Sunday, February 1, 2015

Novel Izinkan CintaMu Yang Pertama 2


Bab 2

Aku suka bertandang ke rumah ALLAH. Masjid Al-Hikmah sentiasa kelihatan bersih dan kemas. Telekung-telekungnya pun tersusun rapi. Nun di sudut kiri, terdapat pelbagai jenis buku agama merangkumi kitab Al-Quran yang disusun pada rak paling atas, diikuti bawahnya, buku hadis, peringkat pertengahan pula terdapat pelbagai buku-buku agama. Di bawah sekali, aku lihat terdapat beberapa untaian tasbih dan perhiasan yang indah terletak. Damainya hatiku ketika berada di dalam masjid. Terasa bahang panas yang mahu membakar jiwaku tadi, telah menjadi dingin dan setenang air sungai yang mengalir.

Memandangkan aku masih berada di atas tikar sejadah, telekung masih melekap ke tubuhku. Aku termenung sejenak, mengenang kembali rantai kehidupanku yang telah berlalu. Tidak pernah sekelumit pun dalam hatiku mahu mengagungkan kesucian diri. Orang hanya nampak dingin luaranku, mereka tidak pernah menyelak jernih dalamanku. Hatiku bagai air yang mengalir, segala rasa kotor tidak membusuk lama di hati. Aku ingin menjadi manusia yang sering menyingkap salah diri, menghalusi dan merenungi khilaf hati. Dalam kemarahan terselit sayang, itu yang aku rasakan dengan kak Su dan abang Haiqal.

“Psst..psstt..pssssst..”

Bahuku diciut seseoang, aku toleh ke belakang. Kak Su sudah berada dibelakangku dengan senyuman lebarnya. Dia dekatkan bibirnya ke telingaku, berbisik.

“Ada surat untuk Nur. Khas dari buah hati pengarang jantung, Haiqal”

Aku hampir tersedak, mujurlah biji rambutan yang sudah aku makan isinya itu tidak aku telan. Kalau dibuatnya aku tertelan akibat terkejut, memang mati kataklah jawabnya. Aku menjeling kak Su, geram dengan tujahannya yang tiba-tiba. Salam tidak, sapa pun tidak, tahu-tahu kak Su datang berbisik kepadaku.

“Ish kak su ni. Cakap malam pandang-pandang, cakap siang dengar-dengar. Tak nampak ke kat depan kita ni siapa?” balasku dalam bisikan.

Abi berdehem berulang-kali, mungkin tahu apa yang kami bualkan. Aku jeling kak Su, kak Su pula sengih-sengih ubi. Hai, sabar ajelah!.

“Tak baik berbisik-bisik dihadapan orang” tegur umi kepada kami. Umi memang sehati sejiwa dengan abi. Macam tahu-tahu sahaja yang abi tak suka perlakuan kami tadi.

Kak Su tersengih-sengih, lantas menarik lenganku, agar aku segera ikut langkahnya. Sebelum aku pergi, sempat lagi aku sapa kedua-dua orang tuaku. Dalam sengihan, aku mohon maaf.

“Abi, umi, kami tak sengaja. Heee maaf ye..” tanganku melambai-lambai mereka.

Kami berlari anak meninggalkan mereka. Abi dan Umi pastinya menggeleng kepala melihat kelakuan kami yang bagai kera dapat bunga. Menjatuhkan saham anak dara, hehehe!.

Setelah menutup daun pintu bilik, aku lihat kak Su terus menyembamkan tubuhnya ke katil. Aku pula bagai lipas kudung, cepat-cepat aku buka sampul surat tadi.

“Assalamualaikum (Selamat Sejahtera keatas kamu (Semua))….” Aku baca isi surat tadi dengan ton suara yang agak tinggi. Bersemangat sungguh aku tetapi sayangnya, suara halusku hanya didengari kak Su seorang. Haish, gedik betul aku!.

“Jawablah dik, dia bagi salam tu..” sempat lagi kak Su berseloroh.

Mukaku pula merah padam menanggung malu. Aku melebarkan senyuman, sampai ke telinga agaknya senyumanku. Maklumlah, gembira tidak terkata dapat surat daripada tunangku sendiri. Ramai rakan-rakan sebayaku yang mencemburui aku. Pertama, sebab aku sudah bertunang dalam usia yang terlalu muda. Kedua, mereka cemburu sebab hero sekolah yang menjadi idaman para pelajar di sekolah kami, telah sah bergelar tunang aku.

“Waalaikumussalam Warahmatullah hiwabarakaatuh (Segala Sejahtera Keatasmu, Dan Rahmat ALLAH Keatasmu serta Barakah ALLAH Jua Atasmu)..” jawabku, malu-malu.

Imbauan masa lalu membangkit sebakku. Aku biarkan airmataku berbicara, menyatakan kesedihan yang aku kandung selama ini. Sebenarnya aku rindukan kak Su, memang aku ego. Aku akui, aku terlalu rindukan kemesraan antara kami. Air dicincang tidak akan putus, aku tidak akan sesekali menyalahkan Abang Haiqal dan kak Su, kalau aku berbuat begitu, nampaknya aku menyalahkan takdir ALLAH. Aku pasrah dan redha dengan segala ketentuan-NYA dalam hidupku.

Aku bingkas bangun, menuju ke rak buku tadi. Aku capai senaskah Al-Quran bersama alas kayu buat menampung kitab itu, lalu aku duduk bersimpul semula. Subhanallah, Maha Suci Allah, Hatiku sangat tenteram melihat kalam ALLAH ini. Aku kucup, aku dakap ke pelukanku. Airmataku bergenang lalu tumpah jua.

Ya ALLAH, aku belum baca lagi bait-bait ‘kata’ dari-MU, tetapi aku sudah rasakan ketenangan yang tidak terkata ya ALLAH. ALLAH…ALLAH.., hebat-NYA kalam-MU ALLAH, desir hatiku mengagumi kebesaran-NYA. Subhanallah (Maha Suci ALLAH).

“Kalau nak meluah rasa pada ALLAH, dirikanlah solat, seolah-olah kita sedang berbicara pada-NYA. Nak dengar ALLAH berbicara dengan kita, bukalah Al-Quran. Baca dan fahami isinya, seoralah-olah DIA sedang berbicara dengan kita. Kita akan dapat ketenangan yang luar biasa..”

Satu suara tiba-tiba menjengahku.

“Ingat, kita kena jaga tertib semasa membaca Al-Quran. Mestilah dalam keadaan bersih, ada air whuduk. Sebaik-baiknya menghadap kiblat, tutup aurat dengan sempurna, sebutan makkraj mesti betul, hukum-hukum tajwid dan bacaannya mesti kita sempurnakan. Paling bagus, fahami maksud ayat ALLAH yang kita baca. Berganda-gandalah rasa cinta dan kerinduan kita pada ALLAH nanti..”

Aku kenal suara yang menampar cuping telingaku, khayalanku terbang mengingati Akhi Amir. Dia seorang yang terpelajar, sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu, dan warisan Islam (Pengajian Qu’ran dan Sunnah) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UIAM.

“Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada (kerabatnya), orang miskin dan orang yang berhijrah di jalan ALLAH dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa ALLAH mengampuni kamu?. Dan ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang..”

Bacaanku terhenti saat membaca terjemahan Surah Al-Nur, ayat 22. Mataku merenung tepat pada ayat tersebut dengan linangan airmata yang tiba-tiba mencurah-curah keluar. Isi tafsir Al-Quran yang aku baca tadi, aku ulang banyak kali. Aku pandang penerangan ayat terjemahan yang ada dibawahnya. Aku baca pula penerangan tersebut.

Bibirku terkumat-kamit membaca dengan suara yang perlahan, cukup hanya aku seorang sahaja yang mendengarnya. “Ayat ini berhubung dengan sumpah Abu Bakar Radhiyallahu’anhu bahawa dia tidak akan memberi apa-apa bantuan kepada kerabat atau orang lain yang menyebarkan berita bohong tentang diri ‘Aisyah Radhiyallahhu’anha. Maka turunlah ayat ini melarang beliau melaksanakan sumpahnya itu dan menyuruh memaafkan dan berlapang dada terhadap mereka, sesudah mereka mendapat hukuman terhadap mereka”

Ya ALLAH, ampunkanlah hamba-Mu ini, aku masih tidak terdaya melupakan apa yang telah terjadi dalam hidupku. Aku memang lemah ya ALLAH. Berilah aku hati yang baru, hati yang tidak menyimpan sebarang rasa terkilan dan rajuknya. Hati yang aku rasakan sekarang sangat keras, sukar dilembutkan. Jauhkan aku dari sifat mazmumah, sifat buruk yang mencacatkan anugerah hati-MU ini, aammiin yarabbal alamin, aku pohon doa dalam diam sebelum menyambung kembali mengaji Al-Quran.

Airmataku mengalir deras seiring dengan bacaan pengajianku. Makin lama makin lebat mengalir, seolah-olah mahu menyaingi rintik-rintik hujan yang sudah mula muncul di perkarangan luar masjid. Aku biarkan diriku larut dalam pelukan kerinduan dari-NYA.

>>>

Aku terpaksa berdiri tegak. Kaku dan membisu, menghadap hujan yang semakin mencurah-curah dengan lebatnya. Aku hirup bau hujan, terasa segar. Aku timbang-timbang buah fikirku, apa aku harus redah sahaja hujan-NYA ini?. Aku mengenang diriku yang berpakaian serba putih, aku terpaksa batalkan niat mahu redah hujan. Setahuku, kalau pakai baju warna putih memang mudah nampak bahagian dalaman. Tidak pasal-pasal ada pula tok janggut dan pak lebai yang pengsan melihat keseksianku kala air hujan menyerap seluruh pakaianku nanti. Baiklah, aku selesa berteduh di luar masjid. Dapat juga aku hirup udara segar, udara yang bercampur bauan hujan. Lagipun tiada satu pun kelibat manusia yang berada di luar perkarangan masjid ni. Aku menarik nafas lega, terasa selesa.

Seminit dua minit, Hujan kian lebat. Aku selak sedikit baju kurungku, aku lihat jarum jam tanganku. Hatiku sudah mula resah. Pakaianku mesti berganti, dalam masa setengah jam lagi, waktu solat maghrib akan tiba. Selepas itu, berduyun-duyunlah orang ke masjid, mahu mengerjakan solat berjemaah. Tak akanlah aku mhu ikut serta dengan tidak berganti pakaian, malah tubuh badanku agak lekit. Aku mahu mandi, bersihkan diri sebelum menghadap ILAHI.

Aku dongak ke atas, memerhati permukaan langit yang gelap ketika hujan menyimbahi bumi. Terasa tenangnya bunyi hujan. Dalam keresahan, aku masih terbuai dengan keindahan rintik-rintik hujan, fikiranku kosong, tenang. Tiba-tiba memori lalu datang lagi, kali ini aku ditayangkan dengan suasana ceria tiga orang adik-beradik yang masih kecil, sedang berkejaran dalam suasana hujan lebat. Gelak tawa mereka memenuhi pendengaranku. Aku diserang sebak.

Maafkan Nur kak Su. Nur cuba lupakan kisah lalu, tapi.. makin kuat pula bertinggung ditepian kali hati, suara hatiku merintih pilu. Macamlah kak Su dengar luahanku tadi. Hurm,
sampai bilakah aku akan begini?. Melarikan diri dan terus berlari?. Keras betul hatiku yang tersakiti.

“Innama a’malubinniat..”

Berderau darahku. Eh, orang arab manalah yang tiba-tiba menyapaku?. Aku ada ‘basic’ arab, faham jugalah ayat tadi yang bermaksud lebih kurang begini, ‘Bermulanya Amalan Itu Dengan Niat. Aku toleh ke sisi, alamak!. Debaran dadaku tiba-tiba kencang.

“”Saya dah lama pasang niat. Niat nak mendirikan rumahtangga ni untuk mencari keredhaan ALLAH, supaya saya dapat dekat lagi dengan ALLAH. Sebab itulah saya mencari seseorang yang hatinya terukir nama ALLAH dan Rasulullah, moga hati saya semakin mencintai ALLAH dan Rasulullah….”

Ish, malunya. Kat mana aku nak sorok muka ni?, Aduhai, kenapalah kau boleh tak ingat yang dia ada kat sini tadi cik Nur Syahadah oi!, bisik hatiku, mengutuk kealpaan diri. Aku boleh lupa yang calon menantu kesayangan abi masih berada di masjid ini sejak aku datang tadi. Hish, nak lari, hujan lebat pula tu!. Terpaksalah aku dengar bebelan dia. Err?... 

\
Yusof senyum manis, gembira bertemu dengan bakal suri rumahnya. “Lupa pula nak bagi salam kan. Assalamualaikum (Selamat Sejahtera keatas kamu (Semua))…”

“Waalaikumussalam Warahmatullah Hiwabarakaatuh ((Segala Sejahtera Keatasmu, Dan Rahmat ALLAH Keatasmu serta Barakah ALLAH Jua Atasmu)” jawabku acuh tak acuh. Aku halakan pandangan ke arah lain. Aku berpeluk tubuh sambil memandang lecak air yang sudah buat rumah ditanah luar masjid.

“Dari mana, nak ke mana ni?”

Berbahasa-bahasi pula dia denganku. Aku jawab juga tanpa memandangnya.”Dari tanah, nak pulang pun ke tanah juga..” tempelakku.

Yusof sengih, gelihati. Wajah bakal isteri hanya ditatap dari pandangan sisi. Sombongnya bakal isteriku, hai apa boleh buat!. Malu kan perhiasan paling indah buat wanita, desir hatinya.

Saatku menoleh ke sisi, aku nampak dia menghulur senyuman manisnya yang semanis gula. Kalau ada semut, boleh juga aku biarkan semut bertenggek disekiar bibirnya. Entah kenapa hatiku resah melihat kemesraannya, bukan benci tetapi tidak selesa. Oh, hujan, kehadiranmu sepatutnya menyejukkan hatiku, mengapa bahang panas pula yang aku rasai?. Huh!.

“Maksud saya, Nur dari rumah ke atau dari mana?”

Perlu ke aku jawab ya?. Kalau aku cakap dari rumah kenapa?. Dia nak hantar rombongan meminang ke?. Heh, melalut pula kau ni Nur!. 

 
“Terima kasih sudi terima saya..”

Eh, soalan tadi belum pun aku jawab, tiba-tiba dia ucap terima kasih!. Ish, nampak macam aku yang jahat, dia pula baik yang amat sangat!. Hurm, Encik calon suami, maaf saya tak ada ‘mood’ nak bermesra dengan awak, okay!.

Aku angguk, malas mahu berkata apa-apa. Bukan aku yang terima, abi aku yang memandai-mandai bagi harapan. Aku tunggu Akhi Amir, dia pula yang mendapat perhatian abi. Sabarlah hati!. Ada kesayuan dalam hatiku. Makin dikenang Akhi Amir, makin sakit pula hatiku ini.

“Kata orang, tak kenal maka tak cinta tau. Dah kenal mesti awak akan suka..” Yusof masih berusaha berdialog, biarpun hanya dia sahaja yang becok berceloteh. Orang sebelahnya pula macam burung belatuk, terangguk-angguk.

Glup.
Anak tekakku terasa kelat. Kalau dibiarkan, boleh melarat. Terusik pula hati dan perasaan. Mmmmmm..

“Encik, kita dalam kawasan masjid ni. Tak manis berbual kan” pintasku lembut. Aku tahan rasa geram.

“Nah, pakailah payung ni, balik cepat sikit ye. Tak elok anak dara berkeliaran seorang diri. Nanti lepas kita kahwin, saya teman awak ye. Tak adalah bahaya sangat..” yusof berseloroh, sengaja mengusik si gadis.

Aku ketap bibir, malu. Bersuara pun tidak, mengiakan pun tidak. Senyum jauh sekali. Aku terus menyambar payung yang dihulurnya kepadaku. Lebih baik aku berhutang payung dari terperangkap lebih lama di sini dengan calon menantu pilihan abi yang rerlebih peramah itu.

“Hati-hati bawa kereta!”

Sempat lagi si dia melaung dari jauh. Aku diam dan terus berlari ke arah keretaku. Terpaksa jualah aku redah hujan memandangkan si dia bermurah hati meminjamkan payungnya kepadaku tanpa aku minta izin terlebih dahulu. Aku lepaskan keluhan lega saat tubuhku sudah menerombosi ke dalam kereta.

Terima kasihlah Encik Calon suami, jasamu akan aku kenang.

Aku memecut keretaku, membawa ke arah laluan jalanraya. Lelaki pilihan abi memang baik, walaupun aku tidak kenal rapat dengannya hatiku mengatakan dia orang yang baik. Aku buntu, siapakah sebenarnya yang tercipta untukku sejak di Luh Mahfuz?. Adakah Muhammad yusof atau Akhi Amir?. Mmmm..

“Ana harap enti sudi tunggu ana”

Aku teringat kembali permintaannya sebelum berangkat belajar di UIAM, beberapa tahun yang lalu. Dia merupakan anak kepada rakan baik abi dan umi. Setahun yang lepas, dia beranikan diri berbual denganku melalui perantaraan Iman. Kami tidak pernah keluar berdua, Iman akan temani di tengah-tengah. Macam mana alim pun seorang lelaki dan selabuh mana pun tudung seorang wanita kalau sudah berdua, pasti ada yang ketiga. Sebab itulah aku ajak Iman teman kami ketika kami bertemu di luar supaya yang ketiga (Syaitan) itu tidak dapat masuk jarum, menghasut maksiat.

“Garam di laut, asam di darat, Dalam periuk bertemu jua…” itulah jawapan balasanku kepadanya. Dia pastinya mengerti bahasa kiasan yang ingin aku lontarkan tadi. Aku lihat wajahnya amat teruja dan gembira. Itulah kali pertama aku rasakan bahagia bertandang semula dalam hidupku selepas kejadian pertelingkahan antara aku dan kak su dahulu.

“Kalau dah jodoh tak ke mana kan akhi”

Iman yang berada disebelahku berbisik-bisik. Aku pula menyampaikan jawapanku dengan bantuan Iman. Ah, rindunya saat itu!. Saat di mana aku dan Akhi Amir bertemu dan merancang hala tuju hubungan kami.

Sekarang?

Hurm, hatiku sebak. Sampai hati abi dan umi buat keputusan tanpa berbincang denganku. Aku telah janji, sepatutnya mereka menggalakkan aku tepati janjiku kepada Akhi Amir, bukan merobohkan janji yang telah dimenterai. Aku tidak faham kehendak mereka. Kenapa mereka berubah dalam sekelip mata?. Apa salah Akhi Amir hingga mereka tolaknya mentah-mentah?.

“Nur mesti terima Muhammad Yusof., dialah lelaki yang terbaik untuk anak abi ni.”

Bicara abi bagai halilintar yang membelah bumi, bukan sahaja bumi malahan membelah dadaku. Dulu aku fikir aku akan berkahwin dengan abang Haiqal tetapi ternyata dia bukan jodohku. Aku dilamar sengsara, hampir berbulan jualah aku menangisi takdir. Semenjak Akhi Amir hadir dalam hidupku, aku tahu ada sinar yang mahu menapak dalam kebahagiaanku. Malah, abi dan umi sangat setuju apabila aku katakan yang kami ingin mengikat pertunangan dan berkahwin secepat yang mungkin setelah Akhi Amir tamat pengajian nanti. Aku sedia menunggunya dengan sabar. Lain pula cerita sekarang, Abi mahu aku terima Muhammad Yusof dan lupakan Akhi Amir. Mengapa abi dan umiku berpatah arah?. Terlalu banyak persoalan yang aku mahukan penyelesaiannya.

Langkahku liat sebaik sahaja aku tiba dihadapan pintu masuk rumah. Salam yang aku hulur, dijawab seseorang.

“Nur dari mana ni?”

Aku senyum saat nenek terpacul dihadapanku. Rasa bersalah pula keluar tanpa pengetahuan penghuni rumah ini. Iman tahu aku keluar, agaknya Imanlah yang beritahu kepada nenek. Cuma Iman tidak tahu aku keluar ke mana.

“Nur beli barang tadi nek, hujan pula, Nur tunggu samai hujan reda. Sebab tu Nur lambat balik. Nur tersekat kat kedai tu” ujarku spontan, terpaksa mencipta kebohongan. Aku betulkan kedudukan tudung, terasa kekok pula diperhatikan nenek yang berkerut wajahnya.

“Nek tengok tangan Nur kosong aje. Kata beli barang, mestilah penuh tangan tu dengan barang kan”

Aku terperangkap dengan jerat penipuan yang aku cipta sendiri. Aku sengih malu, alamak ‘mengantoikan’ diri. Huhuhu…

“Nek dah makan garam dari kamu. Sekilas air di laut, nek dah tahu jantan betinanya..”

“Wah, wah,, cekapnya..” gurauku dengan sengihan.

“Kak Su kamu dah balik. Kalau kamu nak pergi jenguk, pergi aje rumah mah Timah kamu. Su dengan suami dia tinggal kat rumah mertuanya buat sementara waktu ni.”

“Mereka tak duduk kat Mesir lagi ke nek?” aku bersuara. Kekok membicarakan hal mereka.

“Haiqal cuti semester. Katanya, pakcik Haiqal yang duduk di Mesir tu pun balik sama. Mereka berkampung di sini, nak tunggu kamu naik pelaminlah tu..”

Mendengar sahaja isu kahwin, terus hilang ‘mood’ aku. Berita perkahwinanku sudah sampai ke Mesir. Patutlah kak Su dan abang Haiqal beria-ria balik ke sini. Semua orang mahumeraikannya. Aku pula makin rasa berat hati. Akhi Amir sudah lama tidak menghubungiku. Selalunya dia akan hantar pesanan melalui facebook atau mesej ke telefon bimbitku. Sudah berbulan-bulan lamanya dia menghilang.

Dia tahu ke keputusan abi?. Entah-entah dia sedang makan hati dengan abiku?. Ish, macammana ni!. Hatiku resah. Nampak gayanya majlis pernikahan aku akan berlangsung tanpa kerelaanku. ALLAHHU, beratnya hati ni..

“Jangan lupa singgah kat sana Nur, jenguk kak Su dengan abang Haiqal kamu tu. Ajak mak Timah kamu ke majlis Nur nanti, tak adalah dia segan sangat nak datang kalau kamu sendiri yang ajak”

Aduhai, sabar sahajalah nenekku!. Dia berwajah selamba, macam tak tahu sahaja yang aku dan kak Su sudah buat haluan masing-masing. Seorang ke planet marikh, yang seorang lagi ke planet pluto. Jangan-jangan nenek aku lupa kut?. 
 Nenek mahu aku jejak kaki ke rumah bakal mertua tidak jadiku, iaitu mak Fatimah, ibu kepada abang Haiqal. Ish, memang idak pergilah jawabnya!.

“Err, tak nampak orang lain pun selain nek. Yang lain tak ada kat rumah ke nek?” Aku segera ubah topik.

“Abi kamu dah ke masjid. Umi dan Iman pula ke rumah mak Timah kamu, menghantar Su dan suaminya ke sana. Nek tak larat nak ikut, lutut ni tiba-tiba kebah semacam. Sakit kaki nek tak elok lagi” Nek Jah duduk di kerusi ruang tamu, mengurut betisnya.

Aku memang rapat dengan ibu abang Haiqal, Fatimah. Sejah kejadian lepas, hubungan kami secara automatik jadi renggang. Aku harap dia faham keadaanku, aku menjaga hati dari ada perasaan yang tak baik. Aku mahu luputkan ingatan lalu. Moga suatu masa nanti aku boleh lupakan kesemuanya.

“Nur urutkan nek” tanpa buang masa, aku urut kaki nenek. Aku tak nak nenek berterusan bercerita perihal keluarga abang Haiqal. Aku suruh nenek luruskan bahagian betisnya, melunjur ke hadapan.

“Nek kena banyakkan rehat lepas ni tau..” ujarku.

“Orang tua macam nek ni, kubur dah kata mari dah, rumah kata pergi. Biasalah tu. kalau tak sakit, bukan orang tua namanya Nur..” seloroh nenekku.

Mataku bertempung dengan mata nenek. Renungannya yang lain macam itu menaikkan kerisauanku. Janganlah dia bangkitkan isu kak Su dan abang Haiqal. Cukuplah, aku tidak mahu ambil tahu lagi!.

“Nak nak timbang cicit dulu, nak bergelar moyang. Barulah senang hati nek nak pergi menghadap ALLAH nanti..”

Erkk, Dumm!. 

 
Jantungku bagai tercabut dari kedudukan asal, isu kahwin pula yang dibangkitkan nenek. Ish, isu itu pun sensitif juga!. Nenek pun menggalakkan aku kahwin awal. Aku ukir senyuman terpaksa, pura-pura suka. Kepalaku jatuh ke bawah, menyembunyi resah.

“Kahwin aje cepat-cepat Nur. Nek takut tak sempat..”

Ada garis kasihan dihatiku. Sebak pula mendengar luahan nenek. Aku hanya mampu diam membisu. Tanganku lincah bergerak, mengurut sekitar tempurung kepala lutut nenek dan betisnya.

“Barang yang lepas jangan dikenang Nur”

Glup!. Errr..
Urutanku menjadi serba tidak kena, mujur fokusku tidak lari. Aku tidak berani mengangkat muka. Airmataku sudah mula mengepung kelopak mata, Sekejap lagi memang banjir. Aku menumpahkan pandanganku ke kawasan tumpurung kepala nenek, sengaja menyorokkan kesedihanku.

Tiba-tiba telapak tangan nenek melekap ke ubun-ubun kepalaku yang masih berlapik dengan tudung. Eh, lupa pula tanggalkan tudung. Mmmm, lembutnya usapan nenek!. Makin sebak hatiku dibuatnya.

“Sabar ye Nur, tiap-tiap yang terjadi pasti ada hikmahnya. Nek yakin pilihan abi kamulah yang terbaik buat kamu. Tiada seorang ayah yang mahukan anaknya menderita..”

Tik. Tik. Tik..Isk. Isk..


Akhirnya hujan airmata menghantui mataku. Nenekku perasan agaknya lututnya berair, lantas usapannya beralih arah pula ke belakang tubuhku. Tahulah dirinya yang cucunya sedang menangis, meluah rasa. Nenek pegang kedua-dua tanganku, lalu memaksa aku dongakkan kepala.

“Janganlah dikesali segala apa yang dah berlaku Nur. Keputusan Nur tu memang tepat. Nek suka Nur pilih budak tu daripada Amir. Amir tu pun dah nak kahwin dah, kamu tak payahlah teringat-ingat lagi kat dia ye..”

Aku tergamam, aku renung mata nenek. Urutanku berhenti serta-merta. Siapa kata Akhi Amir nak kahwin ni?, hatiku berdebar-debar.

“Amir nak kahwin?” aku aju soalan tadi dengan riak yang terlalu terkejut.

Neneku kelihatan gelabah. “Eh kamu tak tahu ke?”

“Assalamualaikum (Selamat Sejahtera keatas kamu (Semua))…”

Aku dan nenek berpusing ke arah datangnya suara tadi. Aku salam jawab salam dalam hati. Bangun serta-merta, sambil mataku tajam memandang nenek, Iman dan umiku. Airmata ini sudah terlalu sarat mengandung, lalu tumpah membasahi pipiku. Aku tidak mampu mengawal perasaan sedih lantas kubiarkan airmataku mengalir tanpa noktah.

“Betul ke Akhi Amir nak kahwin?” aku menyoal mereka pula. Umi dan Iman terperanjat besar, terpingga-pingga dengan tujahanku. Masing-masing tergamam agaknya dengan soalanku yang terpacul keluar dengan tiba-tiba. Belum sempat pun mereka melangkah masuk, aku terus meninggalkan mereka semua. Pintu bilik yang aku tutup tadi, berdentum dengan kuat. Aku lepaskan kekecewaan dengan menangis sepuas-hati.

“Nur tak tahu ke?” soal nek Jah kepada Puan Siti. Pucat wajahnya.

Puan Siti menggeleng seraya duduk atas sofa. Wajahnya muram. “Nur tak tahu pun mak. Kami rahsiakan daripada pengetahuannya sebab tak nak dia kecewa..” matanya yang hitam pekat berlaga dengan mata ibu kandungnya. Kedua-duanya resah.

Iman yang sekadar memerhati babak pilu tadi terus sahaja berlari ke muka pintu bilik kakak keduanya. Goncangan dadanya terasa deras berlari. Kalaulah dari dulu lagi dia ceritakan hal itu, mungkin kak Nur tidak terlalu terkejut seperti sekarang. Hurm.

Bonggol pintu tidak berkunci, mudahlah baginya menerombos ke dalam. Iman melulu masuk, dipanjatnya dada katil. Dia duduk berteleku disamping kakaknya yang baring meniarap. Wajah kakaknya tersembam dengan bantal. Dia menyesal, teramat menyesal merahsiakan khabar Amir. Iman menepuk lembut belakang kakaknya, berhasrat memujuk.

“Kak Nur..” terketar-ketar suaranya ketakutan. Manalah tahu kalau-kalau kak Nur naik hantu dan mengamuk. Dia beranikan diri juga mengusap belakang badan kak Nurnya.

“Mak minta maaf. Mak tak sengaja bagitahu dia. Mak ingat Nur tahu..”

Puan Siti senyum hambar. “Tak apalah mak. Nur memang patut tahu pun..”

“Patutlah mak tengok dia macam tak happy aje. Tak cakap apa-apa pun bila Amin bagitahu hasrat budak Yusof tu. Rupanya dia masih tunggu budak Amir tu ye..”

Puan Siti angguk lemah. Kasihan anaknya, sudah banyak kali Nur kecewa. Hatinya pun bagai disiat-siat, merasai derita yang dilalui Nur. “Dia memang setia tunggu Amir mak. tapi.. Amir dah ada pilihan lain. Keluarganya pun dah minta maaf cara baik, tak akanlah kami nak memaksa orang terima anak kami…”

Nek Jah geleng-kepala. Sedih mengenang nasib cucunya seorang itu. “Kasihan Nur. Ujian yang menimpanya terlalu banyak. Mak harap dia bahagia dengan budak yang Amin pilih tu..”

Iman takut-takut nak mulakan bicara, apapun dia tetap kena cakap juga. Selepas tarik nafas sedalamnya, dia beranikan diri bersuara. “Maafkan kami kak”

Tiada respon. Hanya esak-tangis kak Nur yang kedengaran ditelinganya. Iman lanjutkan bicaranya.

“Umi dan abi tak bersalah dalam hal ni. Iman yang suruh diorang rahsiakan daripada kak Nur. Iman tak nak kak Nur makan hati..”ujarnya.

Aku sengaja membatu diri. Tangisanku tiada tanda mahu berhenti.

“Abi tak nak kak Nur kecewa buat kali kedua. Sebab itulah abi nak kak Nur terima abang Yusof dan kahwin cepat-cepat supaya kak Nur lupakan Akhi Amir tu..”

Aku kecewa, teramat kecewa. Luka yang sedia tercakar dihatiku, ditoreh lagi dengan luka yang baru. Sungguh sakit tak terperi. Kian galak pula esak tangisku. Sampai hati Akhi Amir lukakan hatiku. Apa salah aku?.

“Makcik Hajar dan suaminya datang ke sini hari tu. Nasib baik masa tu kak Nur tak ada kat rumah, Imanlah yang tukang dengar semuanya…”

Selang beberapa minit kemudian, aku bangun. Iman terus memelukku dan menangis.

“Kak Nur janganlah sedih lagi. Iman rasa bersalah sangat tengok kak Nur macam ni. Maafkan kiteorang kalau dah lukakan hati kak Nur..” ujarnya dalam esakan.

“Kenapa Iman tak bagitahu awal-awal” tujahku. Suaraku lemah. Terlalu banyak menangis agaknya.

Iman eratkan lagi pelukan kami. Dalam esak tangisnya, dia bersuara sayu. “Iman tak sampai hati nak bagitahu. Iman tak sanggup tengok kak Nur sedih. Kak Nur dah banyak kali kecewa, sebab itu Iman tak berani nak bagitahu dari mula….”

Pelukan kami terlerai. Kami bertentang mata. Aku ukir senyuman walaupun berat. “Iman, kak Nur harus redha dengan setiap yang berlaku. Kalau kak Nur melalak meraung sekalipun Qada’ dan Qadar ALLAH tak akan sesekali berubah. Kak Nur pasrah. Kalau itulah yang ALLAH tentukan dalam hidup kak Nur, kak Nur relakan Akhi Amir pergi dari hidup kak Nur..” Aku sebak lagi. Airmata yang terhenti tadi, mengalir keluar semula. Iman mengesat airmataku dengan jemarinya.

Iman meraih tanganku lalu dikucupnya. Lama betul dia buat begitu, mungkin mahu memujuk hatiku. Aku hanya mampu lemparkan senyuman. Aku tidak larat lagi menangis.

“Iman, kak Nur nak minta tolong ni”

“Kak Nur nak Iman buat apa?”

“Tolong cakap dengan umi dan abi yang kak Nur setuju kahwin dengan Muhammad Yusof. Kak Nur tak nak majlis sanding ke apa ke. Kita buat akad nikah, kenduri doa selamat kat rumah. Kak Nur nak kahwin secepat yang mungkin, ya..” pintaku separuh merayu. Aku tekad, lebih baik kutinggalkan semua kenangan lalu dan bina hidup baru. Yusof, dialah orang yang selayaknya mendapat tempat dalam hidupku. Memang aku pertaruhkan hidupku, selama ini pun hidupku adalah satu pertaruhan. Biarlah kali ini aku pertaruhkan lagi, bahagia atau derita, semua itu sudah ditetapkan ALLAH. Aku, hamba-NYA. ALLAH yang pertama, kerana DIA lah, aku sanggup bernikah dengan insan yang aku tidak cinta. Aku bernikah kerana ALLAH, ingin mencari redha-NYA.

Iman senyum lebar, tangisannya reda kala melihat wajahku tenang dan sudah boleh senyum. “Betul ke ni?”

Aku angguk, yakin dengan kata hati. Aku lepaskan hela nafas panjangku. Senyumanku melebar. Ya, aku redha dan pasrah!. Muhammad Yusof, rupa-rupanya kau jodohku.

“Kak Nur kecik hati dengan Iman tak?” Iman masih ragu-ragu agaknya.

‘Taklah sayang. Kak Nur okay aje..”

“Maaf..”

Aku angguk. Mengusap pipinya. Tiada siapa yang bersalah pun dalam urusan takdir. ALLAH lebih mengetahui apa yang terbaik buatku. Inilah jawapan dari ALLAH atas segala persoalan yang bermain dibenakku selama ini. Cepat sungguh ALLAH tunjukkan jalan penyelesaiannya. Baru seketika tadi aku memikirkan perkara itu, DIA beri pula jawapan sepintas lalu.

No comments:

Post a Comment