumandang. Mataku memandang ke atas, ke arah bulatan yang ada hiasan ukiran. Pandanganku agak berkilau dengan warna emas, putih dan perak. Subhanallah, Maha Suci ALLAH. Aku tenang berada di masjid mini ini. Biarpun tidak sebesar mana, namun suasana masjidnya sangat hidup. ALLAH..ALLAH..

“ALLAHu ‘Akbar ALLAHu ‘ Akbar, ALLAHu ‘Akbar ALLAHu ‘Akbar..” (Maha Besar ALLAH, Maha Besar ALLAH, Maha Besar ALLAH).

Beberapa minit kemudian, suara azan berkumandang. Kelopak mataku hampir berair kerana alunan azan itu hadir dikala aku sedang memuji keindahan rumah ALLAH ini.

“Ash-hadu ‘Alla ‘Ilaha ‘Illa-llah,’Ash-Hadu ‘Alla ‘Ilaha-IllA-llah..” (Aku Bersaksi Tiada Tuhan Selain ALLAH).

‘Ash-Hadu ‘Anna Muhhammadar Rasuluullah. ‘Ash-Hadu ‘Anna Muhammadar Rasulullah..” (Aku Bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah Pesuruh ALLAH)

“Hayya ‘Alas-solah, Hayya ‘Alas-solah..” (Marilah Menunaikan Solat)

“Haiya ‘Alal-Falah, Haiya ‘Alal-Falah..” (Marilah Merebut Kemenangan)

“ALLAHu ‘Akbar ALLAHu ‘ Akbar, ALLAHu ‘Akbar ALLAHu ‘Akbar..” (Maha Besar ALLAH, Maha Besar ALLAH).

“La “Ilaha ‘Illallah..” (Tiada Tuhan Selain ALLAH)

Sewaktu azan berkumandang, hati dan fikiranku khusyuk untuk menyahut seruan azan. Ajaran abi kepadaku tidak pernah aku lupakan. Kata abi, jika kita mendengar seruan azan yang dilaungkan muadzin (tukang azan atau bilal), hendaklah kita menyahut, mengikut atau menjawab semula apa yang diucapkan dalam azan, yang diserukan oleh muadzin tadi dengan perlahan-lahan, tetapi pada bacaan seperti Haiya ‘Alas-Solah dan Haiya ‘Alal- Falah, aku ucapkan Laa Haulawala Quwwata Illa Billa Hil Alyyil Aadzim, maksudnya Tiada Daya Upaya dan Kekuatan Ku Kecuali Dengan Pertolongan ALLAH.

Kata abiku lagi. “dalam bacaan Qamat, jika kita sembahyang berjemaah, maka yang membacakan Qamat, hanya seorang sahaja contohnya muadzin (Tukang Azan atau Bilal), tidak perlu lagi kita Qamat. Kalau nak tambah pahala lagi, kita boleh menjawab apa yang diucapkan dalam qamat yang dibacakan oleh muadzin tadi dengan perlahan-lahan, tetapi pada bacaan, Haiya ‘Alas-Solah Haiya ‘Alal-Falah , kita ucapkan Laa haulawala Quwwata Illa Billa Hil Alyyil Aadzim, maksudnya Tiada Daya Upaya dan Kekuatan Ku Kecuali Dengan Pertolongan ALLAH. Pada bacaan Qadqamatis Solah Qadqamatis Solah, maka kita ucapkan Aqaamahallahu Wa Adaamahaa, maksudnya Semoga ALLAH Menjadikan Solat Ini Berdiri Terus dan Kekal.

“Allahumma Rabba Hazihid Da’ Watittamah. Wassolatil Qaimah. Ati Saiyidina Muhammadanil Wasilata Wal Fadhilah. Wassyarafa Waddarajatal ‘Aliatar Rafi’ah. Wab’ athhul maqamal mahmudal lazi Wa’adtah. Innaka laatukhliful Mii’ad. (Ya ALLAH, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang ENGKAU telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan, sesungguhnya ENGKAU tidak memungkiri janji)..” aku menadah tangan, mendongak sikit ke atas, membaca doa selepas azan dengan suara halusku yang berbisik.



Selayang pandang pada sudut memori ingatanku, aku teringat bicara abiku;

“Ada suatu ketika di Zaman Rasulullah di mana dalam satu peperangan, umat Islam dihukum oleh ALLAH SWT dengan kekalahan hanya kerana saf (barisan) solat yang tidak sempurna. Kalau para sahabat yang diagung pun dihukum ALLAH oleh kerana tiada kesepakatan dalam saf (barisan), apalagi kita pada hari ini. Sesungguhnya kesatuan ummah itu pastinya bermula dengan kesatuan solat berjemaahnya.

“Rasulullah (Salalllahhu Alaihi Wassalam) sentiasa menitikberatkan saf (barisan) solat, dari segi rapat dan sebarisnya. Sebab itu Khalid Al-Waleed, panglima perang yang hebat dan garang boleh terbuka hati untuk memeluk Islam hanya dengan sebab beliau mengintai umat Islam bersolat dengan saf (Barisan) yang teratur dan sama semua pergerakannya (bersatu)..” (dalam Surah As-Saff, ayat 4, yang bermaksud; Sesungguhnya ALLAH mencintai MEREKA yang berjuang di jalan ALLAH dalam satu saf (barisan), seakan MEREKA adalah satu binaan yang teguh)



Sebelum aku merapatkan saf (barisan), aku genggam dan ramas sekejap jari-jemari umi yang berada disebelah kanan dan Jari-jemari Iman yang berada disebelah kiri, niatku hanya mahu pastikan saf (barisan) kami jadi sangat rapat, tidak jauh, mantap dan teguh. Aku nak elak ada ruang besar diantara celahan kami, tidak mahu syaitan berada diruang-ruang yang terdedah. Abiku pun pernah cakap perkara yang sama seperti yang aku fikirkan.

Kata abiku lagi. “Solat Berjemaah (beramai-ramai) lebih baik dari solat sendirian (berseorangan)..”

Aku mengangkat takbir sekaligus memasang niat solat berjemaah sebagai makmum mengikut imam, dalam hatiku.