Thursday, February 5, 2015

Novel Izinkan CintaMu Yang Pertama 9



Bab 9

Jiwa Melantun nan resah,

Berenang-renang diulik musibah,

Memilih sabar, jalan yang indah,

Mengharap cinta, redha-MU ALLAH,

~Akhi Amir~

Negeri Sembilan Darul Khusus disimbahi hujan. Rintik-rintik hujan diluar sana menghiburkan hatinya yang dilanda banjir tangisan. Amir termenung dijendelanya. Memerhati pemandangan bumi yang menerima kunjungan hujan rahmat-NYA.

Anak matanya melirik pandang pada pohon-pohon pokok yang merendang, bergerak-gerak mengikut alunan angin. Sejak kecil lagi dia membesar dalam kawasan rumah kampung, Felda Palong 1. Berbelas tahun lamanya keluarganya menetap di felda semenjak arwah datuk dan neneknya meninggal dunia. Ibunya anak tunggal, tiada adik-beradik yang akan mewarisi rumah pusaka ini.

Semenjak dia pulang ke rumah seminggu yang lalu, dia lebih suka memeruk diri dalam bilik. Bersandar ditepian jendela, kadang menitiskan airmata, kadang dia termenung. Waktu yang berjalan, amat penting dirasakannya. Baru kini dia sedar bertapa berharganya masa. Masa itu emas. Masa adalah nyawa baginya. Setiap masa merupakan kenangan, mungkin kenangan itu akan hilang setelah jasadnya hancur dimamah tanah.



“Apa keputusannya doktor?” Amir cuak.

Doktor Amran meneliti laporan kesihatan pesakit yang sudah lama dirawatinya. Helaan nafasnya membimbangkan Amir. Pasti ada yang tidak kena. Doktornya itu asyik membelek-belek laporan kesihatannya sejak tadi. Punggungnya sudah rasa kebas, dadanya pula terasa panas. Fikirannya membayangkan keluarga, umi, abah, adik-adiknya. Sanak-saudara, rakan-rakan dan semua yang dia kenali. Terutama sekali, seorang insan yang cukup istimewa.

Maafkan ana Nur. Ana terpaksa rahsiakan penyakit ana daripada enti. Ana tak nak Nur sedih…..

“Amir….maafkan saya. Keputusannya, positif.”

Amir merenung doktor Amran, masih berharap keputusan laporan kesihatannya menunjukkan negatif. Dia berharap dia negatif dari sebarang kanser. Terasa kepalanya seperti dipukul dengan batang golf. Mahu tidak mahu, dia harus berhadapan dengan realitinya. Realiti yang perlu dia terima, dirinya tidak sempurna. Dia menghidap kanser paru-paru.

“Sebagai umat Islam, kita percaya wujudnya ALLAH. ALLAH Maha Tahu segala-galanya. Saya harap awak tak putus asa Amir. Kejaiban ALLAH itu sentiasa terjadi kepada hamba-hamba-NYA. Manusia seperti saya ini hanya doktor yang pakar meramal. Sedangkan keputusan takdir kita diluluskan oleh ALLAH. ALLAH sahaja yang berkuasa..”

Amir hanya mampu senyum hambar. “Saya redha doktor jika inilah ujian-NYA untuk menguji iman dan takwa saya. Mmm, boleh saya tahu apa punca saya menghidap penyakit ni doktor?. Saya tak pernah sentuh pun rokok..” luahnya kesal, namun dia tetap sabar dengan ujian ALLAH buatnya.

“Memang perokok adalah kelompok manusia yang tertinggi menghidap kanser paru-paru. 87% dari pesakit kanser paru-paru adalah perokok. Tetapi dalam kes awak, awak tak pernah merokok tetapi mungkin terlalu banyak menyedut asap dari si perokok. Keadaan itu pun berbahaya. Pendedahan ke bahan kimia industri juga merupakan faktor tinggi untuk sesiapa dijangkiti barah ini, contohnya, asbestos adalah satu dari bahan kimia yang diketahui, gas radon, cadmium, nikel, bahan kimia industry, tar dan habuk karbon. Semua tu amat berbahaya kepada orang yang merokok, mujurlah awak bukan perokok tegar. Melalui kajian fakta genetik awak pula, menunjukkan negatif. Bermakna ia tiada menyumbang kepada kes penyakit awak…”

Renungan mata Amir lemah, sesekali batuknya menyerang. Memaksanya menutup mulut dengan tangan agar virus kuman tidak merebak. Huraian panjang doktor Amran kepadanya tidak langsung mengusik mindanya. Dirinya masih bersedih. Kematian terasa semakin dekat dengannya.

“Kanser paru-paru dibahagiakan kepada 2 jenis. Iaitu ‘small cells lung cancer’ (SCLC), dan ‘non-small cells lung cancers’, (NSCLC)mewakili 25% dan 75% masing-masing. Sel-sel paru-paru menukar menjadi sel-sel kanser apabila berlaku ketidakseimbangan fakta-fakta perkembangan sel tersebut. Barah ini boleh melarat ke tulang, hati dan otak..”

Kali ini Amir khusyuk mendengar penerangan doktor.

“Kita akan cuba sedaya-upaya untuk kembalikan awak kepada normal Amir, insya’ALLAH (Jika ALLAH Menghendaki). Saya harap awak kuat dan tak putus asa…”

“Mula-mula ni memang saya terkejut sangat doktor. Dunia ni macam dah gelap-gelita bagi saya. Mungkin lama-kelamaan saya boleh sesuaikan diri..” luahnya lesu.

“Kuatkan semangat Amir, awak tak boleh lemah dengan kanser ni. Kita sebagai umat Islam tak boleh tunduk dengan takdir, kalau kita berputus asa samalah ibaratnya kita cuba bunuh diri. “

Amir senyum, lapang dada mendengar kata-kata semangat daripada doktor Amran, sahabat kepada bapa kawan baiknya, Umar. Hanya Umar yang tahu dia sedang membuat pemeriksaan di hospital swasta ini. Dia terhutang budi dengan Umar dan keluarganya. Merekalah yang membantunya dari segi kos rawatan. Amir bersyukur miliki sahabat seperti Umar.

“Untuk pengetahuan awak, ada beberapa kaedah rawatan khas untuk penyakit seperti awak. Pertama, Surgery, iaitu kita spesifik ke lokasi tumor. Kedua, terapi radiasi, iaitu bantuan rawatan yang dijalankan bila surgery tidak dapat dilakukan dengan sepenuhnya, dan juga pada tumor kecil yang tidak dapat disembuhkan. Ketiga, melalui kemoterapi, bantuan rawatan yang dijalankan sebelum atau selepas surgery dan dos petanda tumor. Saya akan terangkan lebih lanjut nanti..”



Amir masih leka memerhati dekorasi alam ciptaan ALLAH. Tiada satu pun yang cacat dalam segala penciptaan-NYA. Melihat alam sangat menenangkan, tambahan lagi kehadiran permata hujan yang begitu berharga buat sekalian alam bumi. Amir tenang. Ketenangannya hadir di kala fikirannya mengingati kebesaran ALLAH. Ujian yang menimpanya hanyalah wasilah buat dirinya untuk terus bangkit agar tidak rebah dengan ujian ALLAH.



“Firman ALLAH SWT; “Katakanlah; siapakah yang dapat melindungi kamu daripada (ketentuannya) ALLAH jika DIA mengkehendaki bencana atasmu atau mengkehendaki rahmat untuk dirimu?. Mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung dan penolong selain ALLAH (Surah Al-Ahzab, ayat 17). Hanya ALLAH tempat kita bergantung harap mir. Enta tidak keseorangan. ALLAH sentiasa ada dengan enta, ana pun akan sentiasa ada disisi enta insya’ALLAH hingga ke jannah..”

Umar sangat gemar bermotivasi melalui perantaraan kalam suci Al-Quran. Umar yang hafal 30 juzu’ Al-Quran sering menyejukkan hatinya dengan membacakan ayat suci Al-Quran dan terjemahan kepada dirinya. Kadang-kadang, dia rasa malu dengan Umar. Dirinya masih tidak sepenuhnya menghafal ayat suci ALLAH itu, dia begitu kagum dengan Umar yang meletakkan kalam ALLAH di dalam hati.

“Amir, ramai yang terlalu bangga dengan jodoh. Ramai yang tidak tahu, disebalik kemeriahan wajah pengantin, ada sesuatu yang akan merosakkan wajah manis sang pengantin. Disebalik keriangan sang penerima jodoh, ada sesuatu yang akan memutuskan jodoh. Enta tahu apa itu?” ucap Umar pada suatu petang. Mereka sedang duduk berhampiran tepian gelanggang futsal. Waktu itu, Amir masih kuat untuk menjalani aktiviti riadah petang. Penyakitnya tidak terlalu teruk seperti sekarang.

Amir garu kepalanya, bahasa kiasan yang digunakan oleh Haikal tadi mengundang kebingungannya. “Apa maksud enta?”

Umar tepuk bahu Amir, mengusap lembut. “Sakaratulmaut. Ramai manusia terus leka, mereka lupa tentang jodoh yang pasti terjadi. Setiap manusia bakal berjodoh dengan kematian. Cepat atau lambat, jodoh kematian kita, tak akan dicancelkan. Datangnya tepat, kepada orang yang tepat, pada saat yang tepat, tempat yang tepat dan masa yang tepat, Allahhuakbar (ALLAH Maha Besar)..”

Tersentap, tersedak dan terkedu.

Itulah yang sedang terjadi pada hati Amir. Benar sekali kata-kata sahabatnya. Amir senyum, mengangguk kepalanya tanpa menyangkal kata-kata sahabat baiknya itu. Bijak sungguh Umar dalam menasihatinya yang dilanda kesedihan. Umar tahu dia tidak jadi bernikah dengan Nur Syahadah, sebab itulah Umar berusaha memujuk hatinya agar tidak terlalu bersedih.



Tuk tuk..

Lamunan Amir diganggu dengan bunyi yang hadir secara tiba-tiba. Ketukan bertalu-talu tadi datangnya dari arah muka pintu biliknya. Amir yang masih leka memerhati keindahan dekorasi alam ciptaan-NYA, menoleh ke belakang. Dia betulkan kedudukan kopiah hitam yang sentiasa menutupi sebahagian rambutnya yang hampir nampak isi kulit kepala. Perasaan gelabahnya melonjak tinggi. Batuk mula menyerang dadanya, dia sedaya-upaya menahan batuknya agar tidak terlalu kerap menghenyak kerongkong. Kerongkongnya asyik gatal. Sengaja mahu mengeluarkan bunyi yang kurang enak untuk didengar.

“Masuklah, pintu tak kunci” laungnya dari dalam setelah dirinya benar-benar siap-sedia menerima kunjungan orang. Amir berpeluk tubuh. Tubuhnya dingin, sudah seminggu dia demam. Hanya Umar dan Iman sahaja yang tahu punca demam yang dialaminya.

Bunyi daun pintu terkuak, amat jelas kedengaran dari gegendang telinganya. Amir ukir senyuman, matanya bertemu mata dengan uminya.

“Sayang, jom makan..”

Amir serba-salah. Bukan dirinya sengaja mengasingkan diri. Dia terpaksa mencipta jurang. Batuknya semakin melarat. Kadang-kadang diselangi dengan darah. Darah?. Huh, nampak gayanya kansernya semakin memburuk.

“Amir tak lapar umi..”

“Umi masakkan bubur ye. Mana boleh perut tu kosong. Amir kena makan juga sayang..”

Amir garu lehernya yang tidak gatal. Nak cipta alasan apa lagi ya?. Dirinya hampir kalah dengan pujukan sang ibu.

“Uhuk..huk..hukk”

Amir gelisah. Tangannya menekup mulut. Badannya membongkok sedikit gara-gara dekahan batuknya agak kuat. Hidup Amir bergantung sepenuhnya dengan rawatan kemoterapi. Rambutnya yang lebat selama ini, semakin gugur. Makin lama makin banyak pula kesan tompok kulit yang tiada rambut. Sudah seminggu dia lari dari rawatan, bukan sengaja lari. Hatinya begitu teringin pulang ke rumah, berehat dan memandang wajah ibu dan ayahnya puas-puas. Esok lusa dia tidak tahu akan ada peluang sebegini atau tidak. Doktor Amran tidak melarang malah memahami hasrat hatinya.

Puan Hajar mengusap-usap dada anaknya. Rasa bimbangnya semakin menebal. Sejak anaknya pulang ke rumah, anaknya kerap sangat batuk. Katanya, hanya demam. Naluri seorang ibu tidak pula menyokong alasan anaknya tetapi dia lebih banyak berfikir yang bukan-bukan. Entahlah, dia rasa tak sedap hati. Dia sendiri keliru dengan kata hatinya.

“Demam Amir ni makin teruk. Kejap lagi kita pergi klinik, check darah ke.” cadang Hajar. Wajahnya terpampang kegelisahan.

“Eh tak payahlah umi. Amir dah makan ubat. Biasalah tu. Sekarang ni kan musim demam. Dekat kolej Amir, dah ramai yang ambil cuti demam umi. Amir baru aje seminggu demam. Ada kawan Amir tu, nak dekat sebulan dah dia demam aje..” dalihnya.

Hajar masih gelisah biarpun anaknya cuba menenangkan dirinya. “Umi tengok muka Amir ni pucat semacam. Umi risaulah sayang..”

“Kita jumpa doktor ye nak..” pujuk Hajar lagi.

“Umi janganlah risau. Amir dah check kat sana. Doktor cakap Amir kena demam panas. Ada jangkitan kuman dalam darah. Tak bahayalah umi..” senyumnya.

Hajah mengalah. Dibawanya Amir baring ke katil. Amir mengikut sahaja kehendak uminya. Dengan kudratnya yang lemah, dia berusaha berjalan laju mengikut rentak langkah uminya. Kalau dia tunjukkan keadaan dirinya yang lemah, nanti uminya akan syak. Terpaksalah dia menahan kesakitan demi membuat hati sang ibu sentiasa aman.

Hajar melabuhkan punggungnya diruang katil yang terdedah. Diperhatinya wajah Amir dengan penuh rasa kasih.. Hati seorang ibu tetap mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Kebetulan, bulan hadapan Nur akan berkahwin. Amir pula ambil cuti selama beberapa bulan memandangkan dirinya tidak sihat untuk mengikuti pengajian di universiti.

“Betul ke Amir tak sorokkan apa-apa ni?” soalnya setelah anaknya baring. Tangannya memaut pergelangan tangan anaknya. Jelas terpancar perasaan risau dari riak airmukanya.

Amir terkedu. Raut wajahnya pura-pura tenang. “Ish, umi ni, tak akanlah Amir nak bohong kut. Apa faedah yang Amir dapat kalau berbohong dengan umi..” kepalanya menggeleng, sambil tersenyum. Nun disudut hati, dirinya resah.

“Amir jatuh sakit ni sebab demam terkejut ke?” duga si ibu.

Amir sengih dalam tawa kecilnya. “Merepeklah umi ni. Ada ke demam terkejut. Demam ni bukan berbau pun umi. Dah nak demam, dia datanglah..”

“Nur bakal jadi hak orang. Amir tak terkilan ke?” Hajar sengaja bangkitkan soalan itu. Entah-entah punca anaknya jatuh sakit kerana terlalu sedih dengan perkahwinan Nur Syahadah. Apakah anaknya menyesal tinggalkan Nur Syahadah?. Pelbagai tekaan bermain dimindanya. Ah, kalaulah tekaannya betul pun, dia tak dapat ubah apa-apa. Nur Syahadah tetap akan berkahwin dengan orang lain, bukan anaknya. Rasa terkilan menempel diruang hati si ibu itu.

Soalan uminya bukan sahaja menampar dadanya, malah seluruh organ hatinya. Pedih. Pedih sangat. Amir terdiam. Batuk yang menyerangnya seakan-akan sengaja menyindir, bagai mengiayakan pertanyaan uminya tadi.

Kening Hajar bertaut. “Umi tak fahamlah. Kenapa senang-senang Amir lepaskan Nur kat tangan orang lain. Anak umi ni kan sayang sangat dengan Nur?” soalnya lagi. Tembakan soalan semakin banyak diutarakan. Hati ibu mana yang sanggup membiarkan anaknya tersilap langkah dalam membuat keputusan. Dia bingung dengan kehendak Amir.

“Amir dah jumpa seseorang yang lebih sesuai dengan jiwa Amir. Amir tak boleh pilih kedua-duanya..”

Hajar mengeluh kesal. “Apa kurangnya Nur tu. Dia baik, sopan-santun, hormat orang tua, pandai masak. Berpegang taguh pada agamanya, apa lagi yang tak cukup?” suaranya dikendurkan. Ikut hati yang tengah panas, mahu juga dia melenting. Nasib baik anaknya demam, jatuh pula kasihannya dengan anak.

“Dia terlalu sempurna umi. Tak ada satu pun cacat-celanya. Amir aje yang tak setia. Rambang mata dalam cinta, banyak sangat nak pilih..”

“Umi tak tahu nak cakap apa lagi dah. Umi tak nak paksa. Terpulanglah apa yang baik bagi Amir, umi ikutkan aje..”

“Amir tahu Umi kecewa..”

“Ha tau pun..mmm..”

“Maafkan Amir umi…”

Hajar serba-salah. Dia bukan marah, rasa terkilan sahaja. Tak sepatutnya dia lepaskan segala rasa kecewanya terhadap anaknya, dia lupa sesuatu tentang jodoh. Jodoh itu rahsia ALLAH. Manusia tak boleh halang jodoh yang telah ditetapkan-NYA. “Mmm,..” keluhnya.

“Umi sayangkan Nur…”

Amir sebak. Dia pun sayangkan Nur. ALLAH..ALLAH…

“Umi ingat, Amir pun sayangkan Nur..” kata hajar lagi.

“Ya umi. Amir pun sayang dia..”

Hajar merenung anaknya. “Dah tu kenapa seksa jiwa tu?”

Amir terkedu sebab terlajak kata. Cepat-cepat dipintasnya. “Err..maksud Amir, sayang sebagai sahabat…”

Hajar hampa. “Tak apalah, jodoh tu tak boleh nak dipaksa. Kadang-kadang perkara yang tak disangka-sangka yang terjadi. Benda yang dirancang putus ditengah jalan. Yang tak diminta, itulah yang akan datang..”

“Maafkan Amir umi..”

“Yelah, umi faham. Tapi umi nak tahu juga ni, siapa orangnya..”

“Orangnya?” Amir terpingga-pingga. Sesekali batuknya datang.

“Calon menantu umi” dia ukir senyuman. Redha. Mahu tidak mahu, Hajar terpaksa korek rahsia bagi memuaskan hatinya.

Setelah menghabiskan baki batuknya yang terakhir. Amir jawab dengan tenang. Dia sudah agak, soalan itu pasti akan dibangkit. Dia tahu uminya terlalu ambil berat perihal kehidupannya.

“Insya’ALLAH (Jika ALLAH Menghendaki) suatu hari nanti umi akan tahu juga. Dia orang baik-baik, perwatakannya saling tak tumpah macam Nur..” ada sendu diakhir bicaranya.

“Amir hanya mampu pilih satu aje.” nadanya sayu.

Airmata Hajar menitis tetapi baru renyai-renyai, tak lebat. Anak matanya merenung bebola mata anaknya yang sudah berkaca. Anaknya menangis?. Hajar bingung. Apakah Amir jujur dengan kata hatinya?. Sang ibu masih tertanya-tanya, hati kecilnya tidak mengakui kejujuran di mata anaknya.

Maafkan ana. Seandainya ana ada pilihan, ana tak akan sanggup biarkan Nur menangis. Ana tak akan sanggup biarkan enta menangisi sisa cinta kita..

“Umi tak nak masuk campur urusan hati Amir. Umi hanya mampu berdoa, umi nak tengok anak umi ni hidup bahagia. Tak kisahlah siapapun yang akan gantikan tempat Amir, Umi harap dia boleh jaga Amir kalau umi dah tak ada nanti..”

Amir meraih tangan uminya, dia peluk tangan kanan ibunya ke dada. Airmatanya mencurah-curah keluar. Hajar duduk lebih dekat lagi dengan Amir. Merelakan anaknya mengucup dan mencium telapak tangannya. Airmatanya ikut mengalir.

“Janganlah cakap macam tu umi. Insya’ALLAH (Jika ALLAH Menghendaki), umur umi lebih panjang dari umur Amir..”

Tangan kiri Hajar menepuk lembut bahu anaknya. “Apa yang Amir merepek ni. Ish, ke situ pula dia. Umi ni dah tua sayang. Sampai masa, umi akan tinggalkan anak umi ni..” ujarnya, masih dalam sisa sedih.

“Mati tu tak kenal usia umi..”

“Dah, dah. Jangan melalut. “

“Ampunkan Amir umi. Ampunkan Amir dari hujung rambut sampai hujung kaki. Amir tak ada niat sikit pun nak buat umi kecewa. Amir terpaksa buat pilihan. Moga tiada hati yang terseksa..” airmatanya merembes keluar, makin mencurah-curah. Dia hampir tewas, Tewas dengan wajah mulus uminya. Terasa ingin luahkan segala isi yang tersembunyi di lubuk hatinya. Dia hanya mampu menangis, hatinya retak beribu keping.

“Umi sentiasa maafkan anak umi ni..” tangisnya. Hajar kucup dahi anaknya.

>>>

“Iman”

“Iye kakakku bucuk, cayang..”

Aku sengih lebar mendengar suara manjanya. Kami berpeluk sambil berbaring. Aku terharu dengan sikap ambil berat adikku terhadapku. Aku hanya ada Iman, dia sahajalah yang menemani hari-hariku.

Dulu, kak Su…mmm.

Anak mataku merenung putaran kipas. Kurasakan tenang malam ini, Harapanku janganlah ada tanda-tanda mahu hujan. Maksudku, hujan airmata, hurm!. Malam ini Iman mahu temankanku tidur. Aku fobia kalau berseorangan dalam bilik, nanti fikiranku rajin menerawang ke masa silam. Sengaja cari penyakit. Penyudahnya, mulalah mataku berair, menangis.

“Kak Nur, nak tanya ni..”

“Satu soalan seringgit ye. Dua soalan dua ringgit….dan seterusnya..” usikku dengan tawa kecil. Muncung bibir Iman tinggi menjulang ke atas.

“Ala, kedekut..”

“Business is business..” usikku lagi.

“Tak mahulah kawan dengan kak Nur..”

Aku menyeringai. “Ala ala ala, macam budak kecik ajelah.. main kawan-kawan pula dia, hihi…”

“Iman tak nak cakap. Nak diam aje..” rajuknya.

Aku mengusap bahunya dalam keadaan berbaring. Aku bersyukur dianugerahkan ALLAH seorang adik yang sangat memahami dan matang. Aku picit hidungnya, Iman mengaduh geram. Aku tertawa lagi, senang hati.

“Ish. Main-mainlah kak Nur ni..” desir Iman geram.

“Okay, okay, maafkan kak Nur ye..”

“dengan syarat”

“Ala syarat pula”

Iman gelak.

“Nak Iman maafkan ke tak?”

“Baiklah..ye..okay. Apa syaratnya?” jawabku malas separuh merajuk.

“Kirimkan salam Iman kat Abang ipar ea..”

“Iman..” Aku mengeletek Iman, aku ketap bibir menahan malu.

“Hahaha haha. Gelilah .. jangan…”

“Iman ni suka buat kak Nur malulah..ish..”

“Adoi..adoi..maaf. Maaf..ampun..hahaha..gelilah kak Nur..adoi ai. eiii..”

Kami bergumpal seketika. Akhirnya, masing-masing beralah. Kami lepaskan hela nafas lelah, masing-masing baring menelentang. Kepenatan.

Suasana bisu. Diam.

Dalam tidak sedar, aku mengukir senyuman. Pandanganku masih menghala ke atas, bagai ada sesuatu yang menarik mataku agar terus melempar ke atas. Aku teringatkan seseorang. Bukan Abang Haiqal, bukan juga Akhi Amir tetapi si dia. Muhammad Yusof bin tak tahu, atau lebih dikenali dengan Encik Calon Suami. Ish, malunya!.

“Apa pendapat Iman tentang abang ipar Iman tu?” aku mulakan bicara mematikan keadaan sunyi yang menyelubungi kami.

Iman gelak. Aku kerling sisi sebelahku dengan pandangan tajam. Iman memang suka sangat buat aku gelabah malu. Dengan debaran, aku kawal perasaan malu.

“Kak Nur kena ambil tahu juga, dia kan bakal suami kak Nur. Ha, lagipun Iman yang suruh kak Nur bagi peluang kat dia, kan, kan?” aku halakan jari telunjukku tepat ke arah pipi Iman. Iman mengelak, sempat lagi mencebikku.

Kami saling berbalas renungan pada kedudukan kepala yang menyenget. Dia palingkan mukanya ke kiri aku pula ke arah kanan. Kami saling pandang arah yang bertentangan dan masih berbaring.

Perbualan kami kembali serius.

“Betul ke kak Nur nak tahu ni?”

Aku angguk.

“Okay, Iman kasitahu ea. Dulu, ada jugalah Iman datang pondok abi. Umi kan suka suruh kita hantarkan makanan ke abi. Masa tu, banyak kali jugalah Iman terserempak dengan abang Yusof tu. Dia peramah, suka soal-soal Iman. Pemurah dengan senyuman, suka berguran dan paling utama kan, dia lebih hensem daripada akhi Amir tau. Kak Nur memang beruntung dapat dia..” Iman menerangkan kefahamannya tentang perwatakan abang iparnya dengan penuh bersemangat.

Aku terdiam serta-merta.

Iman buntangkan matanya. Ops, alamak heh!. Terlepas cakaplah pula. Kau ni Iman, tak sensitif dengan perasan orang. Apasallah kau pergi sebut bekas kekasih dia tu, ish mesti kak Nur sedih lagi ni. Hurm…., katanya dalam hati.

“Sorry kak Nur, sorry. Iman tak sengaja..”

Iman merebahkan kepalanya kebahuku. Aku pula sekadar membatu. Aku usap ubun-ubun kepalanya, ingin memberi isyarat yang aku tidak marah.

“Mmmm, boleh ke kak Nur lupakan akhi?” tanpa sedar, bicara spontan itu terpacul keluar dari mulutku. Aku sendiri tergamam.

Tiba-tiba aku terdengar esak tangis seseorang. Eh, Iman menangis ke?. Aku yang patut menangis tidak adalah beria-ria sedih, adikku pula ‘touching’ lebih. Siapa yang terluka sebenarnya ni?.

“Lah, janganlah cembeng Iman. yang Iman menangis ni apa ke halnya. Kak Nur tak menangis pun tau, Iman pula yang lebih-lebih…” ujarku.

“Buruk benar menangis macam ni, shuttt dah jangan menangis lagi..” aku cuit hidungnya, aku mahu bertukar ceria tidak mahu menangisi takdir lagi. yang datang akan aku sambut dengan hati yang terbuka.

Iman sebak, terkenang akhi Amir yang menderita dengan penyakitnya. Dia mahu kak Nur tahu yang akhi Amir tak pernah lupakan kakaknya, tetapi lidahnya liat, keras sangat. Seolah-olah lidahnya ikut terikat dengan janji yang diikatnya bersama akhi Amir tempoh hari. Tangisan Iman semakin lebat.

“Dahlah sayang, karang kak Nur nangis, padan muka…” suaraku sudah mula serak-serak. Ada tanda bakal menerima kunjungan hujan airmata.

‘Iman sedih..” ucap Iman dalam suara manjanya.

Aku pun menyahut, ikut bersedih. “Yelah, nak buat macammana. Tak akan kak Nur nak culik akhi, minta dia kahwin dengan kak Nur. Kak Nur tak ada kuasa pun nak korek hati akhi, masukkan nama kak Nur dalam hati dia balik..” kiasku dengan rasa kesal. Aku sebenarnya cuba berseloroh, bergurau untuk hilangkan kesedihan Iman tetapi gagal.

Bertambah-tambah tangisan Iman. Aku geleng-kepala. Akhirnya menitis juga airmata yang aku tahan-tahan sejak tadi. Mmmm…

“Kak, cinta kerana ALLAH tu tak mudah luput kan..” luah Iman. Masih dalam sisa tangis.

Aku angguk. Dalam esakan kecil, aku utarakan sokongan. “Memang, sebab cinta dari ALLAH tu tersangat suci dan indah..”

“Kak Nur tak perlu lupakan akhi. Kak Nur cuma letakkan abang Yusof paling atas diantara lelaki-lelaki yang kak Nur cinta..”

Kami berpelukan dalam tangisan. “Insya’ALLAH (Jika ALLAH Menghendaki), kak Nur ingat pesan Iman tu. Jangan risaulah sayang. Kak Nur dah janji pada diri, kak Nur nak belajar cintakan suami. Biarlah cinta lalu menjadi ingatan sepanjang hayat, bukan untuk diratapi tetapi disyukuri. Kak Nur bersyukur sebab jumpa banyak cinta, yang manis itu anugerah, yang pahit itu tarbiyyah. Pengajaran buat kak Nur sendiri…” luahku tenang.

“Alhamdulillah, sayang kak Nur. Kakak Iman yang seorang ni memang da best. Tip-top, limited edition. Bertuah abang Yusof dapat kak Nur tau.

Pujian Iman melahirkan senyuman kami. Sesaat, kami terbuai dengan rasa ketenangan. Jari-jemari Iman bermain pada hujung rambutku. Aku membiarkan sahaja perilakunya, aku toleh ke sisi. Aku lihat wajah Iman murung. Hatiku sebak, apakan daya aku tidak pandai menceriakan hati Iman dikala hatiku dilanda kemuraman.

Usai menghabiskan sisa-sisa tangisan yang terakhir, Aku bersuara, cuba memujuk hati Iman dan diriku sendiri. “Ingat tak, Firman ALLAH ada mengatakan. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui,..” kataku. (Surah Al-Baqarah ayat 216).

“ALLAH..”

Iman tersentuh dengan bicaraku tadi. Moga hatiku ikut tersentuh dengan peringatan yang aku kongsikan. Ya ALLAH, setiap yang terjadi pasti ada hikmah-MU.. suara hatiku bersujud kepada-NYA.

“ALLAH cinta agung, pantaskah kita tunduk pada cinta manusia, sedangkan si Pemilik Cinta telah kita abaikan?. Kak Nur cintakan ALLAH, melebihi cinta kepada manusia. Kesukaan ALLAH, akan menjadi kesukaan kak Nur juga. Kak Nur mencintai kerana ALLAH, kak Nur membenci kerana ALLAH, berpisah kerana ALLAH dan bertemu kerana ALLAH. Kita hamba, selayaknya kita sedar diri siapa kita di muka bumi ni. Tiada satu pun milik kita, semuanya kepunyaan ALLAH. .”

Iman mengusap bahuku. “Alhamdulillah (Segala Puji Bagi ALLAH), barakAllahu fiki (Moga ALLAH berkati kamu)..”

“Wa fiki Insya’ALLAH…” (Begitu juga awak, dengan izin-NYA).

Kami berbalas senyuman.

Nasib baik Iman ni perempuan, kalau lelakilah kan, Iman pun boleh tercair dengan kak Nur.”

“Amboi, status Iman, macam nak suruh kak Nur melompat ke bintang aje ni?” gurauku. Suasana yang mendung tadi berubah ceria. Alhamdulillah (Segala Puji Bagi ALLAH)…..

“Hahaha, memang sengaja nak kasi kak Nur kembang, biar mengelembung naik ke udara,. Macam belon..”

Aku gelak kecil, terasa gembira sedikit.

“Sweet talker..”

Iman menjuih bibirnya.

“Kalau sepuluh macam Iman ni, mesti hidung kakak-kakak kat dunia ni kembang-kempis, yelah asyik dipuji aje..”

“Mestilah, tapi kak Nur kakak yang special sikit. Lain dari yang lain, teristimewa..”

Jari-jemariku meramas-ramas jari-jemarinya. Kasih-sayang antara adik-beradik begitu indah. Aku bersyukur masih dapat menerima kasih-sayang itu daripada Iman. Mmmmm, kak Su?. Insya’ALLAH (Jika ALLAH Menghendaki), aku sentiasa berharap. Moga suatu masa nanti, kami akan bersatu kembali.


No comments:

Post a Comment